Friday, December 16, 2011

PERLEMBAGAAN @ PIAGAM MADINAH (bahagian 1)
Piagam Madinah telah digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal.
23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.
24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.
Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah atau di kenali sebagai perlembagaan madani, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam Madinah.
Langkah pertama :
Dilakukan oleh Rasulullah dengan mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran Rasulullah.
Langkah kedua :
Mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.
Langkah ketiga :
Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.
Berdasarkan langkah-langkah tersebut maka lahirlah satu perjanjian yang dikenali sebagai piagam Madinah. Perkara utama yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah:
-Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda.
-Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.
-Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.
-Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.
-Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut.

Tujuan Piagam Madinah
1-Menghadapi masyarakat majmuk Madinah
2-Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.
3-Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum
4-Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan
5-Mewujudkan keamanan di Madinah
6-Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.
7-Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
8-Membentuk Kesatuan Politik dalam mempertahankan Madinah
9-Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.
10-Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.

Prinsip Piagam Madinah
1-Al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum negara.
2-Kesatuan Ummah dan Kedaulatan Negara
3-Kebebasan bergerak dan tinggal di Madinah
4-Hak dan tanggungjawab dari segi ketahanan dan mempertahankan negara
5-Dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warganegara
6-Tanggungjawab individu dan negara pemerintah dalam menegakkan keadilan sosial.
7-Beberapa undang-undang keselamatan seperti hukuman Qisas dan sebagainya telah dicatatkan
8-Kebebasan beragama
9-Tanggungjawab negara terhadap orang bukan Islam
10-Kewajipan semua pihak terhadap perdamaian.

No comments:

Post a Comment