Jumaat bukan
hujung minggu atau permulaan kepada hujung minggu.
Ia adalah
hari permulaan kepada minggu yang baru. Perilaku kita pada satu Jumaat, Insya
Allah banyak mempengaruhi hari-hari yang berikut dalam minggu tersebut hingga
datang Jumaat yang seterusnya. Muhasabahlah keadaan diri kita pada hari Jumaat,
untuk sebuah minggu yang lebih baik, mudah-mudahannya.
Hari Jumaat
ada banyak amalan untuk memakmurkannya.Rebutlah beberapa keutamaan penting yang
disediakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala khusus dengan kedatangan hari ini.
MEMBACA SURAH
AL-KAHF
Antaranya
ialah membaca dan bertadabbur dengan Surah al-Kahf.
FUNGSI SURAH
AL-KAHF
Menurut Sahib
Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang
yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan ‘tools‘ untuk
menghasilkan tiga perkara:
1.
(تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem
kepercayaan (Aqidah)
2.
(تصحيح منهج الفكر و النظر) Membetulkan metod berfikir dan memerhati (Pandangan Hidup)
3.
(تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan
(Nilai)
CHECK LIST
Justeru, usai
membaca Surah al-Kahf, jawab soalan-soalan berikut sebagai menilai keberkesanan
isi kandungan Surah itu kepada kehidupan kita:
1.
Apabila mempercayai sesuatu dalam hidup ini,
atas asas apakah ia dipercayai? Aqidah, Ibadah, urusan jual beli dan
kepenggunaan, bagaimanakah kita menetapkan pendirian tentang keputusan ‘buy-in‘ kita
terhadap sesuatu yang datang ke dalam hidup?
2.
Bagaimanakah kejadian-kejadian di dalam hidup
ini diberikan makna? Kerjaya, keluarga, perancangan hidup, adakah ia sekadar
makna kulit bagi setiap perkataan itu atau ada makna yang lebih besar? Jika
sistem ganjaran terhadap kerjaya dan keluarga gagal memenuhi jangkaan diri,
bagaimanakah ia diatasi dan di sisi manakah kita mendapatkan kepuasan
mengenainya?
3.
Apakah yang baik, berguna, penting dan utama
dalam hidup ini? Bagaimana pertembungan di antara pelbagai komitmen ke atas
diri yang satu, disusun atur antara yang perlu disusun atur, atau dibuang dan
diabaikan seandainya tidak perlu? Bagaimanakah keputusan untuk hal-hal ini
dibuat? Atas pertimbangan apakah keputusan itu dibuat?
Ini adalah
soalan kehidupan yang boleh digunakan untuk menilai, sama ada ‘tools‘ yang
terdapat di dalam Surah al-Kahf berjaya digarap atau sebaliknya.
Fitnah Dajjal
tidak datang dalam bentuk ancaman fizikal. Ia muncul dalam keadaan kita pun
mungkin tidak sedar dengan kemunculannya. Ia menyelinap masuk mengganggu gugat
kepercayaan, merosakkan sistem fikir dan sistem nilai.
MUHASABAH
Surah al-Kahf
merumuskan bahawa:
1.
Harta dan sebarang pemilikan fizikal adalah liabiliti
(nilai tanggungan). Hanya dengan
menghubungkan semua harta dan fizikal dengan Allah, ia menjadi aset.
2.
Ilmu adalah liabiliti. Hanya dengan
menghubungkan semua ilmu dengan Allah, ia menjadi aset.
3.
Kuasa adalah liabiliti. Hanya dengan
menghubungkan kuasa dengan Allah, ia menjadi aset.
4.
Kepercayaan adalah pembinasa kerana ia punca
kita salah menafsir makna. Ia adalah liabiliti. Hanya dengan kepercayaan yang
menjadikan kita berhubung dengan Allah, ia menjadi aset.
Muhasabah
KEPERCAYAAN anda (cetusan kisah Ashaab al-kahf).
Muhasabah
HARTA anda (cetusan kisah lelaki kafir pemilik dua kebun).
Muhasabah
ILMU anda (cetusan kisah Musa dan Khaidir).
Muhasabah
KUASA anda (cetusan kisah Zulqarnain).
Adakah setiap
satunya itu ASET atau LIABILITI?
Jika setiap
satunya membawa kita kepada Allah, maka ia adalah aset yang penting bagi
pelaburan hidup dunia dan Akhirat.
Jika setiap
satunya gagal membawa kita kepada Allah, maka ia adalah liabiliti yang mengundang
musibah dunia dan Akhirat.
Ia mesti
berhubung dengan Allah.
Terputus
hubungan dengan Allah, semua kepercayaan, harta, ilmu dan kuasa akan melekat di
dinding Materialisma.Mazhab Dajjal.
Dipetik dari http://saifulislam.com/?p=10085#more-10085
No comments:
Post a Comment