MAKSUD IMAN
- DARI SEGI BAHASA : percaya
- DARI SEGI ISTILAH : Membenarkan di hati, mengakui dengan lidah dan beramal dengan anggota.Tidak ada keraguan terhadapNYA 100%
Sama ada kita sedari ataupun tidak, kita sudah pun berada di ambang bulan suci Ramadan. Bulan yang amat dinanti-nantikan oleh kita semua, para pencinta Allah s.w.t. yang sentiasa mendambakan rahmat dan pengampunan dari-Nya.
Hayatilah peringatan Baginda Nabi s.a.w. kepada kita sekalian umatnya sebagai pesanan menghadapi awal bulan Ramadan yang mulia ini yang bermaksud: “Sesungguhnya Ramadan telah (semakin hampir) mendatangi kamu, bulan yang penuh dengan keberkatan, kamu bakal diliputi seluasnya akan (kasih sayang) Allah, maka akan diturunkan rahmah, diampunkan segala dosa-dosa, diterima setiap permintaan (yakni doa), bahkan Allah s.w.t. akan (gembira) melihat sikap berlumba-lumba di kalangan kamu (yakni dalam mengejar rahmat dan pengampunan dari-Nya), para Malaikat juga berbangga dengan sikap (yakni kesungguhan ibadah) kamu. Maka ayuhlah! Perlihatkanlah kepada Allah s.w.t. akan kesungguhan kamu untuk mengumpul segala kebaikan. Sesungguhnya orang yang benar-benar rugi itu adalah orang yang terlindung dari mendapat pengampunan Allah ‘Azza wa Jalla (di bulan Ramadan).” Hadith riwayat Imam Al-Thabarani.
Sesungguhnya dalam suasana kita menyambut ketibaan bulan Ramadan yang teramat mulia ini, adalah merupakan suatu keperluan asasi bagi setiap insan beriman, mendatanginya dengan penuh azam yang jujur, serta niat yang benar-benar suci lagi bersih, untuk bersama-sama merebut segala peluang kebajikan dan kebaikan yang tersedia di dalamnya. Pada masa yang sama, kita juga perlu berazam untuk mengekang hawa nafsu, melenturkan segala keinginan syahwat terhadap perkara-perkara yang dilarang oleh Allah s.w.t.
Ingatlah, bahawa para salafus-soleh yang merupakan obor-pelita ummah, apabila didatangi Ramadan, mereka akan melaungkan; “Marhaban bil Muthahhir!” yang bermaksud “Selamat datang wahai Bulan Penyucian!”, pembersihan dari segala dosa dan kesalahan. Mereka melakukan persiapan dengan menyediakan bekas hati yang bersih, dada yang diisi dengan ilmu dan kesedaran, akal yang terpandu kepada hidayah dan rahmah dari Allah s.w.t.
Hidupkanlah Ramadan kali ini dengan meledakkan keruhanian Ramadan sebenar dalam segenap aspek kehidupan kita, sama ada dari sudut individu, kekeluargaan dan juga kemasyarakatan. Tanamkan keazaman jitu yang bakal dibuktikan dengan kesungguhan, untuk kita khatamkan Al-Quran. Bukan sekadar pembacaan semata-mata, tetapi yang disertai dengan tadabbur yakni penghayatan sepenuhnya terhadap isi kandungan yang dibaca. Juga azam yang tulus untuk kita meminta pengampunan dari segala dosa yang sukar ditinggalkan selama ini.
Sesungguhnya tiada kebahagiaan yang hakiki kecuali dengan kembalinya kita kepada Al-Quran. Bahkan, tiadalah kedukacitaan yang amat besar di atas nasib umat Islam hari ini dari segala kelemahan, kehinaan serta kemunduran yang menimpa, kecuali semuanya adalah berpunca daripada betapa jauh dan terasingnya umat Islam hari ini daripada Al-Quran.
Dengarkan keluhan Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dirakamkan oleh Allah s.w.t. dalam surah Al-Furqaan ayat 30: Mafhumnya: “Dan berkatalah Rasul: ‘Wahai Tuhanku, Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai’ ”.
Lihatlah kepada perjalanan hidup salafus-soleh. Mereka sentiasa bersama dengan Al-Quran; pagi-petang, siang dan malam, ketika di rumah mahu pun ketika bermusafir, begitu juga waktu senang mahu pun di waktu susah.Mereka apabila membaca Al-Quran, merasakan seolah-olah Allah s.w.t. sedang berbicara dengan mereka, sehinggakan ayat-ayat yang dibaca itu dapat menggetarkan hati mereka, serta mengalirkan air mata penyesalan di atas segala kelalaian diri.
Malah pernah disebutkan dalam kitab Tafsir Ibn Kathir, diriwayatkan bahawa terdapat seorang sahabat bernama Abu Dahdah r.a., ketika membaca Al-Quran di kebunnya, bertemu dengan sepotong ayat Allah s.w.t. yang berbunyi: Mafhumnya: “Siapakah orangnya yang ingin memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yakni ikhlas)” - Surah Al-Hadid ayat 11.
Lantas beliau bergegas pergi bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w. “Wahai Rasulullah, adakah Allah s.w.t. meminta pinjam sesuatu daripada kita, sedangkan Dia bersifat Maha Kaya?” Baginda s.a.w. menjawab: “Ya, Allah s.w.t. meminta pinjam dari kamu (yakni dengan tujuan bagi menguntungkan kamu), agar diangkat tinggi darjat kamu, serta dibersihkan segala dosa-dosa kamu.” Maka dengan serta merta Abu Dahdah r.a. pun berkata: “Maka sesungguhnya saya memiliki sebuah kebun kurma yang di dalamnya ada sebanyak 600 batang pohon di kota Madinah ini, ia merupakan harta paling berharga yang aku miliki, maka saksikanlah, sekarang ini juga aku serahkan seluruh harta tersebut untuk Allah dan Rasul-Nya.” Hadith riwayat Imam Al-Thabrani dalam kitabnya ‘Mu’jam Al-Kabir’.
Ya Subhanallah! Dengan sepotong ayat sahaja, harta kekayaan paling berharga yang dihimpun sepanjang hayat lebur dan luntur, demi keyakinan terhadap rahmat dan pengampunan serta mengharapkan ketinggian darjat di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.
Inilah hasilnya, kesan orang yang benar-benar membaca dan memahami ayat-ayat Allah. Hati dan jiwa beriman seperti inilah yang kita dambarkan. Lebih-lebih lagi dalam suasana kehidupan duniawi yang amat kuat mempengaruhi umat di akhir zaman.Ramadhan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik. Pakar psikologi menyatakan bahawa: jika manusia ingin mengubah sikapnya, hendaklah dia berterusan membiasakan dirinya dengan sikap yang baru selama 21 hari, inilah Ramadhan yang datang untuk membiasakan kita dengan sikap positif selama 30 hari! Semoga Ramadhan mampu membiasakan kita dengan sifat-sifat berikut:
1. Ikhlas: Puasa merupakan satu-satunya ibadah yang menjadi rahsia antara hamba dan TuhanNya. Ibadah yang khusus untuk Allah swt. Ibadah lain seperti sujud dan korban boleh dibuat selain kerana Allah tetapi kita tidak dapati seseorang puasa kecuali kerana Allah swt.
2. Sabar: Seorang muslim berlatih untuk bersabar dan memikul bebanan. Pada bulan-bulan lain mungkin kita selalu marah dan bersikap kurang sabar, tetapi dalam bulan Ramadhan kita akan bersabar sehingga waktu berbuka puasa.
3. Penyantun: Sekiranya seseoarang dicaci atau diejek, dia terus berkata: "Ya Allah aku sedang berpuasa", maka ini melatih kita untuk menahan marah.
4. Disiplin dan ketepatan masa: Waktu adalah kehidupan, seperti yang dinyatakan Hassan al-Banna. Pada bulan-bulan lain kita jarang sekali melihat kepada jam waktu, tetapi dalam Ramadhan kita sentiasa meneliti waktu seperti sahur, berbuka puasa dan waktu azan.
5. Kesatuan ummah: Bilangan muslimin seluruh dunia mencapai 1 billion. Bayangkan jumlah yang sebegitu ramai bersama-sama berpuasa dan berkumpul untuk beribadah.
Mudah-mudahan Ramadan kali ini akan benar-benar mencetuskan kesedaran kepada kita semua, serta menjadi titik-tolak permulaan kita melangkahkan kaki menjadi insan Rabbani yang berjiwa hamba, bukan setakat ISLAM tapi MU’MIN sejati.
No comments:
Post a Comment