Friday, August 26, 2011

AIDILFITRI KEMBALI POSITIF @ NEGATIF

Sepanjang bulan Ramadan kita memohon keampunan, meneruskan tradisi tarawih, tadarus, tahajud, Qiyamullai, sedekah dan infak. Kita juga perlu bersederhana dalam makanan dan perbuatan. Apabila timbul keinsafan mendalam bahawa kita patut bersyukur kepada Allah dan tanda kesyukuran itu ialah bersifat ihsan kepada yang lain, ia bakal menjadikan kita golongan yang bertakwa dan kembali kepada fitrah.Ibadat puasa yang mengandungi tarbiyah secara amali kepada seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk mendisplinkan diri dan hadapan Allah s. w. t. Dengan berpuasa kita mampu taat dan menghindari apa yang ditegah Allah, walaupun pada asalnya perkara itu adalah harus seperti makan minum di siang hari dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.

Kita tidak melakukannya demi mematuhi perintah Allah. Pengajaran atau mesej di sebaliknya ialah kalau perkara yang asalnya adalah harus pun kita meninggalkannya kepada patuh kepada perintah Allah, maka tentulah perkara yang haram lebih mampu kita meninggalkannya kerana ia adalah arahan dan perintah daripada Allah.

Alhamdulillah, dengan penuh rasa kesyukuran, sekali lagi kita akan menyambut Aidil-Fitri pada tahun ini. Aidil Fitri adalah hari kemenangan dan kejayaan bagi seluruh umat Islam yang bertakwa kepada Allah. Selama sebulan kita umat Islam melaksanakan ibadat puasa, berjuang melawan nafsu, supaya sentiasa mentaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Di siang hari kita berpuasa menegah kehendak nafsu. Di malam hari kita mengerjakan pelbagai ibadat fardhu dan sunat seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf, zikrullah, qiamullail dan lain-lain lagi. Kesemuanya itu merupakan proses tarbiyah atau pendidikan langsung daripada Allah s. w. t. melalui ibadat puasa bagi melahirkan insan yang bertakwa. Firman Allah s. w. t. dalam Surah al-Baqarah: ayat 183:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa".

Ibadat puasa ramadhan yang telah kita sempurnakan itu, mengandungi tarbiyah secara amali kepada seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk mendisplinkan diri terhadap Allah s. w. t. dan juga terhadap sesama makhluk. Dengan berpuasa kita mampu taat dan menghindari apa yang ditegah Allah, walaupun pada asalnya perkara itu adalah harus seperti makan minum di siang hari dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.

Hari raya yang mulia ini, selain menyambut hari kemenangan dalam perjuangan menundukkan hawa nafsu, juga merupakan hari melahirkan kesyukuran dan kegembiraan. Kita bersyukur dan bergembira kerana dapat menyambut aidil-fitri - yakni hari kembali kepada fitrah. Setelah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna kita bukan sahaja mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada api neraka. Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu".

Oleh itu, setelah kita mendapat keampunan Allah s. w. t., maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi yang baru dilahirkan. Menginsafi keadaan ini, maka tentulah kita akan menjaga kesucian dan kemurniaan hari aidil-fitri ini, supaya tidak menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali bercanggah dengan semangat dan hakikat aidil-fitri itu sendiri.

Aidil Fitri yang bakal kita rayakan adalah lambang pencapaian diri sepanjang Ramadan dengan tarbiah rohaniah yang dilalui. Ia juga menjadikan kita insan berubah, ada peningkatan dalam amal dan timbul keazaman untuk melakukan kebaikan selepas ini. Inilah lambang kemenangan yang kita rayakan dalam semangat mahabah, ukhuwah dan silaturahim.Betapa kebesaran Allah itu dilambangkan dengan kekerdilan diri untuk bersifat ihsan sesama hamba. Betapa kebesaran Allah mengingatkan kita bahawa kita akan kembali seperti orang terdulu yang kita kasihi apabila menziarahi kubur mereka.Janganlah kita rosakkan hari kemenangan selepas bergelut dengan cabaran hawa nasfu dengan menyerahkan diri dirasuk oleh pengaruh iblis dan syaitan semula.Kita leburkan seluruh kekuatan yang kita bina, himpun dan kumpul sepanjang Ramadan dengan melakukan perbuatan maksiat. Kita terbabit dengan hal syubahat dan melanggar batas syarak dengan pergaulan yang melampaui batas, menonton filem yang merangsang semula nafsu syahwat dan nafsu haiwani. Hadir di majlis maksiat seolah-olah melepas geram selepas sebulan dikekang dengan amalan puasa.

AidilFitri seharusnya dirayakan dengan membina ukhuwah tinggi, melakukan ziarah berterusan dan harus ada kemampuan untuk menapis sesuatu yang mengukuh jiwa fitrah dan sesuatu yang boleh merosakkannya. Jangan biarkan anak-anak menjadikan ganjaran "ang pau" atau wang ringgit sebagai umpan ziarah sehingga makna Aidilfitri kepada mereka ialah berapa banyak wang yang dikumpul untuk membeli mercun dan bersuka ria tanpa batasan.

Ziarah kita dengan anak-anak harus dapat memperkenalkan kepada mereka kaum keluarga lain.Hati orang yang bertakwa ialah hati yang tunduk dan taat kepada Allah dan berada dalam fitrah-Nya. Hati yang fitrah ialah hati yang dilembutkan supaya tunduk dan taat kepada menghayati kebesaran Allah.

Kebesaran Allah yang dilafazkan dalam takbir dan tahmid adalah lambang perubahan diri untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan menghindarkan kemungkaran walaupun sedikit. Itulah natijah Ramadan yang kita lalui dan maksud Syawal yang bakal dirayakan.

Dalam kesibukkan kita untuk membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan ditambah dengan saki baki Ramadhan yang masih tinggal tidak kurang beberapa hari lagi, adakah pernah terdetik di hati kita untuk bertanya sama ada Ramadhan yang telah kita lalui pada tahun ini telah benar-benar mendidik jiwa kita untuk menghadapi 11 bulan yang akan mendatang.

Pernahkah kita tertanya apakah Ramadhan kita telah diterima dan segala dosa-dosa kita telah diampun oleh Allah s.w.t. Dalam pada itu apakah saudaraku sekalian masih mengingati tiga doa yang diaminkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah didoakan oleh Jibrail A.S.

Ketika Nabi S.A.W menaiki tiga anak tangga mimbar baginda berhenti di setiap anak tangga dan mengucapkan amin di ketiga-tiga anak tangga tersebut. Para sahabat lalu tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah diaminkan oleh Rasulullah S.A.W. Hal ini telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah katanya :"Nabi S.A.W menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?" Baginda S.A.W menjawab: "Jibril A.S datang kepadaku, dan berkata: "Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka dan akan dijauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin," Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut "amin".

Jibril berkata lagi: "Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin." Lalu aku pun berkata: "Amin".

Berkata Jibril lagi: "Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin." Lalu aku pun menyebut: "Amin."

Salah satu doa yang diaminkan ialah berkenaan sesiapa yang tidak merebut peluang untuk mendapat keampunan Allah S.W.T pada bulan Ramadhan maka dia antara orang yang akan rugi kerana akan dimasukkan ke dalam Neraka Allah S.W.T.Apakah kita di antara golongan manusia yang telah diberikan peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini termasuk di dalam doa yang diaminkan oleh baginda S.A.W.Oleh itu saudaraku sekalian ingatlah doa yang telah diaminkan oleh Rasullulah s.a.w. ini dan rebutlah peluang yang masih berbaki, tidak berapa hari ini untuk mencari keampunan Allah S.W.T. Raya, raya juga, tapi jangan lupa untuk mencari peluang yang masih tinggal. Takut-takut inilah Ramadhan yang terakhir buat kita.

No comments:

Post a Comment