Friday, March 11, 2011



AMALAN KHURAFAT DI BULAN SAFAR

Mereka beranggapan bulan Safar adalah bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada Rabu minggu terakhir.Sesetengah umat Islam menghindarkan diri daripada bermusafir pada bulan Safar melainkan terdapat keperluan yang mendesak. Sebagai contoh, dalam kitab al-Futuhat al-Haqqaniy, penulis kitabnya memilih menahan diri keluar berjalan pada bulan ini dan menasihati semua pengikut tarekat mereka tidak meninggalkan rumah melainkan jika benar-benar perlu.Dalam kitab tersebut dikhabarkan bahawa Sheikh tarekat mereka iaitu Abdullah Faiz Daghestani berkata: “Pada hari Rabu terakhir bulan Safar, 70,000 penderitaan (bala) akan menimpa dunia. Barang siapa yang mengekalkan adab ini yang disebut (beberapa amalan yang tertentu), dia akan dilindungi oleh Allah yang Maha Kuasa”.

Bagi segelintir masyarakat Melayu pula mengelak mengadakan majlis perkahwinan pada bulan Safar kerana dipercayai jodoh pasangan pengantin itu tidak kekal dan kelak akan susah untuk mendapatkan zuriat.Ada juga yang beranggapan bayi yang lahir pada bulan Safar bernasib malang dan hendaklah dijalankan satu upacara khas untuk membuang nasib malang tersebut. Kesemua ini merupakan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang harus dibanteras sehingga ke akar umbi.

Hayatilah firman-Nya, Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah…. (al-Taghaabun: 11)

Lantaran itu beberapa amalan bidaah dicipta sempena bulan Safar bertujuan menghindari sebarang bentuk malapetaka yang berkaitan dengan kedatangan bulan tersebut.

l-Mandi safar

Orang Melayu satu ketika dahulu mengamalkan mandi safar atau mandi beramai-ramai di sungai mahupun pantai yang dianggap sebagai satu ritual menolak bala pada bulan Safar serta menghapuskan dosa.Sebenarnya amalan mandi safar ini diwarisi daripada budaya Hindu. Walaupun pengamalannya semakin terhakis dalam umat Melayu, masih ada yang melakukan pembaharuan dalam upacara ini. Mereka menganjurkan penulisan ayat-ayat tertentu di atas kertas atau papan dan direndam dalam kolah ataupun tangki berisi air untuk seluruh ahli keluarga mandi dengannya.

2-Solat sunat

Pada hari Rabu terakhir bulan Safar kononnya disunatkan solat sunat empat rakaat. Waktu mengerjakannya adalah setelah terbit matahari dan sebelum waktu Zuhur.Pada setiap rakaat hendaklah dibaca surah al-Fatihah (sekali), surah al-Kautsar (17 kali), al-Ikhlas (lima kali), Surah al-Falaq dan al-Naas (sekali) dengan dikerjakan dengan hanya satu tahiyat.Setelah selesai solat ini hendaklah membaca doa berikut: “Ya Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mulia, wahai zat yang kerana kemuliaan-Mu semua makhluk-Mu menjadi hina. Jauhkan aku dari kejahatan makhluk-Mu. Wahai zat yang Maha Baik, Indah dan Mulia, wahai Pemberi Nikmat dan Kemuliaan, wahai Zat yang tiada Tuhan kecuali Engkau, kasihanilah aku dengan rahmat-Mu wahai zat yang Maha Pengasih. Ya Allah dengan rahsia Hassan, saudaranya, ayah, ibu dan keturunannya, jauhkan aku dari kejahatan hari ini dan apa turun pada hari ini, wahai zat yang memenuhi segala keperluan dan penolak segala bencana. Semoga Allah menjauhkannya kerana Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Semoga selawat dan salam tetap terlimpahkan kepada Muhammad, keluarga dan seluruh sahabatnya”.

Doa ini bersumber dari Risalah Rawi al-Dzam’an fi Fadhaail al-Asyhur al-Ayyam, ms. 4. Penulis nukil dari kitab al-Bida’ al-Hauliyyah karya Abdullah bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry, edisi terjemahan dengan tajuk Ritual Bidaah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta (2003), ms. 139

Nyata tidak ada dalil yang sah menunjukkan solat serta bacaan doa tersebut disunatkan. Apatah dalam doa tersebut terdapat lafaz-lafaz tawassul yang dilarang oleh syarak iaitu menjadikan Hassan (r.a), Hussain (r.a), Ali (r.a), Fatimah (r.a) serta keturunan mereka sebagai perantara dalam berdoa.

3-Bacaan surah dan zikir tertentu

Dalam buku al-Futuhat al-Haqqaniy pengikut tarekat tersebut diajar amalan tertentu untuk hari Rabu terakhir bulan Safar bertujuan menolak bala. Di antara amalannya adalah membaca kalimah syahadah tiga kali, beristighfar (300 kali), membaca ayat al-Kursi dan suraf al-Fiil (tujuh kali) dan dihadiahkan kepada diri sendiri dan juga ahli keluarga.

4-Memberi sedekah

Kononnya dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan Safar bertujuan menjauhkan diri daripada penderitaan dan nasib malang.

5-Berkorban

Terdapat juga segelintir pihak yang beranggapan dianjur mengerjakan ibadah korban pada tarikh 27 Safar.

Kesemua amalan yang dikhususkan sempena bulan Safar di atas tidak pernah diperintah oleh Rasulullah s.a.w. dan tiada seorang sahabat mahupun para al-Salafussoleh yang mengamalkannya.

Sabda Rasulullah s.a.w., Barang siapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia. (riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697)

No comments:

Post a Comment