Friday, March 26, 2010


PULUHAN RIBU ANAK LUAR NIKAH DILAHIRKAN???
Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang. Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam. Ini tidak termasuk kes buang bayi yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Sepanjang tempoh ini, 214,033 bayi pelbagai bangsa didaftarkan dengan status anak tidak sah taraf, termasuk kes anak yang tidak berbapa 104,834 orang dan 109,199 orang mengikut Seksyen 13, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299),” .Statistik yang dinyatakan merupakan jumlah yang direkodkan sahaja, tidak mustahil jumlah sebenar adalah jauh lebih tinggi. Hakikatnya ini adalah merupakan natijah akibat dari sistem yang mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan berlandaskan sistem pergaulan Islam. Sistem dan gaya hidup Barat yang diamalkan, yang membolehkan lelaki dan wanita bergaul bebas merupakan sesuatu yang lumrah dalam kehidupan negara sekular seperti Malaysia. Ini diparahkan lagi dengan budaya hedonisme yang semakin bercambah dalam masyarakat dengan media massa sebagai pemangkin utamanya.

Islam telah menggariskan aturan yang khusus dalam mengatur hubungan lelaki dan perempuan. Peraturan yang diturunkan oleh Allah ini bukanlah aturan yang akan menidakkan naluri melestarikan keturuanan (gharizatul nau’) yang telah Allah letakkan pada diri setiap manusia, tetapi ia merupakan peraturan khusus yang mengatur naluri tersebut agar berjalan sesuai dengan tuntutan Islam.

Islam telah menetapkan bahawa hubungan kelamin yang sah di sisi syarak adalah hubungan yang telah diikat dengan ikatan pernikahan. Dengan ikatan inilah, pasangan itu telah sah menjadi suami isteri dan seterusnya, dari mereka akan lahirlah zuriat umat manusia. Melalui ikatan ini, maka banyak hukum- hukum Islam yang berkaitan dengannya seperti nasab, pewarisan (faraid), nafkah, dan lain- lainnya diterapkan. Bukan setakat itu sahaja, sekiranya berlaku perzinaan, maka Islam telah menetapkan agar pelakunya dihukum (sebagai pengajaran) rejam (bagi pasangan yang sudah berkahwin) ataupun sebat sebanyak 100 kali (bagi pasangan yang belum berkahwin).

"Perempuan yang berzina dan laki-laki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah, dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman." [TMQ An-Nur (24 : 2)]

Inilah hukuman yang akan dikenakan kepada pelaku zina sekiranya mereka melakukan perbuatan tersebut. Dengan adanya sistem pergaulan lelaki dan perempuan dan uqubat ke atas pelaku zina, insyaAllah, statistik yang amat menyedihkan ini tidak akan kita dengar lagi. Semoga dengan itu, rahmat Allah akan memayungi segenap penjuru alam.

HUKUM ‘IDDAH bagi individu yang ‘termengandung' akibat zina dan hukum si wanita ini berkahwin dengan lelaki samaada pasangan zinanya atau lelaki lain bagi menutup malunya dengan segera atau apa jua sebab lain.Ulama berbeza pandangan dalam hal ini.

Mazhab Maliki, Syafie dan At-Thawry : berpendapat bahawa tiada hukum ‘IDDAH bagi wanita berzina. Menurut aliran mazhab ini, perbuatan berdosa dan haram seperti zina tidak akan diiktiraf, Hasilnya, tiada hukum boleh terbina di atas sesuatu yang tidak sah seperti zina. ( Rawdah at-Tolibin, 7/113 ; Bidayatul Mujtahid, ibn Rusyd, 2/21)

Pandangan ini juga diriwayatkan telah dipegang sebelumnya oleh beberapa sahabat Nabi yang utama seperti Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a , Umar Al-Khattab r.a dan Ali Bin Abi Talib r.a.Ia berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :Ertinya : "..penzina (muhsan) tidak lagi layak kepada sesuatu kecuali rejaman batu sehingga mati"

Dan juga sebuah lagi dalil iaitu maksudnya: Sesungguhnya perbuatan yang haram tidak akan mengharamkan yang halal ( iaitu perhubungan hasil zina tidak akan membawa sebarang kesan kepada hubungan semendaan) , sesungguhnya hanya akan menjadi haram kerana persemendaan jika dari nikah yang sah" ( Riwayat Ibn Majah, Al-Bayhaqi : As-Sayuti : Dhoif)

No comments:

Post a Comment