Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah
merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan
keredhaan, keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi SAW :"Sebaik-baik hari di
dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman : وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" (
Al-Fajr : 1).
Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk
kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir
Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :"Tiada
hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan
amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).
AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang
sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
a) Zikir : Iaitu
dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah
dan Allahu Akbar.Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih
oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka
menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta
memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.."
(Al-Hajj : 28).Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah
sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
b) Berpuasa : Amat
digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak
menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk
berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :"Tiada
hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah"
(Riwayat Muslim).Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada
hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
c) Melakukan lain-lain
amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia
semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh
Allah SWT.
d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk
memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat
biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang
amat agung di sisi Allah SWT ini.Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan
sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu
daya semata-mata.
e) Bertakbir : Ibn
Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula
sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga
Tashriq.
f) Berkorban :
Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah
SWT juga menyebut : وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ
تَقْوَى الْقُلُوب
Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah
(berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut : ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى
الله من إهراق الدم
Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih
disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih
binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi
yang dipertikaikan )
POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang
dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian
pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq
r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu
Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah
berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut
dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :- من أراد أن يضحي
فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih (
berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia
memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban
dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki,
Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.Bagaimanapun
ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan
bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan
untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW
mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah
sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan
Muslim.Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu
kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.TIDAK DIBENARKAN juga berkorban
hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih
dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah
biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.Pahala
Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa
oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan
lain-lain. Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana
Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan
bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.Firman Allah : لَن يَنَالَ
اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ
كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ
الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu
sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari
kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk
kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan
berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)
KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi
seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing
berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika
berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi
SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban : احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها
Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu
sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang
pertama"
BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau,
kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu,
kerbau.Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih
ramai mendapat merasai dan manfaatnya.
PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah
dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah
jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT : فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا
الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia
kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah : فَكُلُوا مِنْهَا
وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada
orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana
riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk
tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU
KEBANYAKKANNYA.Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan
penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal),
bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau
diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.TIDAK DIBENARKAN juga
sepakat ulama untuk menjual dagingnya.Namun tidak sepakat berkenaan penjualan
kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak
membenarkan. DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun
melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh
Muslim.
MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian
mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali,
Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. Namun
tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.
BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan
berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan
pendirian Islam berkenaannya. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada
menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis
hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.Jika ia
adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank
dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut
sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu
lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.Jika tempoh langsaian hutang
masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya
tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi
utama untuk dilaksanakan.Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad
sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah
wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga
menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan
‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat
bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi
pelangsaian hutang berbanding berkorban.