Friday, November 26, 2010

SEJARAH PEMBINAAN KAABAH


SEJARAH ibadat haji di Tanah Suci Makkah bermula ketika Nabi Allah Adam dikirimkan ke bumi. Allah memerintahkan baginda mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit.Binaan empat segi ini kemudian diberi nama Kaabah yakni ‘Rumah Allah’.Firman Allah bermaksud, “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula sekali dibina untuk manusia ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan menjadi petunjuk bagi umat manusia.” (Surah Al-Imran :96)

Sebaik saja semua urusan pembinaannya selesai, Allah memerintahkan Nabi Adam serta keluarganya mengerjakan ibadat tawaf di situ seperti yang dikerjakan oleh malaikat di Baitul Makmur.Baitullah, selain daripada menjadi tempat beribadat umat manusia dan jin, turut menjadi tempat tawaf semua malaikat yang ditugaskan di muka bumi ini.Keistimewaan Baitullah ialah kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di langit.Menurut riwayat Ibnu Abbas, Rasulullah menyebut Makkah dipilih sebagai tempat binaan Kaabah kerana kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di alam malaikat.

Apakah dia Baitul Makmur? Baitul Makmur adalah tempat khas yang diciptakan Allah khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy.Ini kerana Arasy kawasannya amat luas dan sekiranya melakukan tawaf ia mungkin menjangkau waktu hingga ke hari kiamat.Sebelum terciptanya Baitul Makmur, seluruh malaikat bertawaf di sekitar Arasy sambil beristighfar, bertasbih dan membesarkan Allah sebagai bukti kepatuhan mereka kepada Allah Yang Maha Agung.Kepatuhan mereka adalah susulan daripada satu peristiwa malaikat cuba mempersoalkan kewujudan Nabi Adam, manusia pertama di muka bumi.

Peristiwa ini disebut dengan jelasFirman ALLAH bermaksud
, “Sesungguhnya Aku akan mencipta di bumi seorang Khalifah. Lantas malaikat bertanya, apakah Engkau akan mencipta di sana seorang yang akan melakukan fasad (kerosakan) dan akan menumpahkan darah, pada hal kami sentiasa bertasbih kepada Engkau? Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui!”. (Surah Al-Baqarah :30)

Jawapan tegas daripada Allah menyebabkan malaikat amat takut akan kemurkaan Allah terhadap soalan yang mereka ajukan.Lalu mereka memohon ampun dan berjanji tidak akan menyangkal keputusan Allah. Mereka seterusnya mengerjakan ibadat tawaf untuk mendapatkan keampunan daripada Allah.Apabila Allah memerintahkan malaikat untuk sujud memberi hormat kepada Nabi Allah Adam, mereka pun terus sujud kecuali Iblis.

Firman ALLAH bermaksud,
“Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis, ia enggan dan takbur dan termasuk golongan orang kafir.”(Surah Al-Hujurat :34)

Selepas Nabi Allah Adam wafat, binaan Kaabah beransur-ansur reput. Seterusnya, Allah memerintahkan salah seorang daripada putera Adam iaitu Syith untuk membina semula Kaabah di tempat sama.Namun, banjir besar yang melanda pada zaman Nabi Nuh, turut meruntuhkan binaan Kaabah sehinggalah Allah mengutuskan Nabi Ibrahim untuk membina kembali Kaabah. Mematuhi perintah Allah itu, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail membina semula Kaabah di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang pernah dibuat oleh Syith yang runtuh akibat banjir dan taufan pada zaman Nabi Nuh itu.

Ini disebut dalam firman ALLAH bermaksud
“Dan ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membina, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf dan orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud.“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan yang jauh.”(Surah Al-Hajj :26- 27),

Firman ALLAH bermaksud,
“Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazarnya dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah yang tua sejarahnya itu.” (Surah Al-Hajj :29)

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim daripada batu dari tujuh bukit di sekitar kota Makkah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Al-Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

Selepas menyempurnakan binaan itu, Nabi Ibrahim dan keluarganya diperintahkan pula mengerjakan ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebagai sebahagian daripada ibadat haji.Beberapa ratus tahun selepas pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, usaha membaik-pulih dan membina semula Kaabah telah dilaksanakan secara berterusan.

Antaranya membaiki kerosakan tanpa mengubah bentuk atau ukuran Kaabah oleh kaum Analagh, Kaabah dibina semula oleh puak Jurhum selepas sebahagian dinding Kaabah runtuh kerana banjir besar di Kota Makkah.

Kemudian Kaabah dibaiki lagi dengan membuat pintu serta pemasangan kelambu Kaabah oleh seorang raja dari Yaman, pembinaan bumbung Kaabah semasa pemerintahan Qusai bin Kilab, pembinaan semula Kaabah oleh Kaum Quraisy dengan berpandukan batu asas hasil binaan Nabi Ibrahim.Kerja membaiki Kaabah diteruskan oleh panglima Hajjaj pada zaman Khalifah Abdul Malik dan pembinaan semula Kaabah pada 1037 berikutan kerosakan banjir besar di Kota Makkah.

No comments:

Post a Comment