Tuesday, June 28, 2011

PENGAJARAN & IKTIBAR PERISTIWA ISRA’ & MI’RAJ

Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :

سبحن الذي أسرى بعبده ليلا من المسجد الحرام إلى المسجد الأقصى الذي بركنا حوله لنريه من ءايتنا إنه هو السميع البصير

Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting di mana pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa isra’ dan mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa ini telah membongkarkan tentang keimanan dan keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat di mana ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam. Perkara seperti inilah juga yang terpaksa dihadapi oleh kita pada hari ini apabila usaha dalam melaksanakan semula semua sistem Islam dalam negara maka di sana timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang seratus peratus yakin dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya.

Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ia tidak dapat dilaksanakan dengan memcari pelbagai alasan. Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam malah memberi amaran akan melakukan huru hara jika ada pihak yang berusaha untuk melaksanakannya dalam negara ini. Jika umat dahulu berasa pelik apabila nabi menceritakan tentang Isra’ dan Mikraj maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di negara ini pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah. Umat Islam menjadi pelik dengan agama mereka sendiri kerana mereka telah diajar dan diasuh oleh pemimpin yang jahil dan sesat saban hari melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya agar memusuhi dan memerangi sistem Islam yang menyeluruh.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Tolib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah di mana jika kita perkirakan dari segi logik akal maka Islam pasti akan terkubur tetapi kuasa Allah melebihi segala-galanya di mana selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif di mana penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah. Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif. Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam di mana kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil mahsul negara yang banyak tetapi ia tidak membantu pelaksanaan sistem Islam dan tidak pula membantu untuk umat Islam bersatu dalam menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Kekayaan hanya dibolot oleh pemimpin dan mereka yang dekat dengan pemimpin sedangkan rakyat terus menderita dan ditegah daripada bersuara menegur kesesatan dan kezaliman pemimpin. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri. Islam juga bukan tersebar atas paksaan tetapi ia mampu menawan hati manusia dengan keadilan dan keindahan seluruh sistemnya sehingga tawaran kesenangan dunia dengan sendiri akan ditolak apabila semangat Islam telah menguasai diri seseorang. Kekuatan aqidah inilah yang menjadi musuh kepada mereka yang melawan Islam daripada golongan kuffar dan munafik. Kita perlu ingat bahawa tiada istilah menang mudah dalam memperjuangkan Islam kerana ia menuntut kepada kesabaran dan istiqamah sebelum datangnya janji kemenangan daripada Allah

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan yahudi di mana keganasan yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan. Kuasa Kristian yang dibeli oleh yahudi terutama Amerika Syarikat turut menggalakkan pembunuhan umat Islam malah kuasa kristian atas nama memerangi keganasan terus menjadikan umat Islam sebagai sasaran kepada senjata milik mereka. 2 kuasa besar masa kini iaitu kuasa Kristian dan yahudi seumpama 2 kuasa besar Rom dan Parsi yang pernah dihadapi oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat pada zaman itu di mana akhirnya turut tunduk dan patuh kepada pemerintahan Islam. Kemenangan Islam dalam menakluki 2 kuasa besar tersebut telah diperolehi samada melalui perang atau pun perdamaian. Sebagaimana kuasa Rom dan Parsi memandang rendah kepada Daulah Islamiah yang dibina oleh nabi di Madinah pada awalnya tetapi akhirnya mereka sendiri merasa gerun melihat kehebatan sebuah pemerintahan Islam yang diasaskan atas aqidah dengan membina kemajuan tamadun kebendaan tanpa mengabaikan pembangunan insan. Begitulah terjadi pada hari ini di mana selepas penjajahan dan negara-negara umat Islam diberikan kemerdekaan maka kuasa penjajah terutama kristian begitu mengambil berat tentang kepimpinan yang sedang dan akan memerintah di negara jajahan mereka sebelum ini agar pemimpin yang dilantik mestilah meneruskan dasar penjajah walau dengan apa cara sekali pun termasuk cara kekerasan dengan menekan rakyat agar tidak kembali kepada pemerintahan Islam. Dunia kini secara keseluruhan mula kembali semula kepada Islam terutama selepas serangan terhadap 2 bangunan di Amerika pada 11 September 2001 yang lepas. Kuasa yahudi dan kristian berasa gerun dengan perubahan yang mendadak lalu mengambil tindakan lebih ganas dan kejam dengan menggelarkan umat Islam sebagai pengganas yang mesti dihapuskan dari muka bumi ini. Mereka menekan seluruh negara umat Islam seperti Palestin, Afghanistan, Kashmir, Iraq, Indonesia dan lain-lain. Kita ingatkan kuffar bahawa dunia Islam tidak selamanya ditimpa gerhana tetapi ia akan kembali bercahaya dengan syarat seluruh umat Islam kembali bersatu atas dasar Islam dengan menolak semangat kebangsaan yang memecahbelahkan kesatuan umat Islam sebelum ini. Islamlah nescaya kita akan beroleh kemenangan bersama kerdehaan Allah di dunia dan akhirat.

Renungilah firman Allah dalam ayat 286 penutup surah al-Baqarah yang merupakan ayat yang diterima oleh nabi semasa bertemu Allah pada malam Isra’ Mikraj selain daripada kewajipan solat lima waktu sehari semalam:

لايكلف الله نفسا إلا وسعها لها ما كسبت وعليها ما اكتسبت ربنا لا تؤاخذنا إن نسينا أو أخطأنا ربنا ولا تحمل علينا إصرا كما حملته على الذين من قبلنا ربنا ولا تحملنا مالا طاقة لنا به واعف عنا واغفرلنا وارحمنا أنت مولئنا فانصرنا على القوم الكفرين

Maksudnya : Allah tidak membebankan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat ganjaran kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami berdosa jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami!Janganlah Engkau bebankan ke atas kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan ke atas kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu bantulah kami dalam mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kufur.

FADHILAT BULAN REJAB YANG PALSU & DHAIF

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam dimana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga ada orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra’ dan mi’raj Nabi Muhammad saw. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab ini sebagai satu bulan spiritual dimana mereka mempertingkatkan ibadat sunat khususnya ibadat puasa.
Apakah terdapatnya kesahihan fadilat khas berpuasa didalam bulan Rejab?Disini nyatakan pandangan para ulama’ mengenai kesahihan fadilat Rejab.

Dr. Sayid Saabiq(Pengarang Kitab FIQH SUNNAH)

Menurut seorang tokoh Ikhwan Dr Sayid Saabiq di dalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa :“Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yg berlebih dari bulan-bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yg haram Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab”.Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadilat-fadilat yg sama. Pendapat juga di sokong oleh mazhab Hanbali yg mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh[6].

Hadis-hadis fadilat Rejab yang palsu(Mawdhu’) atau dhaif
Dibawah ini disenaraikan beberapa contoh hadis-hadis palsu berkenaan dengan fadilat Rejab:

1-“Rejab bulan Allah. Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”….. Hadis in mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama’ mengatakan hadis ini Palsu!
2-“Barangsiapa yg mengerjakan solat Magrib pada permulaan malam Rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al-Fatihah dan Qul Hu Allahhu Ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali dan dia memberi salampada solat ini dengan 10 salam, maka tahukah kamu apa ganjaranya?-Hadis ini Mawdhu’ (palsu)*Diriwayatkan oleh Al-Jauzaqanniy dari Anas, kemudian beliau berkata hadis ini adalah Palsu.
3-“Barangsiapa yg melakukan solat pada malam Nisfi Rejab 14 rakaat dengan membaca Alhamdu 1 kali pada rakaat, Qul Hu Allahhu Ahad 20 kali, Qul A’uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A’uuzu Birabbin Nas 3 kali kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat keatas ku 10 kali kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat.-Hadis ini Mawdhu’ (palsu)*Dalam sanadnya terdapat beberapi Rawi yang majhul (tidak dikenali)
4-Barang siapa yg berpuasa sehari pada bulan Rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan.-Hadis sangat Dhaif.
*Diriwayatkan oleh Al-Khathiib dari Abi Dzar.Dalam sanadnya ada rawi yg bernama: Al-Furaat bin As-Saaib, dia adalah seorang rawi yg Matruk.Ibnu Hajar Al-Asqalaaniy telah menjelaskan bahawa para ahli hadis telah sepakat, bahawa hadis ini diriwayatkan dari jalan Al-Furaat bin As-Saaib, sedangkan rawi ini adalah seorang yg Dhaif.
5-“Barang siapa yg berpuasa 3 hari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan dan barang siapa yg berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yg berpu asa separuh dari bulan Rejab maka dia akan di hisab dengan hisab yg mudah. -Hadis ini Mawdhu’ (palsu),Tidak disahkan hadis ini kerana rawi yg bernama Abaan merupakan rawi yg Matruk.Selain dari itu ada rawi yg bernama Amar bin Al-Azhar yg sangat suka memalsukan hadis.
6-“Barang siapa yg berpuasa satu hari pada bulan Rejab dan bangun pada malam harinya mengerjakan solat malam maka Allah akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan aman, dan dia berjalan di atas sirat dalam keadaan Tahlil dan Takbir. -Hadis ini Mawdhu’ (palsu)*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama Ismaail, dia adalah seorang rawi yg suka berdusta.
7-“Barang siapa yg menghidupkan satu malam dari bulan Rejab mengerjakan solat malam dan berpuasa padanya satu hari, maka Allah memberi makan kepadanya dari buah-buahan Syurga. -Hadis ini Mawdhu’ (palsu) *Dalam Kitab Al-Laaly dijelaskan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Hussain bin Ali. Kemudian diterangkan bahawa hadis ini Mawdhu’.
Shiekh Mahmud Al-Sya’rawi

didalam menjawab satu pertanyaan mengenai apakan bulan dari bulan-bulan ‘am yg afdal manusia berpuasa selepas bulan Ramadan, beliau memetik hadis berikut diriwayatkan oleh Musnad Ahmad :“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah saw, katanya : Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadan? Maka Rasulullah saw berkata : Jika aku berpuasa selepas Ramadan, maka berpuasalah dibulan Haram, maka sesungguhnya didalamnya dari Taubat Allah swt keatas satu kaum, dan terdapat taubat didalamnya untuk satu kaum yg lain”Jelas disini menunjukkan bulan-bulan haram ini disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan Allah swt didalam bulan-bulan ini.

Bagi bulan Allah Al-Haram tersebut, Rasulullah saw pernah bersabda : ((Seafdal-adfal berpuasa selepas ramadan ialah dibulan Allah Al-Haram)). Maka adalah baik bagi berpuasa, atau berpuasalah pada 9, 10 dan 11, itulah yg baik, begitu juga dengan Sya’ban dimana Nabi saw berpuasa dengannya”

KRONOLOGI SIRAH NABI MUHAMMAD S.A.W TAHUN MASEHI

569 Meninggalnya ayah, Abdullah

570 Tanggal lahir (perkiraan), 20 April: Makkah

570 Tahun Gajah, gagalnya Abrahah menyerang Mekkah

576 Meninggalnya ibu, Aminah

578 Meninggalnya datuknya, Abdul Muthalib

583 Melakukan perjalanan dagang ke Syam

595 Bertemu dan menikah dengan Khadijah

610 Wahyu pertama turun di Gua Hira’dan menjadi Nabi sekaligus Rasul, kemudian di ikuti sedikit pengikut Baginda: As-Sabiqun Al-Awwalun

613 Menyebarkan Islam kepada umum: Makkah

614 Ramai pengikut ajaran Baginda

615 Hijrah pertama ke Habsyah

616 Awal dari pemboikotan Ekonomi Quraish terhadap Bani Hasyim

619 Akhir dari pemboikotan Ekonomi Quraish terhadap Bani Hasyim

619 Tahun kesedihan: Khadijah dan Abu Thalib meninggal

620 Dihibur oleh Allah melalui Malaikat Jibril dengan cara Isra' dan Mi'raj sekaligus menerima perintah salat 5 waktu

621 Bai'at 'Aqabah pertama

622 Bai'at 'Aqabah kedua

622 Hijrah ke Madinah = 26 Safar SH 1

624 Peperangan Badar = 17 Ramadan 2 Hijriah

624 Pengusiran Bani Qaynuqa

625 Peperangan Uhud = 7 Syawal 3 H

625 Pengusiran Bani Nadir

626 Peperangan Zaturriqa` = Muharram 4 Hijriah

626 Penyerangan ke Dumat al-Jandal: Syam

627 Peperangan Khandak=Syawal tahun 5 Hijriah

627 Penghancuran Bani Quraizhah

628 Perjanjian Hudaibiyyah= Zulkaedah, 6 H

628 Melakukan umrah ke Ka'bah

628 Peperangan Khaybar

629 Melakukan ibadah haji

629 Peperangan Mu'tah =5 Jamadil Awal 8 Hijriah

630 Pembukaan Kota Makkah 10 Ramadan 8 H

630 Peperangan Hunain (8h)

630 Peperangan Awtas

630 Pendudukan Thaif

631 Menguasai sebahagian besar Jazirah Arab

632 Peperangan Tabuk (9h)

632 Haji Wada'

632 Wafat Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W (12 Rabiul Awal Isnin): Madinah

Lihatlah kehidupan Nabi yang penuh cubaan & dugaan yang diharungi dengan hati yang tabah,berbeza dengan kehidupan kita sekarang,cuba kita senaraikan sejak kita dilahirkan hingga kini,apa yang telah kita sumbangkan untuk ISLAM? Benarkah kita pengikut setia Nabi Muhammad S.A.W? yang mengamalkan Al-Quran & As-Sunnah?Mari fikirkan & muhasabah bersama.

3 GOLONGAN DALAM PEPERANGAN TABUK

Firman Allah dalamayat 38surah at-Taubah :

يــأيهاالذين ءامنوا مالكم إذا قيل لكم انفروا فى سبيل الله اثاقلتم إلى الأرض أرضيتم بالحــيوة الدنيا من الآخرة فما متــع الحــيوة الدنيا فى الآخرةإلا قليل

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnyaapabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamuberasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit.

Kita sekarang berada dalam bulan Rejab yang mengingatkan kita tentang beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w seperti peristiwa yang kita sentiasa sebutkan iaitu Isra’ dan Mikraj dan juga satu lagi peristiwa yang telah meninggalkan kesan yang besar dalam penyebaran Islam ke luar daripada kawasan tanah arab iaitu peperangan Tabuk yang berlaku pada bulan Rejab tahun 9H. Peperangan Tabuk meletus apabila Rasulullah s.a.w menerima berita tentang pembunuhan Farwah bin ‘Amru Al-Jazami yang merupakan salah seorang ketua yang dilantik oleh Rom bagi kawasan Ma’an di mana beliau telah dibunuh dengan direbus di dalam kawah air panas apabila Rom mengetahui dia telah memeluk agama Islam dan merupakan wakil kepada nabi Muhammad S.A.W di dalam mengerjakan dakwah Islamiah di sana. Inilah suatu sikap dan tindakan tegas yang telah diambil oleh nabi selaku pemimpin negara Islam Madinah dalam mempertahankan kehormatan diri dan nyawa umat Islam di mana seorang dibunuh di negara musuh maka tentera Islam terus dikerah untuk mengajar kebiadapan musuh tentang harga diri umat Islam adalah begitu mahal nilainya bukannya boleh dibunuh sesuka hati. Tetapi malangnya apa yang berlaku kepada umat Islam hari ini di mana sudah tidak dihormati lagi sehingga musuh boleh membunuh, membakar, menembak, mengebom umat Islam sesuka hati di tanahair mereka sendiri. Penderitaan ini ditambah lagi dengan penyeksaan yang dilakukan oleh pemimpin negara umat Islam sendiri yang terus menindas rakyat demi kepentingan peribadi.

Rasulullah S.A.W telah mengerahkan agar para tentera Islam untuk keluar berjihad ke Tabuk dengan menjelaskan kepada mereka tujuan tersebut secara terang-terangan di mana baginda berjaya mengumpulkan 30 000 orang tentera. Penjelasan ini adalah disebabkab keadaan pada masa itu agak panas dan banyak kesulitan yang berlaku. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan agar tentera Islam bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang ada. Rasulullah S.A.W juga mengarahkan agar para muslimin yang mempunyai kemampuan untuk mengeluarkan harta mereka untuk tujuan berjihad di jalan Allah agar bersedekah untuk tujuan tersebut sekadar yang termampu. Antara para sahabat yang menyahut seruan itu ialah Sayyidina Abu Bakar yang memberi kesemua harta beliau, Sayyidina Umar yang memberi setengah daripada harta beliau, begitu juga dengan Sayyidina Uthman dan Abdul Rahman Al-‘Auf serta ramai lagi sahabat yang lain yang turut berbuat demikian. Inilah antara contoh pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh para sahabat dalam memastikan Islam bukan sahaja dapat dipertahankan malah akan terus tersebar luas ke seluruh alam. Pengorbanan yang telah ditunjukkan ini sepatutnya dapat menyedarkan umat Islam hari ini yang hanya tahu bertanya bilakah penderitaan umat Islam akan berakhir dan bilakah janji kemenangan oleh Allah akan hadir sedangkan diri umat Islam sendiri terus dihanyutkan oleh kesenangan dunia yang menyaluti diri serta dijangkiti pula dengan penyakit takut mati.Selagi umat Islam terus kaku memerhati penderitaan saudara seagama yang lain dan telah merasa cukup dengan pengorabanan yang tidak seberapa dalam memastikan kemenangan Islam maka jawapan kepada kemenangan yang dijanjikan Allah masih jauh malah penderitaan yang sedang dan akan dihadapi oleh umat Islam akan bertukar silih berganti. Oleh itu ikutilah jejak langkah nabi dan para sahabat serta pejuang Islam selepas mereka yang bersedia sepanjang masa dalam mengorbankan seluruh kemampuan yang ada demi Islam bukannya mengorbankan kemuliaan Islam demi kepentingan diri. Jika kita sedar tentang tanggungjawab kita sebagai pejuang Islam yang dibebankan dengan amanah yang banyak dan berat maka kita tidak lagi mempunyai masa untuk ketawa dan kita juga sedar bahawa tugas kita lebih banyak daripada masa yang ada.

Perjuangan Islam terpaksa menghadapi pelbagai cubaan, cabaran, halangan, dugaan, tentangan dan rintangan. Begitulah yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w sebelum keluar ke Tabuk di mana baginda terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu golongan yang pertama menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Mereka terdiri daripada tujuh orang daripada golongan Ansar dan Bani Amru bin Auf.

Manakala golongan kedua ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi. Mereka terdiri daripada 82 orang dari Bani Ghafar. Golongan yang ketiga yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan munafik ini dibahagi kepada tiga kumpulan yang mana kumpulan pertama akan mempengaruhi tentera Islam yang lain agar tidak turut serta dalam peperangan ini dan mereka sendiri tidak menyertainya. Kumpulan kedua pula akan memecahkan kesatuan dalam tentera Islam yang bertujuan mengkhianati Rasulullah S.A.W.

Manakala kumpulan ketiga pula terdiri daripada mereka yang menunggu kepulangan Rasulullah s.aw untuk merasmikan masjid yang bina oleh golongan munafik dikenali dengan Masjid Dhirar bertujuan untuk bermegah-megah,memecah belahkan hati para muslimin, asas yang membawa kepada kekufuran dan pengkhiatan kepada Islam. Jika kita perhatikan kepada golongan yang telah menyusahkan nabi ini maka golongan yang sama terpaksa kita hadapi pada hari ini dalam berdepan dengan musuh. Umat Islam yang cintakan Islam terpaksa berhadapan dengan pemimpin mereka sendiri yang lebih cintakan dunia daripada Islam sehingga ramai yang terbunuh dan menderita terpenjara serta tertekan akibat dikenakan pelbagai sekatan daripada bergerak dalam menyatakan kebenaran. Kita juga terpaksa berhadapan dengan saudara seagama yang tidak mahu berkorban untuk Islam tetapi lebih banyak bertanya apakah yang mampu Islam berikan untuk kesenangan mereka. Tidak terlepas juga di mana kita terpaksa berhadapan dengan golongan munafik yang merosakkan Islam dan kesatuan umat Islam. Setelah cabaran dan ujian daripada ketiga-tiga golongan ini berjaya dilalui maka kita mampu berdepan dengan pengganas kuffar dengan lebih mudah dan senang. Sebab itulah kuffar terus menaja dan menjaga kepentingan ketiga-tiga golongan yang lahir dalam kelompok umat Islam ini agar pejuang Islam tidak terus berdepan dengan kuffar sebaliknya terpaksa melawan halangan daripada kalangan umat Islam terlebih dahulu.

Kita ingatkan kepada kuffar bahawa dunia Islam bukan selama-lamanya suram sebaliknya ia akan kembali terang. Biar nyawa terpisah dari badan namun kemuliaan Islam tetap dipertahankan. Semoga kemenangan yang pernah dicapai oleh nabi dan tentera Islam dalam peperangan Tabuk tanpa menumpahkan banyak darah kerana musuh berundur ketakutan maka begitulah juga kita semua sama-sama berusaha dan berdoa kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam masa terdekat hasil kesatuan umat Islam yang sama-sama kembali semula kepada seluruh sistem Islam dalam kehidupan seharian demi mencapai keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :

انفروا خفافا وثقالاوجــهدوا بأمولكم وأنفسكم فى سبيل الله ذلكم خيرلكم إن كنتم تعلمون

Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui

PERSOALAN SOLAT DALAM MAZHAB SYAFIE

SYARAT-SYARAT WAJIB SOLAT

1. Islam – tidak wajib ke atas orang kafir
2. Baligh – tidak wajib ke atas kanak-kanak
3. Berakal – tidak wajib ke atas orang gila, bodoh atau terencat akal.
4. Boleh mendengar dan melihat
5. Suci daripada haid dan nifas

SYARAT –SYARAT SAH SOLAT

1. Yakin masuk waktu solat.
2. Suci badan, pakaian dan tempat drp najis.
3. Suci drp hadas besar dan hadas kecil.
4. Menutup aurat.
5. Mengadap kiblat.

RUKUN-RUKUN SOLAT

1.Niat

2.Takbiratul Ihram

3.Berdiri tegak bagi yang berkuasa ketika solat fardhu dan bagi yang tidak berkuasa, disebabkan sakit dan sebagainya boleh melakukannya secara duduk, berbaring , telentang atau dengan isyarat.

4.Membaca surah al-Fatihah pada tiap-tiap rakaat.

5.Rukuk dengan toma`ninah.

6.I`tidal dengan toma`ninah

7.Sujud dua kali dengan toma`ninah

8.Duduk antara dua sujud dengan toma`ninah

9.Duduk tasyahud akhir dengan toma`ninah

10.Membaca tasyahud akhir

11.Membaca selawat ke atas nabi pada tasyahud akhir

12.Membaca salam yang pertama

13.Tertib ertinya mengikut urutan dalam mengerjakan rukun-rukun tersebut.

PERKARA SUNAT DALAM SOLAT

Perkara sunat dalam solat terbahagi kepada dua iaitu ;

1. SUNAT AB’AD – Perkara sunat yang sangat dituntut dan diberi pahala jika melakukannya. Jika tertinggal, tidak membatalkan solat, tetapi SUNAT diganti dgn SUJUD SAHWI. Ia terdiri drp ;

1.Membaca tasyahud awal.
2.Duduk membaca tasyahud awal.
3.Selawat ke atas nabi selepas membaca tasyahud awal.
4.Selawat ke atas keluarga Nabi pada masa tasyahud akhir.
5.membaca Qunut Subuh dan pada solat witir yang terakhir sejak malam 15 hingga akhir bulan Ramadhan.
6.Berdiri ketika membaca Qunut.
7.Selawat ke atas nabi selepas membaca Qunut.

2. SUNAT HAIAT - Perkara sunat yang sangat dituntut dan diberi pahala jika melakukannya. Jika tertinggal, tidak membatalkan solat. Ia terdiri drp ;

1.Mengangkat Tangan

2.Meletakkan tangan kanan ke atas belakang tangan kiri di bawah dada, di atas pusat sambil mengarahkan sedikit ke arah hati.

3.Membaca doa Iftitah.

4.Membaca Ta’awuz (A’uzubillah)

5.Menguatkan atau memperlahankan Bacaan Al-Fatihah.
6.Mengucap Amin slps membaca al-Fatihah.

7.Membaca Surah Al-Quran.
8.Mengucap takbir ketika hendak rukuk.
9.Membaca tasbih ketika rukuk.

10.Membaca tasbih ketika sujud.
11.Meletakkan kedua-dua tangan pada kedua-dua paha ketika duduk tasyahhud.

12.Duduk Iftirasy (duduk diatas buku lali kaki kiri dan jari kaki kanan dilipatkan dihadapkan ke kiblat).

13.Duduk Tawaruk (mengeluarkan kaki kiri ke sebelah kanan dengan menyentuhkan punggungnya ke lantai serta menegakkan tapak kaki kanan dengan jari dihadapkan ke kiblat.

14.Memberikan salam kedua selepas salam fardhu yang pertama.Salam yang kedua dengan berpaling ke kiri sehingga sekurang-kurangnya Nampak pipi kiri dipandang dari arah belakang.

PERKARA MAKRUH DALAM SEMBAHYANG

-Makruh mengikut jumhur ulama’ bermaksud tanzihiyyah, iaitu sesuatu yang patut dielakkan. Jika seseorang melakukan sembahyang secara makruh, maka sebaiknya dia hendaklah melakukannya semula sekiranya waktu masih ada. Secara umumnya, ukuran dalam menentukan sesuatu perkara makruh ialah setiap perbuatan dan perkara yang bertentangan dengan As-Sunnah.

-Antara perkara-perkara makruh dalam sembahyang ialah seperti berikut:

1.Meninggalkan sesuatu perkara sunat dalam sembahyang dengan sengaja.

2.Melakukan bacaan yang menyonsang dari susunan yang ada dalam Al-Qur’an.
3.Membaca dalam raka‘at kedua bacaan surah yang lebih panjang daripada yang dibaca dalam raka‘at pertama.

4.Mengulangi pembacaan surah yang sama dalam satu raka‘at yang sama atau dalam dua raka‘at.

5.Melakukan sesuatu yang tidak bermakna dengan tangannya tanpa ada sebab yang perlu.

6.Memejamkan kedua-dua mata semasa sembahyang tanpa keperluan.

7.Berpaling dengan dada masih menghadap qiblat ketika sembahyang tanpa sebarang sebab.

8.Berdiri sebelah kaki atau mengangkat sebelah kaki lalu disandarkan kepada kaki satu lagi.

9.Bersembahyang dalam keadaan menahan keinginan untuk membuang air kecil, air besar atau menahan daripada terkentut.

10.Mengerjakan sembahyang dalam keadaan bersandar ke dinding atau sebagainya.

11.Membaca surah atau ayat dalam dua raka‘at akhir sembahyang fardhu kecuali ma’mum yang masbuq yang ketinggalan raka‘at pertama dan kedua.

12.Membaca nyaring di tempat yang sepatutnya perlahan atau sebaliknya.

13.Menghamparkan kedua belah lengan semasa sujud seperti yang dilakukan oleh singa.

14.Mengerjakan sembahyang dengan menggunakan pakaian harian atau pakaian untuk bekerja sekiranya mempunyai pakaian yang lain.

15.Sembahyang tanpa berbaju sedangkan dia mampu memakainya.

16.Bersembahyang dengan pakaian yang terlukis dengan gambar binatang ataupun manusia.

17.Mengerjakan sembahyang di tempat-tempat seperti bilik mandi, pasar, tempat lalu lalang, kubur,gereja, tempat buangan sampah, tempat penyembelihan dan kandang binatang.

PERKARA YANG MEMBATALKAN SOLAT

-Sembahyang akan terbatal apabila seseorang yang bersembahyang melakukan salah satu daripada perkara-perkara berikut:

1.Percakapan yang disengajakan selain Al-Qur’an, zikir dan doa.Percakapan yang membatalkan itu sekurang-kurangnya terdiri daripada dua huruf atau lebih sekalipun tidak difahami maknanya. Begitu juga jika hanya satu huruf tetapi difahami maknanya.

2.Melakukan perbuatan atau pergerakan luaran yang banyak (lebih tiga kali) dan berurutan.

3.Gugur salah satu daripada syarat-syarat sembahyang. Antaranya:

a) Berlaku hadath sama ada kecil atau besar sebelum salam pertama secara sengaja atau tidak kecuali hadath yang berterusan seperti seorang yang berpenyakit buasir serius.

b) Terkena najis yang tidak dimaafkan sama ada pada badan, pakaian atau tempat sembahyang tanpa sempat dibuang atau dielakkan serta merta sebelum berlalu tempoh tama’ninah yang paling minima.

c) Aurat terbuka secara sengaja walaupun ditutup serta merta atau tidak sengaja tetapi sempat menutupnya serta merta.

d) Dada terpesong daripada qiblat dalam keadaan sedar.

e) Orang yang bersembahyang menjadi gila, pengsan atau mabuk semasa melakukannya.

4.Berlaku kepincangan pada salah satu rukun sembahyang seperti dalam keadaan berikut:

a) Mengubah niat dengan berazam untuk keluar daripada sembahyang atau menggantungkan tamat sembahyang dengan sesuatu perkara.

b) Syak pada niat, takbiratul ihram atau pada jenis sembahyang yang diniatkan.

c) Merasa ragu-ragu atau syak sama ada telah memutuskan sembahyang atau tidak.

d) Sesuatu rukun diputuskan dengan sengaja seperti melakukan i‘tidal sebelum sempurna ruku‘ secara tama’ninah.

e) Menambah mana-mana rukun dengan sengaja seperti menambah ruku‘ atau sujud.

f) Memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja.

5.Makan dan minum semasa sembahyang dengan banyak melebihi uruf.

6.Ketawa, berdehem, menangis, mengerang kesakitan yang dilakukan dengan sengaja hingga mengeluarkan bunyi yang jelas sekadar dua huruf sekalipun tidak difahami.

7.Murtad walaupun dalam bentuk gambaran kasar bukannya secara hukmi.

Sila Fahami & dan hafazkan dengan sebaik-baiknya,khususnya perkara rukun yang 13 itu.lihat mana yang rukun mana yang sunat agar solat kita termasuk dalam golongan orang yang khusyuk. (rujukan Kitab Mazhab Syafiee)