SIDANG TERGEMPAR DARUL NADWAH SEBELUM HIJRATUL RASUL
Bila mana pihak musyrikin quraisy mendapati pengikut-pengikut Muhammad (s.a.w) telah bersedia dan keluar dengan membawa bersama-sama mereka keluarga, anak-anak dan harta-harta mereka ke pangkuan al-Aws dan al-Khazraj, terjadilah keributan suasana kebisingan, kesangsian dan dukacita di kalangan kafir Makkah, perbagai kegelisahan dan ramalan-ramalan yang bakal mereka hadapi di masa-masa akan datang, bahaya besar sedang menunggu mereka; yang kelak akan mengugut dan menggugat kestabilan ekonomi, kekayaan dan entiti idealogi berhala mereka. Sebenarnya mereka sudah mengenal pasti dengan keperibadian unggul Muhammad (s.a.w) dan dengan kepimpinannya yang berkesan lagi mempengaruhi, di samping keazaman yang tekad, keiltizaman yang utuh dan semangat pengorbanan yang luar biasa, disokong pula oleh kekuatan dan daya pertahanan oleh al-Aws dan al-Khazraj diperkayakan pula oleh kekuatan cendikiawan dan ahli fikiran kedua qabilah yang memiliki kedewasaan berfikir untuk kesejahteraan dan keimanan bersama, serta sanggup menolak perasaan kesumat lama yang pernah memusuhi mereka, manakala potensi dan kekuatan ini telah diduga oleh pihak Quraisy, untuk itu mereka harus membuat perhitungan yang paling bijak dan tepat bagi mengatasi ancaman sebelum terlambat, pada hemat mereka.
Sebagaimana juga mereka mengetahul posisi al-Madinah yang strategik itu sendiri, bila ianya berkonfrontasi terutamanya dengan qabilah perniagaan mereka yang merupakan laluan tetap dari Yaman ke negeri al-Syam yang semestinya melalui persisiran laut Merah. Dianggarkan penduduk Makkah berurus niaga ke negeri al-Syam sahaja sebanyak sukujuta dinar emas setiap tahun, tidak termasuk milik penduduk al-Taifdan lain-lain. Mereka juga mengetahui selama ini, itulah laluan yang menikmati kesejateraan dan keamanan.Pihak Quraisy sudah menelah bahaya yang bakal mengancam mereka dan perniagaan sekiranya kekuatan Islam berpusat di Madinah.Pihak Quraisy sudah pun peka akan bahaya dan ancaman yang bakal mengugat diri mereka. Oleh yang demikian, maka mereka bersungguh-sungguh mencari sebaik-baik jalan untuk menolak mara bahaya dan ancaman ini, keaemuanya berpunca dari pendokong obor dakwah Islam iaitu Muhammad (s.a.w).
Tanggal 26 Haribulan Safar tahun keempat kebangkitan Rasulullah bersamaan 12 haribulan September tahun 622 Masihi pihak Quraisy telah mengadakansidang Parlimen (Darul Nadwah) di pagi hari iaitu hampir dua bulan setengah setelah berlalunya Baiah al-’Aqabah al-Kubra yang merupakan satu sidang yang amat penting dan kritikal dalam sejarah Quraisy, seluruh perwakilan kabilah-kabilah Quraisy telah menghantar anggota-anggotanya, membuat perbincangan dan merencana satu pelan tindakan yang tegas untuk menghapus secepat mungkin pembawa obor-obor dakwah Islamiah dan dengan itu terputus sudahlah arus cahayanya buat selama-lamanya.
Tokoh-tokoh perwakilan yang menonjol di dalam perjumpaan itu ialah:
1. Abu Jahal bin Hisyam mewakili qabilah bani Makhzum.
2. Jubair bin Mutaam, Tai’mah bin Adi, dan al-Harith bin Amir mewakili Bani Naufal Ibn Abdul Manaf.
3. Syaibah dan Utbah kedua-dua anak Rabiah dan Abu Sufian bin Harb, mewakili bani Abdul Syams bin Abdul Manaf.
4. al-Nadhr bin al-Harith (orang yang mencampakkan pundi-pundi najis sembelihan ke atas Rasulullah di Kaabah semasa baginda bersembahyang) mewakili Banu Abd al-Dar?
5. Abu al-Bukhturi bin Hisyam, Zama’h bin al-Aswad dan Hakim bin Hizam mewakili banu Asad bin Abd al-Uzza.
6. Nabyah dan Manbah kedua-duanya anak lelaki al-Hajjaj mewakili bani Sahm.
7. Umaiyah bin Khalaf mewakili Bani Jumah.
Semasa mereka sampai ke Darul al-Nadwah seperti yang dijanjikan, mereka telah dihalang seketika oleh Iblis yang menyamar dengan berpakaian seperti seorang syeikh yang mulia iaitu pakaian ahli zuhud. Iblis berdiri di pintu masuk lalu mereka semua bertanya: “Siapa tuan syeikh ini?” Jawab Iblis: “Aku seorang syeikh dari Najd telah mendengar berita perjumpaan ini dan aku datang untuk mengikuti perbahasan kamu semoga aku boleh menyumbang sesuatu yang tidak merugikan kamu, pendapat ataupunnasihat”. Lantas mereka pun menjawab, “Betapabaiknya cadangan itu, ayuh! persilakan masuk”.
SIDANG DARUL AL-NADWAH DAN PERSETUJUAN DENGAN KEPUTUSAN DURJANA UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH (S.A.W)
Setelah bilangan keanggotaan majlis mesyuarat Dar al-Nadwah sempurna dengan kehadiran mereka, maka perbahasan pun bermula, disusuli dengan saranan dan cadangan. Di antaranya ialah pendapat Abu al-Aswad: “Kita keluarkannya dari sini dan buangnya ke negeri lain. Selepas itu kita usah pedulikannya, ke mana dia hendak pergi dan jatuh. Kemudian kita ‘pulihkan’ semula masyarakat kita ini”.
Kemudian berkata pula Syeikh dari Najd tadi: “Demi Allah, kamu tidak ada pendapat lainkah? Tidakkah kamu perhatikan bahawa Muhammad ini seorang yang petah bercakap, dengan kata-katanya yang halus dan manis, serta berupaya mempengaruhi dan menawan hati orang? Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan selamat, kerana beliau akan memasuki ke perkampungan dan pedalaman Arab yang lain dan setelah itu beliau akan memimpin untuk menentang dan melanyak kamu semua dan membuat apa sahaja yang dikehendakinya.
Kata Abu al-Bukhturi, “Kamu penjarakannya dalam kurungan besi, tutup pintunya sebaik-baiknya, dan kamu kawalkannya serta tengok apa akan terjadi, sebagaimana berlaku ke atas penyair-penyair yang sebelumnya seperti Zuhair dan al-Nabighah yang menemui kematian seperti ini, biarlah dia merasa sepertimana mereka itu rasaiya.
Kata Syeikh al-Najdi, Demi Allah, ini bukan pendapat yang baik, demi Allah kalau kamu kurungkannya sedemikian rupa pun akhirnya ceritanya itu akan bocor keluar dan sampai ke pengetahuan pengikut-pengikutnya kemudian mereka itu pun akan menyerang kamu, kemudian membebaskannya dari tangan kamu, setelah itu akan bertambah pengikutnya, seterusnya menghalangkan kamu semua, pendapat ini tidak boleh dipakai, cuba cadangkan pendapat lain.
Selepas persidangan Dar al-Nadwah menolak dua cadangan yang dikemukakan itu, dikemukakan pula cadangan yang paling nekad dan terkutuk, ianya mendapat persetujuan seluruh anggota sidang, dikemukakan oleh kepala samseng dan jenayah Makkah Abu Jahal bin Hisyam. Kata Abu Jahal, “Demi Allah, sesungguhnya aku ada satu pendapat yang kamu tidak nampak”. Kata mereka, “Apakah pendapat itu wahai Abu al-Hakam?” Jawab Abu Jahal, “Aku melihat di mana setiap kabilah haruslah dipilih seorang pemuda tangkas dan lincah kemudian kita serahkan kepada setiap mereka sebilah pedang yang tajam, untuk mereka gunakannya, dengan cara mereka menetak Muhammad serentak maka tamatlah riwayat Muhammad dan kita pun boleh berehat, kerana bila mereka lakukan cara ini bererti semua kabilah bertanggungjawab dan banu Abdul Manaf tidak terdaya untuk memerangi kesemua qabilah ini, sebagai gantiannya mereka akan berpuas hati dengan pembayaran diah (pampasan).
Ulas Syeikh al-Najdi, “Pendapat yang sebenar adalah sepertimana yang disebut oleh Abu al-Hakam, dan aku pun berpendapat sedemikian juga”. Sidang Dar al-Nadwah pun sebulat suara menerima cadangan yang terkutuk itu, mereka pun pulang ke rumah masing-masing dengan penuh keazaman, di mana cadangan dan keputusan itu akan dilaksanakan dengan serta-merta.
1. Hasil resolusi daripada mesyuarat Darul Nadwah merupakan resolusi yang kekal sepanjang zaman, tidak berubah sedikit pun. Ia menjadi resolusi musuh Islam turun temurun.
2. Kita jangan lupa bagaimana sirah telah merakamkan hasil daripada resolusi ini, resolusi cetusan daripada mesyuarat yang telah dibuat di Darul Nadwah yang telah dipengerusikan oleh Abu Jahl.
3. Kita juga jangan lupa bahawa, dalam mesyuarat itu syaitan yang menyerupai manusia turut sama mengambil bahagian untuk merancang bagi menghancurkan Islam.
4. Mesyuarat yang dihadiri oleh setiap ketua kabilah Makkah ini, telah mencadang pelbagai idea bagi menyekat dakwah baginda.
5. Pelbagai idea dan helah diutarakan oleh wakil-wakil kabilah, namun akhirnya cadangan yang mana tiada rasa belas kasihan, iaitu membunuh Rasulullah S.A.W. telah menjadi resolusi akhir hasil daripada mesyuarat tersebut.
6. Cadangan ini telah dilontarkan oleh Abu Jahl sendiri dengan mendapat sokongan kuat daipada syaitan laknatullah.
7. Dalam sirah telah menceritakan kepada kita bagaimana bapa saudara bagida Rasulullah, Abi Talib keluar daripada mesyuarat tersebut kerana tidak sampai hati untuk bersama mereka bagi membuat perancangan untuk membunuh Rasulullah.
8. Lalu beliau terus menuju menemui Rasulullah dan disampaikan berita tentang rancangan untuk membunuh baginda.
9. Belum sempat Abi Talib menerangkan keputusan mesyuarat itu, Rasulullah terus membacakan ayat Al-quran yang baru sahaja turun kepada baginda:
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُواْ لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللّهُ وَاللّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِين
"Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya." (Surah Al-Anfal:30)
10. Kita tidak lupa, jalan terakhir bagi menyekat kemaraan Islam telah pun diputuskan telah lama dahulu.
11. Pembunuhan kepada amilin dakwah ini merupakan cara yang paling terdesak bagi musuh untuk melenyapkan Islam di atas muka bumi ini.
12. Di sepanjang jalan dakwah, kita tidak boleh lari dan terlepas daripada resolusi yang telah pun dibuat 1ebih 1400 tahun dahulu, berakhir dengan pembunuhan.
13. Lihat saja, pembunuhan yang terjadi kepada Pejuang ISLAM,para Syuhada’ dan ramai lagi, menjadi mangsa pembunuhan musuh-musuh yang tidak pernah senang dengan kebangkitan Islam.
14. Persiapan kepada kader dakwah seharusnya diisi dengan persediakan ke arah meletakkan diri untuk berkorban dan dibunuh suatu masa nanti.
15. Biar dibunuh oleh mereka, biar dihina oleh masyarakat, asalkan kita dimuliakan oleh Allah dan pembunuhan terhadap jasad kita menjadi saksi usaha dan komitmen kita kepada perjuangan meninggikan syari'at-Nya.