Lebih kurang jam 3.30 pagi,
saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor
untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar
bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.
Hanya saya dan seorang
penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan
hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal
20-an. Allah Maha Berkuasa.
Tiba-tiba saya lihat muka
jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak
menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya
mula bertanya-tanya. Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di
hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik
berlalu, wajah jenazah semakin hitam.
Selepas lima minit
berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan
tidak lagi putih seperti warna asalnya,tetapi hitam seperti terbakar. Saya
keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang
berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya
telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan
demi persoalan muncul di fikiran saya.
Sedang saya termenung
tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu
lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di
bilik mayat pada pukul 4.00 pagi. Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak
lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju
kurung.” Ustaz,” kata wanita itu. “Saya dengar anak saya meninggal dunia dan
sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya.” kata
wanita berkenaan dengan lembut.
Walaupun hati saya ada
sedikit tanda tanya,namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah
tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya. “Betulkah ini
mayat anak mak cik?”tanya saya. “Mak cik rasa betul… tapi kulitnya putih.”
“Makcik lihatlah betul-betul.” kata saya. Selepas ditelitinya jenazah
berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup
kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa
wanita itu keluar dari bilik mayat.
Tiba di luar saya bertanya
kepadanya. “Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku
sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?” tanya saya. Wanita itu tidak
mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi
ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan sesuatu.”Baiklah, kalau
mak cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini. ”
kata saya untuk menggertaknya. Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu
membuka mulutnya. Sambil mengesat airmata, dia berkata, “Ustaz, anak saya ni
memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau
pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa
membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik. Tapi…” tambah
wanita itu lagi “apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh
misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik. Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke
kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya
bangun sembahyang,anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang mak cik
kesalkan.” kata wanita tersebut. Jawapannya itu memeranjatkan saya.
Teringat saya kepada hadis
nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman
dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku. Wajah pemuda itu bukan sahaja
ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam.Selepas
menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang.Dia
berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap.Kemudian saya
pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.
Selesai urusan itu, saya
kembali ke rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas
keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah,
Shah Alam. Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu
tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut. Melalui nombor telefon
yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara
Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya. Selepas memperkenalkan
diri, saya berkata, “Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke
hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan
keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat
dengan Klang.”
Pertanyaan saya itu
menyebabkan dia terkejut, “Orang tua mana pula?” katanya. Saya ceritakan
tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya,tuturannya serta
pakaiannya. “Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya,
tapi…. emaknya dah meninggal lima tahun lalu!” Saya terpaku, tidak tahu apa
yang hendak dikatakan lagi. Jadi ‘apakah’ yang datang menemui saya pagi itu?
Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah
‘sesuatu’ yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah
berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam. Peristiwa
tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.
Ia mengingatkan saya kepada
sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan
sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia akan ditempatkan di neraka selama
80,000 tahun. Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di
akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?
No comments:
Post a Comment