Friday, August 27, 2010


NUZUL QURAN & BADAR QUBRA

Pada hari 27 Ogos 2010 bersamaan dengan 17 Ramadhan 1431 hijrah, berlaku peristiwa besar dalam sejarah Islam. Apabila disebut Nuzul al-Quran, pasti ramai yang tahu mengenainya. Namun, jika disebut Badar Kubro, ramai diantara kita yang tidak mengetahuinya.
Perkara ini berlaku mungkin kerana tidak banyak info dan maklumat disebarkan berkenaan peristiwa Badar Kubro berbanding dengan peristiwa Nuzul al-Quran yang amat masyhur dikalangan umat Islam di Malaysia.
NUZUL AL-QURAN
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi S.A.W hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad S.A.W.
Perkataan Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi S.A.W, maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.
Al-Quran bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadah,  jinayah,  muamalah,  sains,  teknologi dan sebagainya. Firman Allah S.W.T :Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). Al-An’am : Ayat 38
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.
Al-Quran juga dikenali sebagai al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah al-‘Alaq :Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. – Al-‘Alaq : Ayat 1-5
BADAR KUBRO
Tanggal 17 Ramadhan juga, Allah S.W.T mengatur kemenangan umat Islam Generasi Pertama mengalahkan tentera kuffar di pekan Badar, 150 km dari Madinah.Ia bukan sahaja salah satu kisah perjuangan Rasulullah S.A.W, malah ia adalah satu noktah peralihan yang penting dalam sejarah perjuangan Islam. Ia adalah juga tanda jalan dan pengajaran yang penting kepada para pendakwah sepanjang zaman sehingga ke Hari Kebangkitan.
Sebaik mendengar rombongan dagang Abu Sufian bergerak dari Mekah menuju arah utara ke Syam dimana sudah pasti rombongan tersebut akan melalui Madinah yang berada di tengah-tengah perjalanan, Rasulullah S.A.W merancang untuk merampas harta dagangan tersebut.
Namun, rombongan dagang Abu Sufian seramai 40 orang meluncur laju, berjaya melepasi Madinah dan tiba ke Syam. Rasulullah S.A.W terpaksa pula menunggu mereka pulang melalui Madinah, jaraknya 400 km sebelum tiba ke Mekah di selatan.
Apabila menghampiri Madinah, Abu Sufian dapat merasai bahaya yang menunggu, sedang beliau diiringi oleh hanya 40 orang pedagang, bukan pejuang.
Dia meramas tahi-tahi unta yang berdekatan. Ia berisi biji-biji kurma. Pasti ia unta dari tentera perisikan Muhammad S.A.W kerana unta-unta Madinah, sebuah bandar pertanian kurma, memakan buah kurma, sedang unta-unta kabilah lain memakan rumput kering.
Abu Sufian menghubungi pimpinan Quraisy di Mekah untuk meminta pertolongan. Mekah menghantar 1000 tentera. Harapan 313 orang Islam untuk melawan mudah 40 pedagang bersama Abu Sufian meleset.
Tidak semua orang Islam membawa senjata kerana beranggapan mereka hanya akan melawan 40 orang pedagang.
Perang akhirnya meletus dan diakhiri dengan kemenangan dipihak Islam yang serba kekurangan disegi kelengkapan tetapi tinggi disegi keimanan dan keperwiraan.
HIKMAH DAN PENGAJARAN
Pertama : Perang atau Jihad, adalah satu kefardhuan bagi umat Islam sehingga ke Hari Kiamat. Ia adalah suatu yang realiti. Persediaan kearahnya adalah mesti. Tuntutan terhadapnya demi kemenangan Islam adalah pasti.
Kedua : Didalam hidup ini, kadangkala kita menghendakki sesuatu tetapi Allah menghendaki yang lain pula, dengan hikmah yang tertentu yang hanya diketahui olehNya.
Ketiga : Bilangan dan kelengkapan bukan semestinya membawa kepada kemenangan dalam perjuangan. Hakikatnya, keimanan dan pertolongan Allah S.W.T yang menentukan kejayaan.
Tazkirah 17 Ramadhan 1431H

Friday, August 20, 2010

Tazkirah 10 Ramadhan 1431H
MUHASABAH FASA-FASA RAMADHAN

Seperti mana yang kita ketahui, sekarang kita berada pada hari ke 10 dan malam ke 11 Ramadhan. Kalau dirujuk pada fasa-fasa dalam bulan Ramadhan, kita telah memasuki fasa pertengahan Ramadhan iaitu fasa pengampunan. Sepertimana dalam hadis, Ramadhan dapat dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa Rahmat, fasa Pengampunan dan fasa Pelepasan dari Api Neraka.Namun persoalannya, adakah semua yang telah berpuasa melalui fasa pertama sehingga kini secara automatik mendapat Rahmat? Maka jawapannya adalah tidak. Hal ini disebabkan syarat untuk mendapat rahmat daripada Allah ada tiga iaitu:1. Beriman 2. Berhijrah 3. Berjihad di jalan Allah.
Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah; 218,maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Justeru muslim yang telah memenuhi syarat ini sahajalah yang mendapat Rahmat daripada Allah. Seterusnya mari kita menelusuri fasa kedua iaitu fasa pengampunan. Sama seperti persoalan yang pertama, tidak kesemua umat Islam yang berpuasa layak mendapat pengampunan dari Allah s.w.t. Hanya mereka yang bertaqwa layak beroleh pengampunan dari Allah.Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Ali-Imran; 133,maksudnya : Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,

Dalam ayat ini, perkataan maghfirah dinyatakan dahulu sebelum jannah. Ini menunjukkan bahawa tanpa pengampunan dari Allah, janganlah harap beroleh syurga dari Nya. Mari kita lihat kaitan di antara maghfirah dan rahmat Allah. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah menyatakan bahawa kita semua hanya dapat masuk ke dalam Syurga dengan Rahmat dari Nya. Ini menunjukkan kaitan yang cukup signifikan bagaimana rahmat dan maghfirah dari Allah membolehkan kita memperoleh syurga.Mari kita beralih kepada satu doa dari Al-Quran yang cukup popular;RABBANA ATINA FIDDUNIA HASANAH WA FIL AKHIRATI HASANAH WA QINA AZABANNAR

Imam Al-Qurtubi menafsirkan Hasanah fiddunia itu adalah berada di jalan yang lurus (Siratul Mustaqim) sewaktu di dunia. Jalan yang manakah yang dianggap lurus? Ia adalah jalan Allah dan jalan Rasul. Hal ini dijelaskan dalam Surah Yasin ayat 3, 4 dan 61.. Hasanah filakhirah pula ditafsirkan sebagai mendapat pengampunan dari Allah s.w.t. Tafsiran ini sekali lagi selari dengan ayat yang disebut sebelum ini. (2:218)

Berbalik kepada syarat mendapat pengampunan dari Allah iaitu bertaqwa. Bagaimana untuk beroleh TAQWA. Hal ini tidak dapat tidak perlu kepada menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai uswah ataupun qudwah. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya;31. Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Asbabun Nuzul ataupun sebab turunnya ayat ini berlaku di Madinah. Sewaktu nabi menjadi Ketua Negara Madinah, baginda bukan sahaja memerintah dengan saksama, malah giat menyeru kepada Islam. Namun, terdapat ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani yang berkata kepada Muhammad, “Wahai Muhammad, Engkau ingat engkau sahajakah yang mencintai Allah? Kami juga mencintai Allah.”Tetapi ahli kitab ini yang sebenarnya mengetahui akan kerasulan Nabi enggan menganut Islam. Maka turunlah ayat di atas yang menjawab persoalan tersebut.

Terdapat satu lagi peristiwa yang berlaku berkaitan TAQWA. Peristiwa ini mengambil tempat sewaktu pembukaan Kota Makkah (Fathu Makkah). Setelah Kota Makkah yang dipenuhi dengan berhala itu dibersihkan, maka Rasulullah S.A.W mengarahkan Bilal untuk naik ke atas Kaabah dan melaungkan azan. Namun, terdapat mereka yang cemburu dengan Bilal sehingga terkeluar kata-kata ini; “Di antara ramai umat Islam ini mengapalah si gagak hitam itu yang terpilih untuk melaungkan azan”. Gagak hitam itu merujuk kepada Bilal. Bilal sememangnya berketurunan Habsyi & berasal dari Eithopia.

Lalu turunlah firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat ke 13 mafhumnya: Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.

Peristiwa ini menunjukkan betapa mulianya Bilal pada pandangan Allah. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Bilal pernah berjalan di hadapan Rasulullah. Sejurus selepas itu Rasulullah terus bertanya kepada Bilal, “Apakah amalanmu wahai Bilal?”. Bilal menjawab, “Sepanjang pengetahuan saya Rasulullah, tiada yang istimewa, cuma seingat saya, setiap kali saya berwudhu’ saya tidak akan lupa untuk menunaikan solat sunat dua rakaat, mengapa kau bertanya begitu Ya Rasulullah?”, Bilal bertanya. “Sewaktu kau berjalan di hadapanku tadi, aku dengar tapak kaki yang sama bunyinya dengan tapak kaki yang aku dengar di Syurga sewaktu aku di Mi’raj kan dahulu.”
Masya Allah. Betapa di dunia lagi sudah ditunjukkan tanda-tanda orang yang bertaqwa.
Selain itu, dalam bulan Ramadhan ini, kita dianjurkan untuk mengamalkan 4 perkara ini;
1. Mengucapkan istighfar
2. Mengucapkan Lailahaillallah
3. Berdoa agar sentiasa dapat melakukan perkara yang mendapat Redha Allah dan mendapat syurga Allah.
4. Berdoa agar sentiasa dapat menghindarkan perkara yang dimurkai Allah dan terlepas dari siksaan api neraka.

Friday, August 13, 2010

Tazkirah 3 Ramadhan 1431H

 
"Kalau sembahyang 8 rakaat tu malas maknanya", "mana satu yang lebih afdal kita ikut? Nabi Muhammad SAW atau Sayyidina Umar RA?, Inilah sebahagian persoalan yang timbul setiap kali tibanya bulan Ramadan. Memanglah baik dan sunat yang dituntut untuk bersolat tarawih, namun polemik yang tak berkesudahan kadang-kadang menonjolkan kejahilan sendiri, kerana banyak lagi perkara wajib yang diabaikan, perkara sunat pula yang diperdebatkan. Polemik ini seakan-akan tidak pernah selesai, walaupun pelbagai pendapat dan hujah yang telah dikeluarkan oleh ulama bagi menjelaskan masalah ini. Sepakat ulama’ bersetuju bahawa solat tarawih boleh dilakukan secara jemaah, cuma mereka khilaf mengenai jumlah rakaat yang dilakukan. Terdapat riwayat yang sahih mengenai zikir selepas witir, yang wujud didalam amalan solat tarawih di Nusantara ini dan telah ditambah beberapa amalan lain seperti selawat dsb.

Rata-rata dinegara Islam masih mengekalkan kewujudan solat secara berjemaah dan kedapatan rihat seketika setelah selesai solat 2 rakaat tarawih. Cuma apa yang berbeza ialah pengisian yang dilakukan diantara solat-solat tarawih tersebut. Terdapat beberapa amalan yang dilakukan diantara waktu-waktu rehat diantara solat tarawih, diantaranya adalah : berzikir, membaca al-quran, tawaf ; cuma bezanya amalan-amalan ini dilakukan dinegara-negara Arab ialah ianya dilakukan secara individu. Menurut bekas Pengerusi Lajnah Fatwa al-Azhar, Syiekh Atiyah Saqr :-. “Selingan yang sama berlaku pada masyarakat Mekah pada masa solat tarawih ialah bertawaf mengelilingi kaabah 7 pusingan selepas selesai 2 rakaat tarawih, perkara ini yang menjadikan masyarakat Madinah melebihkan bilangan rakaat tarawih keatas 20 sebagai gantian kepada tawaf, dan ini adalah cara sistematik untuk mengetahui berapa bilangan yang mereka solat, disamping akitiviti2 solat, maka tidaklah ditegah secara mutlak! Ini tidaklah dimasuk dibawah apa yang dinamakan bid’ah., nas-nas umum membuktikannya, disamping tidak ada bangkangan terhadapnya, dan jika ia dinamakan atas nama bid’ah, maka samalah dengan apa yang disebutkan oleh Umar ra : Ini adalah senikmat-nikmat bid’ah, apabila beliau melihat orang Islam bersolat tarawih berjemaah dibelakang Ubay bin Kaab”

Jelas menunjukkan bahawa masyarakat Mekah pada zaman dulu melakukan tawaf dimasa rehat diantara 2 solat tarawih, dan masyarakat Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz menambah rakaat sampai kepada 36 rakaat dan 3 witir sebagai ganti ibadat tawaf. Begitu juga semasa selingan (rehat) diantara 2 rakaat atau 4 rakaat solat tarawih boleh diisi dengan bacaan al-Quran, berselawat, berdo’a dsb, yang jatuh kepada definasi luas ibadat zikir. Berkata al-Syiekh lagi :
“Disana tidak ada nas yang melarang berzikir atau berdo’a atau membaca al-Quran diantara setiap 2 rakaat tarawih atau setiap empat rakaat misalnya, dan ia masuk didalam kategori perintah umum berzikir didalam setiap keadaan. Pada umumnya para salaf tidak melakukannya dan tidak juga menunjukkan ianya dilarang.”

Syiekh Atiyah Saqr menjelaskan bahawa tidak pula terdapat apa-apa larangan mengenai amalan yang dilakukan pada waktu selingan tersebut. Menurut sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Daar al-Iftaa’“Adalah digalakkan duduk diantara setiap 4 rakaat dengan kadarnya, begitulah diantara 5 tarawih dan witir, dan ini diwarisi sejak dari golongan salaf sebagaimana solat Ubay bin Kaab dan para sahabat yang diriwayatkan oleh Abi Hanifah - dan nama tarawih (rehat-rehat) itu sendiri dibina atas dasar ini - maka yang afdal ialah menunggu, dan tidak ada riwayat para salaf mengenai perkara tertentu yang mereka lakukan, yang dinyatakan semasa menunggu, dan masyarakat setiap negara bebas memilih masa/waktu untuk duduk, dan diantara rehat dilakukan pembacaan al-Quran, dan bertasbih, dan Solat 4 rakat berseorangan, bertahlil, bertakbir atau menunggu dengan berdiam diri dan tidak ada sesuatu perkara khas yang di lakukan.”

Apa yang jelas disini ialah amalan selingan itu dilakukan oleh individu2 yang mempunyai hajat dan cara masing-masing bagi mempertingkat amalan dibulan Ramadhan. Tidak ada kaifiat khas atau bacaan2 yang dikhaskan sebagai selingan diantara rakaat-rakaat tarawih. Mengenai bacaan selingan yang dibaca negara kita, terdapat nas-nas yang menunjukkan bahawa bacaan tersebut dibaca setelah selesai solat tarawih atau dibaca selepas witir. Dari Ubay bin Kaab ra
:
“Rasulullah saw apabila selesai memberi salam solat witir, beliau berkata :’Subhana al-Malik al-Quddus’” - [Hadith riwayat al-Nasaa’i]. Didalam riwayat yang lain Rasulullah saw menyebut zikir tersebut sebanyak 3 kali.

Imam Ahmad menyebut bahawa Rasulullah saw membacanya secara kuat, didalam musnadnya menyebut :-“Sesungguhnya baginda membaca didalam witir membaca ayat Sabbihasma rabbikal ‘alaa, Qul Ya Aiyyuhal Kaafirun, dan Qul hu Allahu Ahad, dan apabila selesai salam akan mambaca : ‘Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus’ sambil menguatkan suaranya”

Kesimpulannya, ulama salaf pada masa dulu cuma melakukan rehat diantara rakaat-rakaat tarawih tanpa memberi pengkhususan mengenai amalan yang mereka lakukan. Didalam pengisian masa rehat tersebut ada yang berzikir, adan yang membaca al-Quran malah bagi mereka yang berada di Mekah akan melakukan tawaf mengelilingi Kaabah. Cuma tidaklah mereka ini melakukan secara berjemaah amalan-amalan semasa rehat didalam solat tarawih seperti yang diakukan oleh masyarakat sekarang dengan selawat2. Apa yang boleh kita tekan disini ialah, dimasa selingan solat tarawih, bolehlah dilakukan amalan yang boleh menambahkan pahala dan juga memohon pengampunan dari Allah swt. Kalau dirasakan dengan berselawat dapat menambahkan lagi keImanan, maka bolehlah dilakukan. Dan janganlah lakukan sesuatu amalan secara menjerit2 tanpa mengetahui makna dan tujuan melakukannya. Setiap manusia itu ditanggung jawabkan atas apa yang mereka katakan.
Kesimpulan yang dapat kita ambil dari petikan diatas :-
a. Solat tarawih merupakan solat sunat, boleh dilakukan secara berseorangan dan juga berjemaah. Dilakukan setelah melakukan solat Isya’ pada bulan Ramadhan.
b. Jumlah rakaat yang boleh dilakukan adalah 8, 20, 36 atau seberapa yang mampu. Contohnya jika dilakukan 8 rakaat, bolehlah dilakukan secara 2 rakaat satu salam dan seterusnya.
c. Setelah selesai bersolat tarawih, bolehlah melakukan solat sunat witir (3 rakaat).
d. Tiada bacaan khas didalam solat tarawih. Bacalah surah mana-mana mengikut kemampuan anda jika anda bersolat bersendirian. Cuma, kalau ada diberi kelapangan masa, sertailah jemaah dimasjid bagi merebut peluang menggandakan pahala di bulan yang mulia ini dengan solat berjemaah tarawih, Insya-Allah.
RUJUKAN:1. Sheikh Atiyyah Saqr. Ahsan al-Kalaam ; fi al-Fataawa wa al-Ahkam - 2. Dar al-Ghad al-’Arabi, 1994. ms 234, dan 103.

Wednesday, August 11, 2010

Tazkirah 1 Ramadhan 1431H
Kami selaku AJK Surau Nurul Yaqiin Taman Sri Saujana mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa dan rebutlah segala peluang yang ada pada bulan ini dengan semaksima yang mungkin.Makluman juga di surau ini kami menyediakan program-program yang telah di atur bagi memeriahkan lagi Ibadah Puasa ini seperti tadarus Al-quran,kuliah subuh,Tazkirah selepas tarawih.Tuan puan semua di jemput hadir.