MUHASABAH FASA-FASA RAMADHAN
Seperti mana yang kita ketahui, sekarang kita berada pada hari ke 10 dan malam ke 11 Ramadhan. Kalau dirujuk pada fasa-fasa dalam bulan Ramadhan, kita telah memasuki fasa pertengahan Ramadhan iaitu fasa pengampunan. Sepertimana dalam hadis, Ramadhan dapat dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa Rahmat, fasa Pengampunan dan fasa Pelepasan dari Api Neraka.Namun persoalannya, adakah semua yang telah berpuasa melalui fasa pertama sehingga kini secara automatik mendapat Rahmat? Maka jawapannya adalah tidak. Hal ini disebabkan syarat untuk mendapat rahmat daripada Allah ada tiga iaitu:1. Beriman 2. Berhijrah 3. Berjihad di jalan Allah.
Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah; 218,maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Justeru muslim yang telah memenuhi syarat ini sahajalah yang mendapat Rahmat daripada Allah. Seterusnya mari kita menelusuri fasa kedua iaitu fasa pengampunan. Sama seperti persoalan yang pertama, tidak kesemua umat Islam yang berpuasa layak mendapat pengampunan dari Allah s.w.t. Hanya mereka yang bertaqwa layak beroleh pengampunan dari Allah.Hal ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam Surah Ali-Imran; 133,maksudnya : Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,
Dalam ayat ini, perkataan maghfirah dinyatakan dahulu sebelum jannah. Ini menunjukkan bahawa tanpa pengampunan dari Allah, janganlah harap beroleh syurga dari Nya. Mari kita lihat kaitan di antara maghfirah dan rahmat Allah. Dalam sebuah hadis qudsi, Allah menyatakan bahawa kita semua hanya dapat masuk ke dalam Syurga dengan Rahmat dari Nya. Ini menunjukkan kaitan yang cukup signifikan bagaimana rahmat dan maghfirah dari Allah membolehkan kita memperoleh syurga.Mari kita beralih kepada satu doa dari Al-Quran yang cukup popular;RABBANA ATINA FIDDUNIA HASANAH WA FIL AKHIRATI HASANAH WA QINA AZABANNAR
Imam Al-Qurtubi menafsirkan Hasanah fiddunia itu adalah berada di jalan yang lurus (Siratul Mustaqim) sewaktu di dunia. Jalan yang manakah yang dianggap lurus? Ia adalah jalan Allah dan jalan Rasul. Hal ini dijelaskan dalam Surah Yasin ayat 3, 4 dan 61.. Hasanah filakhirah pula ditafsirkan sebagai mendapat pengampunan dari Allah s.w.t. Tafsiran ini sekali lagi selari dengan ayat yang disebut sebelum ini. (2:218)
Berbalik kepada syarat mendapat pengampunan dari Allah iaitu bertaqwa. Bagaimana untuk beroleh TAQWA. Hal ini tidak dapat tidak perlu kepada menjadikan Rasulullah S.A.W. sebagai uswah ataupun qudwah. Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firmannya;31. Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Asbabun Nuzul ataupun sebab turunnya ayat ini berlaku di Madinah. Sewaktu nabi menjadi Ketua Negara Madinah, baginda bukan sahaja memerintah dengan saksama, malah giat menyeru kepada Islam. Namun, terdapat ahli kitab dari kalangan Yahudi dan Nasrani yang berkata kepada Muhammad, “Wahai Muhammad, Engkau ingat engkau sahajakah yang mencintai Allah? Kami juga mencintai Allah.”Tetapi ahli kitab ini yang sebenarnya mengetahui akan kerasulan Nabi enggan menganut Islam. Maka turunlah ayat di atas yang menjawab persoalan tersebut.
Terdapat satu lagi peristiwa yang berlaku berkaitan TAQWA. Peristiwa ini mengambil tempat sewaktu pembukaan Kota Makkah (Fathu Makkah). Setelah Kota Makkah yang dipenuhi dengan berhala itu dibersihkan, maka Rasulullah S.A.W mengarahkan Bilal untuk naik ke atas Kaabah dan melaungkan azan. Namun, terdapat mereka yang cemburu dengan Bilal sehingga terkeluar kata-kata ini; “Di antara ramai umat Islam ini mengapalah si gagak hitam itu yang terpilih untuk melaungkan azan”. Gagak hitam itu merujuk kepada Bilal. Bilal sememangnya berketurunan Habsyi & berasal dari Eithopia.
Lalu turunlah firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat ke 13 mafhumnya: Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.
Peristiwa ini menunjukkan betapa mulianya Bilal pada pandangan Allah. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Bilal pernah berjalan di hadapan Rasulullah. Sejurus selepas itu Rasulullah terus bertanya kepada Bilal, “Apakah amalanmu wahai Bilal?”. Bilal menjawab, “Sepanjang pengetahuan saya Rasulullah, tiada yang istimewa, cuma seingat saya, setiap kali saya berwudhu’ saya tidak akan lupa untuk menunaikan solat sunat dua rakaat, mengapa kau bertanya begitu Ya Rasulullah?”, Bilal bertanya. “Sewaktu kau berjalan di hadapanku tadi, aku dengar tapak kaki yang sama bunyinya dengan tapak kaki yang aku dengar di Syurga sewaktu aku di Mi’raj kan dahulu.”
Masya Allah. Betapa di dunia lagi sudah ditunjukkan tanda-tanda orang yang bertaqwa.
Selain itu, dalam bulan Ramadhan ini, kita dianjurkan untuk mengamalkan 4 perkara ini;
1. Mengucapkan istighfar
2. Mengucapkan Lailahaillallah
3. Berdoa agar sentiasa dapat melakukan perkara yang mendapat Redha Allah dan mendapat syurga Allah.
4. Berdoa agar sentiasa dapat menghindarkan perkara yang dimurkai Allah dan terlepas dari siksaan api neraka.
No comments:
Post a Comment