Friday, June 25, 2010



Pada 26 Jun 2010 nanti, akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Separa. Kali ini, kita di Malaysia tidak dapat melihat kejadian ini secara keseluruhan dari awal hingga akhir. Ini adalah kerana ketika Bulan terbit sekitar waktu Maghrib pada tarikh tersebut, ia sudah pun menghampiri fasa gerhana maksimum.

Gerhana kali ini bukanlah gerhana penuh, hanya lebih kurang separuh sahaja daripada muka bulan akan digelapkan oleh bayang-bayang bumi.

Namun, ia tetap menarik untuk dilihat kerana pemandangannya melihat bulan gerhana sedang terbit rendah di ufuk langit cukup unik.

Di bawah merupakan kiraan waktu fasa-fasa gerhana yang berlaku. Ia boleh digunapakai di mana-mana lokasi di Malaysia.

Perbezaannya cuma pada ketinggian bulan, yang mana sedikit berbeza jika anda berada di Sabah dan Sarawak, dan juga Brunei.

Fenomena astronomi Jun 2010 mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana pada bulan ini akan berlaku gerhana separa Bulan. Gerhana ini boleh dilihat bermula di Asia Timur, Australia, New Zealand dan Pasifik selepas Matahari terbenam dan berakhir di Barat Amerika Utara dan Selatan. Gerhana Bulan berlaku apabila Bumi berada di antara Bulan dan Matahari.

Bulan tidak mengeluarkan cahayanya sendiri tetapi ia menerima cahaya dari Matahari. Cahaya Matahari yang jatuh ke atas permukaan Bulan akan dipantulkan semula. Bulan mengorbit Bumi dalam tempoh 29.5 hari satu pusingan. Semasa Bulan mengorbit Bumi, kedudukannya akan sentiasa berubah dan ini menyebabkan terjadinya perubahan bentuk Bulan yang dapat dilihat dari Bumi yang dinamakan fasa Bulan. Fasa Bulan bermula dari fasa Ijtimak diikuti fasa suku awal dan seterusnya fasa purnama. Kemudian fasa ini akan berkurang menjadi fasa suku akhir dan kembali ke fasa Ijtimak. Semasa fasa purnama, permukaan Bulan yang menerima cahaya menghadap Bumi sepenuhnya. Kejadian gerhana Bulan hanya boleh berlaku ketika fasa purnama dan hanya apabila seluruh atau sebahagian Bulan memasukki bayang Bumi. Cahaya Matahari yang jatuh ke atas Bumi menyebabkan sebahagian Bumi terang (siang) dan juga mengakibatkan bayang Bumi mengunjur ke angkasa. Terdapat dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar bayang. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra dan bahagian luar dinamakan penumbra. Umbra lebih gelap dari penumbra. Sekiranya ketika Bulan purnama, ia memasukki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh Bulan memasukki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Sekiranya hanya sebahagian Bulan memasukki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika Bulan hanya memasukki penumbra sahaja, gerhana penumbra yang akan terjadi.

www.angkasa.gov.my/attachment/SiaranMediaPLE26062010_BM.pdf

No comments:

Post a Comment