Dalam syariat Islam, sebelum dilaksanakan pembahagian pusaka kepada ahli waris, maka hendaklah terlebih dahulu diselesaikan hak-hak yang berkaitan. Secara umumnya jumhur ulama berpendapat terdapat lima hak ke atas harta peninggalan yang perlu diselesaikan secara tertib atau berperingkat-peringkat iaitu:
1- Hak Perhutangan yang Ditanggung oleh Harta Si Mati
Maksud hak perhutangan yang ditanggung oleh harta si mati ialah keadaan harta yang masih terikat dengan orang lain walaupun zahirnya adalah milik si mati. Misalnya seperti barang gadaian dan juga haiwan ternakan milik si mati yang telah merosakkkan tanaman orang lain, maka kedua-duanya tergolong di dalam kategori ini. Sehubungan dengan itu, maka menjadi kewajipan tanggungjawab ahli waris si mati umtuk melunaskan gadaian dan membayar gantirugi kerosakan yang dilakukan oleh haiwan ternakan. Hal ini perlu dilaksanakan dengan segera oleh para waris setelah kematian si mati mengikut pandangan jumhur ulama. Pada pendapat sebahagian ulama madhhab Hanafi berpendapat hak perhutangan yang tertanggung ke atas harta sebagai hak pertama yang wajib dilunaskan oleh para waris. Jika semua harta si mati habis kerana melunaskan perkara tersebut, maka si mati dianggap tidak meninggalkan harta.Selain daripada dua contoh di atas, sebahagian urusan muamalat semasa juga termasuk di dalam kategori ini iaitu seperti melunaskan caruman takaful sebagai syarat memperolehi manfaat, menjelaskan baki hutang ke atas harta yang digadaikan ketika membeli, membayar gantirugi untuk mendapatkan wang deposit si mati, dan sebagainya. Oleh itu, harta-harta yang pernah digadaikan oleh si mati semasa hidupnya, maka ahli waris si mati mestilah terlebih dahulu menebus harta tersebut sebelum harta itu dijadikan sebagai harta pusaka untuk mereka yang berhak menerimanya.
2-Mengeluarkan Perbelanjaan Untuk Menyelenggarakan dan Menguruskan Pengkebumian Si Mati
Hak kedua yang perlu didahulukan sebagai hak-hak si mati sebelum membahagikan harta pusaka ialah menggunakan harta peninggalan si mati untuk perbelanjaan bagi menguruskan pengkebumian si mati seperti membeli kain kapan, membayar upah memandikan si mati dan peralatannya, upah menggali kubur, keranda mengusung, serta sebagainya. Pemberian kepada orang yang menyembahyangkan jenazah yang biasanya dua ringgit atau lima ringgit seorang adalah tidak dikira sebagai belanja pengkebumian yang wajib. Oleh itu, ia tidak boleh diambil daripada harta si mati. Begitu juga bagi mereka yang membuat ratib tahlil, misalnya satu hari, tiga hari, tujuh hari, dan sebagainya ia bukanlah satu perkara yang wajib. Oleh itu perbelanjaan mengadakannya tidak boleh dianggap sebagai belanja pengkebumian.
- Para ulama fiqh menegaskan bahawa perbelanjaan untuk menyelenggarakan dan menguruskan si mati mulai dari saat kematiannya hingga ke saat pengkebumiannya mestilah diambil daripada harta peninggalannya mengikut ukuran yang sederhana sahaja, tidak berlebih-lebihan, dan tidaklah pula tersangat kurang. Jika berlebih-lebihan di dalam perbelanjaan pengurusan dan penyelenggaraan si mati, maka sudah pasti akan mengurangi hak ahli waris. Sebaliknya jika tersangat kurang, maka sudah tentu pula akan mengurangi hak si mati. Kedua-dua ini adalah berlawanan dengan kehendak syarak. Kesederhanaan dalam membelanjakan harta telah ditegaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya iaitu:Maksudnya:“Dan orang-orang (yang diredhai Allah itu) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah berlebihan dan tiada pula kikir; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah di tengah-tengah di antara kedua-duanya demikian”.
3-Membayar Hutang-Hutang Mutlak Si Mati
Hak si mati yang ketiga yang perlu diselesaikan oleh ahli-ahli warisnya setelah mengkebumikan si mati iaitu menjelaskan bayaran hutang-hutang yang masih menjadi tanggungan si mati. Hutang-hutang yang masih menjadi tanggungan si mati ada dua kategori iaitu hutang-hutang si mati kepada Allah dan hutang-hutang si mati kepada manusia.
1) Hutang-Hutang Si Mati Kepada Allah
Jumhur ulama telah berpendapat bahawa hutang-hutang Allah adalah berkaitan dengan apa yang ditinggalkan oleh si mati. Mengikut pendapat yang asah (???) dalam mazhab As-Syafii telah menyatakan bahawa hutang kepada Allah seperti zakat, kifarat, dan haji hendaklah didahulukan ke atas hutang kepada manusia. Pendapat mereka berdalilkan kepada hadis daripada Ibnu Abbas R.A iaitu:Maksudnya:“Sesungguhnya seorang wanita telah datang kepada Rasulullah S.A.W maka dia berkata: Jika ibuku telah meninggal dunia, adakah ke atasnya puasa (bulan Ramadhan). Maka Rasulullah berkata: Adakah kau berpendapat kalau ke atasnya hutang, adakah kau akan menggantikannya (qadha’ puasa). Maka berkata wanita itu: Ya. Maka Rasulullah S.A.W bersabda: Maka hutang Allah berhak diganti”.
- Setelah si mati telah meninggal dunia, hak yang perlu dilaksanakan oleh ahli warisnya ialah membayar zakat harta-harta si mati yang telah sempurna dari segi haul dan nisab, cukup syarat-syarat untuk dikeluarkan, dan zakat tersebut belum sempat dikeluarkannya. Maka wajib menjadi tanggungjawab ahli warisnya bagi mengeluarkan zakatnya sebelum harta pusaka tersebut dibahagi-bahagikan di antara mereka. Namun bagi pendapat Abu Hanifah bagi Madhhab Hanafi telah berpendapat bahawa telah gugur pembayaran zakat bagi orang-orang yang telah mati. Hal ini disebabkan beliau berpandangan bahawa hutang-hutang kepada Allah merupakan ibadat-ibadat wajib yang mesti wujud niat dan ikhtiar. Maka si mati tidak dapat lagi melakukan kedua-duanya kerana ia telah gugur tanggungan atas kematiannya. Namun begitu jika si mati ada mewasiatkan kepada waris-warisnya bahawa dirinya masih ada hutang dengan hak-hak Allah, maka itu wajib dilaksanakan oleh warisnya. Jika tidak mewasiat atau tidak sempat mewasiatkan perkara itu, maka segalanya kehendak Allah untuk mengazab atau mengampunkan si mati dengan keadilan-Nya.
- Sekiranya si mati mempunyai tanggungan kifarat, contohnya seperti si mati pernah bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan namun tidak sempat melaksanakan kifarat tersebut, maka wajiblah ke atas waris-waris menyelesaikannya. Jika si mati ketika hayatnya mempunyai nazar untuk melakukan perkara tabarruc, akan tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat menunaikan nazarnya, maka itu juga tanggungjawab para waris untuk menyempurnakan nazarnya. Di samping itu, jika si mati semasa hayatnya masih belum menunaikan haji yang wajib ke atasnya, maka waris-waris hendaklah menguruskan upah haji si mati. Dan sekiranya si mati sepanjang hidupnya pernah meninggalkan puasa fardhu di bulan Ramadhan ataupun tidak sempat mengqadha’kannya akibat sakit, maka wajib ke atas waris-waris si mati membayar fidyah puasa si mati.
2) Hutang-Hutang Si Mati Kepada Manusia
Hutang-hutang si mati kepada manusia adalah merangkumi hal muamalat yang pernah dilakukannya namun tidak sempat menyelesaikannya iaitu seperti berhutang untuk meminjam wang atau harta dan si mati pernah membuat pembelian secara tangguh. Ahli waris mestilah menggunakan harta pusaka peninggalan si mati untuk menjelaskan hutang-hutang si mati yang masih belum dibayar sebelum harta tersebut dibahagi-bahagikan kepada mereka yang berhak menerimanya. Hal ini disebabkan hutang-hutang yang ditanggung oleh si mati akan mengakibatkan rohnya tergantung jika tidak diselesaikan hutang tersebut. Hal ini jelas di dalam hadis Rasulullah S.A.W yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah iaitu:Maksudnya:Daripada Abu Hurairah r.a telah berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.
4 -Melaksanakan dan Menyempurnakan Wasiat Si Mati
Mengenai wasiat yang dibuat oleh orang yang telah meninggal dunia sewaktu dirinya masih hidup dalam kadar yang dibenarkan oleh syarak, iaitu tidak lebih daripada satu pertiga harta peninggalan setelah diambil dan ditolak perbelanjaan menyelenggara serta menguruskan pengkebumian si mati, dan juga setelah dibayar hutang-hutang yang masih menjadi tanggungan si mati. Wasiat menurut pandangan ulama madhhab syafici juga merupakan pemberian atau sumbangan sama ada harta itu sendiri atau manfaatnya oleh seseorang kepada pihak lain setelah dirinya meninggal dunia bertujuan untuk melakukan amal kebajikan (tabarru’). Wasiat (yakni kurang satu pertiga daripada harta) tidaklah memerlukan kepada persetujuan di kalangan ahli waris, bahkan wasiat itu adalah sah tanpa persetujuan mereka.
Akan tetapi jika wasiat itu lebih daripada satu pertiga daripada harta peninggalan, maka wasiat yang lebih daripada kadar yang ditetapkan itu tidak diluluskan oleh hukum syarak dan tidak sah, melainkan dengan keredhaan dan izin persetujuan ahli-ahli waris. Hal ini adalah berhujahkan dengan hadis melalui sabda Rasulullah SAW kepada sahabatnya iaitu Saad bin Abi Waqas mengenai pertanyaan beliau semasa dirinya sakit yang berbunyi:Maksudnya:“Diriwayatkan daripada Saad bin Abu Waqqas r.a katanya: Pada waktu Haji Wida' Rasulullah s.a.w menziarahiku ketika aku sedang sakit tenat. Waktu itu aku berkata: Wahai Rasulullah, lihatlah keadaan aku yang berada dalam keadaan tenat ini sebagaimana yang kamu lihat, sedangkan aku ini seorang hartawan dan hanya seorang anak perempuan sajalah yang akan mewarisi harta saya. Adakah saya boleh mengeluarkan sedekah dua pertiga dari harta saya? Baginda menjawab: Tidak! Aku bertanya lagi: Bagaimana kalau sebahagiannya? Baginda menjawab: Tidak! Tetapi satu pertiga dan satu pertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan papa dan meminta-minta kepada orang lain”.
Di dalam perbincangan mengenai mendahulukan wasiat terlebih dahulu atau mendahulukan membayar hutang perlu lebih diutamakan, maka timbul kemusykilan mengenainya ketika mana merujuk pada nas firman Allah ayat 11 surah An-Nisa' secara zahir iaitu:Daripada sesudah wasiat yang dia wasiatkan dengannya atau (dibayar) hutang.
Ayat di dalam surah An-Nisa’ ayat 11 tersebut secara terang mendahulukan hak wasiat berbanding dengan hutang. Walau bagaimanapun pentafsiran sesuatu ayat Al-Quran mesti dikaji mengikut adabnya iaitu mentafsirkan sesuatu hukum Al-Quran dengan hadis Rasulullah S.A.W selepas tidak terdapat nas-nas Al-Quran yang menyatakan tentang hukum tersebut. Maka para ulama telah mendapati terdapat hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi dan lain-lain iaitu:Maksudnya:Daripada Al-Harith meriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib r.a katanya: “Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W telah memutuskan bahawa membayar hutang itu mendahului wasiat, dan kamu semua membaca (ayat Al-Quran) bahawa menunaikan wasiat itu sebelum membayar hutang”. Telah berkata Abu Isa bahawa telah beramal para ahli ilmu dengan mendahulukan membayar hutang sebelum (menunaikan) wasiat.
Persoalan yang akan timbul mengapa di dalam firman Allah S.W.T mendahulukan wasiat daripada hutang. Hal ini telah diperjelaskan oleh Imam Al-Kasaniy di dalam kitabnya Bada i’ As-Sona i’ bahawa adapun hikmah daripada mendahulukan wasiat pada sebutan ke atas membayar hutang di dalam ayat berkenaan merupakan peringatan daripada Allah S.W.T kepada kita supaya wajib melaksanakan wasiat orang yang telah meninggal dunia jika wasiat itu tabarru’. Bagi pendapat Imam al-San’aniy pula telah menjawab persoalan tersebut dengan berkata:“Imam al-Suhayliy telah menjawab persoalan ini dengan berkata: Sesungguhnya tujuan wasiat adalah untuk membuat kebaikan dan menghubungkan silaturahim sesama manusia manakala hutang pula adalah untuk melunaskan tanggungjawab si mati, maka mendahulukan wasiat untuk menunjukkan kebaikan si mati itu tentu lebih baik”.Sesungguhnya wasiat merupakan satu perbahasan yang cukup panjang dan teliti sehinggakan para ulama fiqh meletakkannya satu bab khusus di dalam penulisan mereka. Memandangkan penulis hanya ingin mengupas tentang hak-hak berkaitan dengan harta peninggalan, maka apa tang dibincangkan sudah memadai sebagai pendedahan awal untuk mengetahui hak keempat ini.
5- Hak Membahagikan Harta kepada Para Waris
Sesudah menyelesaikan empat hak harta peninggalan si mati yang telah dibincangkan sebelum ini, maka baki harta yang tinggal tersebut merupakan harta pusaka atau istilah fuqaha’ dikenali sebagai al-mirath atau al-fara’id. Maka hak kelima ini adalah untuk menentukan bahagian-bahagian yang boleh diwarisi oleh waris-waris si mati sebagaimana yang ditetapkan Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan hadis-hadis baginda S.A.W.Bagi menepati kehendak syariat dari segi pembahagian pusaka tersebut, maka pihak yang membahagikan harta tersebut hendaklah mengetahui rukun perwarisan, sebab-sebab perwarisan, syarat perwarisan, halangan-halangan perwarisan, ahli waris dan bukan waris, cara pembahagian dan kadar bahagian, serta sebagainya sepertimana yang dijelaskan oleh para ulama di dalam bab al-fara’id