Kini K-Pop atau Korean Wave (Hallyu) - budaya pop Korea Selatan - semakin menjadi kegilaan ramai di Singapura,Malaysia dan Indonesia, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu.Sejak bahang drama popular Korea Winter Sonata mula dirasakan di sini pada 2003, pengaruh budaya Korea kian menular.Bahkan, lebih ramai peminat Melayu kini menghadiri konsert muzik pop Korea (K-Pop), yang semakin banyak dianjurkan di sini. Ramai juga menyertai uji bakat K-Pop, selain menonton filem dan drama Korea menerusi Internet.Munculnya wadah seperti Youtube di Internet turut memudahkan lagi para penonton mendapatkan bahan hiburan Korea, sama ada acara aneka ragam, filem, drama atau video muzik K-pop.
Di Singapura
Pengaruh Hallyu juga semakin deras dirasakan dengan pelbagai konsert dan pesta mengemukakan artis-artis popular Korea sering dianjurkan di Singapura. Malah, kelmarin, sekitar 7,000 penonton menghadiri Sundown Festival di bangunan pit F1 di kawasan Marina Promenade, yang mengetengahkan artis-artis Korea, Jepun, Taiwan dan Singapura.Tiket paling murah festival muzik dan budaya itu berharga $138, manakala termahal berharga $148.
Menurut Penganjur Sundown Festival, Red Spade Entertainment (RSE), bilangan penonton Melayu telah meningkat sejak ia pertama kali diadakan pada 2009.Waktu itu, RSE menganggarkan 20 peratus daripada penonton merupakan penonton Melayu, tetapi bilangan tersebut mencecah 30 peratus tahun lalu, , kata RSE. Selain Festival Sundown, beberapa konsert besar-besaran Korea lain juga pernah dianjurkan, antaranya Korean Pop Night Concert tahun lalu.
Acara yang dianjurkan di Singapore Expo October itu telah menarik 8,700 penonton. Mereka berkobar-kobar mahu melihat persembahan daripada kumpulan-kumpulan popular seperti Girls' Generation, Big Bang dan Shinee.Bahkan, tahun lalu sahaja, dilaporkan 30 kumpulan K-Pop telah membuat persembahan di Singapura.Baru-baru ini juga, sebuah pertandingan mencari bintang K-Pop anjuran saluran hiburan Korea Selatan, tvN, di sini telah menarik 100 penyertaan, termasuk 15 belia Melayu.Pertandingan itu juga diadakan di serata negara-negara Asia seperti Hong Kong, Filipina, Taiwan dan Thailand.Bahkan, seorang anak Melayu, Cik Maressa Zahirah, 23 tahun, telah muncul sebagai salah seorang daripada dua pemenang yang dipilih untuk mewakili Singapura di Korea bulan depan.'Walaupun ramai yang menyatakan ini hanya satu 'fasa' atau kegilaan sementara, saya percaya ini mungkin satu permulaan kepada Hollywood baru.
Di Malaysia
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegur penganjur yang mengundang artis dari Korea menghiburkan pengunjung program tersebut minggu lalu.Menurut beliau, perhimpunan itu bertujuan baik bagi menyatukan golongan belia di negara ini tetapi tidak seharusnya dicemari dengan pemilihan artis luar negara yang kurang sopan dari segi aksi dan pemakaiannya.
“Sepatutnya tidak ada benda-benda macam itu (artis K-Pop). Kita sekarang dalam proses pembentukan akhlak muda-mudi kita yang sedang merosot, jadi tidak patut ada perkara yang boleh menaikkan nafsu“Harap pihak penganjur ambil perhatian serius dalam hal ini,” katanya di sini kelmarin.Beliau, bagaimanapun, tidak menafikan golongan muda lebih cenderung kepada hiburan seperti itu, namun, katanya, tidak semestinya ia dipenuhi dengan aksi bersifat nafsu semata-mata.“Kita harus bertindak dengan baik, mungkin boleh digantikan dengan aktiviti lain lebih positif yang boleh menarik minat golongan belia.“Jangan hanya untuk dapatkan sokongan dan kedudukan sahaja; bimbang nanti ada orang nak dapat sokongan tapi sebaliknya tak disokong pula,” katanya mengulas kritikan segelintir pihak berhubung persembahan artis K-Pop pada perhimpunan itu yang tidak sesuai dengan budaya negara ini kerana artis berpakaian menjolok mata.
Renungan Hadith
Hadis “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; AbdulLah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini; Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) menyatakan ia ‘hasan’ dan demikian juga al-Albani.
- Hadis ini secara umumnya memberikan maksud yang positif dan negatif. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum atau puak yang baik atau terpuji maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang terpuji atau akan dianggap baik dan terpuji. Sementara sesiapa yang menyerupai kaum atau puak yang buruk atau tidak baik maka dia dianggap dalam kalangan mereka.
- Perkataan man tasyabbaha (sesiapa yang menyerupai) iaitu tasyabbuh (menyerupai) dalam hadis ini merujuk kepada sesuatu perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu pihak yang mana jika seseorang menyerupai keadaan atau hal tersebut maka dia akan dianggap termasuk dalam kalangan mereka.Maka, perbuatan anak-anak muda atau selain yang meniru pakaian atau gaya artis atau kumpulan yang dianggap serong oleh masyarakat itu menyumbang kepada dosa.
- Manusia ini cenderung menyerupai pihak yang mereka suka atau sayangi. Orang baik cenderung meniru cara orang yang baik. Demikianlah sebaliknya. Kecenderungan kita untuk meniru gaya atau gaya sesuatu pihak, memberi gambaran tentang apa yang tersirat dalam jiwa kita.
- Kesimpulannya; kita dilarang meniru atau menyerupai apa yang khusus untuk agama lain, atau apa yang khusus untuk sesuatu puak atau kumpulan yang mempunyai nilai yang negatif dan buruk. Kita boleh menyerupai apa yang tidak khusus untuk agama tertentu atau tidak memberi imej yang buruk. Demikian meniru apa yang baik adalah digalakkan sekalipun dari bukan muslim.
No comments:
Post a Comment