HARI VALENTINE (14 FEB) VS MAULIDUR RASUL(15 FEB)
Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 31-32 :
Maksudnya :Katakanlah wahai Muhammad : Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu, serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah, Allah amat pengampun, lagi amat mengasihi. Katakanlah wahai Muhammad : Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya. Oleh itu jika kamu berpaling menderhaka, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orangyang kafir.
Melalui ayat tersebut, Allah menjelaskan bahawa setiap orang islam wajib mencintai Allah dan Rasulnya tanpa berbelah bagi kerana ianya membawa kekuatan iman dan akidah. Mengasihi Rasulullah membawa kepada mencintai Allah, apabila kita mengutamakan Allahdan Rasulnya lebih dari segala-galanya samada sesuai atau tidak dengan kehidupan kita akan menjadi insan yang benar-benar dan beriman.
Bagaimana cara kita mencintai Rasulullah s.a.w ? Caranya ialah dengan menghayati dan mengamalkan sunnahnya, samada perkataan, perbuatan, atau akhlak baginda Rasulullah s.a.w serta memperbanyakkan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w . Jika ada yang cuba menghina dan mengeji sunnah Rasul,maka kitalah yang akan mempertahankan, bagaikan kita melindungi keluarga kita dari sebarang ancaman dan bahaya. Walaupun penghinaan itu datangnya dari kaum kerabat kita, ini bertepatan dengan sabda Nabi s.a.w :
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكًمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيهِ مِن مَّالِهِ وَوَلَدِهِ وّالنَّاسِ أَجْمَعِينَ{ رواية بخاري }
Maksudnya : Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari hartanya, anak pinaknya dan manusia seluruhnya.
Menyedari hakikat itulah musuh islam bertungkus lumus untuk menghancurkan sunnah Rasul. Mereka mengetahui jika umat islam berpegang teguh dengan sunnah Rasul maka matlamat musuh islam tidak akan tercapai, lalu mereka berusaha memasukkan budaya-budaya yang bukan datang daripada sunnah Rasul atau bukan dari ajaran islam itu sendiri akan menjadi ikutan masyarakat khususnya, remaja kita. Kononnya mengikut zaman, sehingga akhirnya, umat islam musnah dari budaya sunnah atau ajaran islam itu. Contohnya musuh islam berjaya memasukkan sejarah kristian dimana telah diraikan oleh setengah generasi islam diseluruh dunia dengan sokongan dari media massa, majalah seperti meraikan hari kekasih iaitu diambil daripada hari ( valentine day ) pada 14 Februari setiap tahun.
Kita sedia maklum, bahawa Rasulullah s.a.w merupakan insan yang bertanggungjawab menyebarkan islam kepada umat manusia setelah melalui pelbagai halangan dan rintangan, manakala ( Paderi St Valentino ) adalah merupakan seorang paderi utama dibawah pemerintahan ( Ratu Isabella ) dan merupakan orang yang terpenting menjatuhkan dan menzalimi umat islam di Kordoba, di Sepanyol pada zaman lampau dan diistiharkan tarikh tersebut sebagai cuti umum bagi rakyat dibawah pemerintahannya, bagi memperingati kekasih mereka St Valentino, yang berjaya menghala umat islam dari bumi Kordoba.
Apa yang pelik terutama dikalangan remaja islam lebih senang memperingati tarikh 14 Februari daripada memperingati hari 12 Rabiul Awal iaitu hari kelahiran nabi Muhammad s.a.w . Lihatlah betapa kuatnya pengaruh musuh-musuh islam dalam mempengaruhi remaja kita kerana setiap 14 Februari diingati sebagai hari kekasih dan merasakan rugi jika ianya dilupakan. Disambut dengan berbagai cara, bahkan mendapat liputan begitu meluas dari media, sedangkan ianya amat bertentangan dari ajaran islam. Sewajarnya pihak ibu bapa, guru-guru dan masyarakat islam sama-sama berusaha mempastikan agar perkara ini tidak berlaku dikalangan masyarakat islam khasnya remaja kita. Umat islam harus berhati-hati dalam setiap langkah dan beringat bahawa musuh-musuh islam berada dimana-mana sahaja dan mereka sentiasa berusaha menipu daya umat islam sedikit demi sedikit sehingga terjebak dan terperangkap.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Ahzab 21 :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللهَ وَالْيَومَ الأَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا { 21 }
Maksudnya :Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.
Sebaik-baik manusia adalah nabi Muhammad s.a.w oleh itu kita bertuah kerana menjadi umatnya. Antara keistimewaan kita umat Muhammad ialah Allah menghantar mereka sebagai golongan terakhir didunia tetapi menjadi golongan pertama dihisab pada hari akhirat dan golongan pertama memasuki syurga. Umat nabi Muhammad juga tidak diazab dengan azab yang dahsyat seperti yang berlaku kepada umat-umat terdahulu.Tiada siapa pun yang dapat menandingi akhlak nabi Muhammad s.a.w walau dari sudut apa sekalipun. Oleh yang demikian, sesiapa yang mencontohinya bukan sahaja diberi jaminan menikmati kehidupan yang bahagia didunia ini, tetapi turut dijamin mendapat kebahagiaan yang kekal abadi diakhirat. Sabda Rasulullah s.a.w :
وَمَنْ أَحْيَا سُنَّتِي فَقَدْ أََحَبَّنِي وَمَنْ أَحَبَّنِي كَانَ مَعِي فِى الْجَنَّةِ ( رواه الترميذي )
Maksudnya :Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia adalah mencintai aku dan siapa yang mencintaiku akan bersama disyurga.
Sebenarnya kita boleh mencontohi Rasulullah s.a.w dalam segala perkara. Akhlaknya yang mulia seperti jujur, amanah, bersopan-santun, menghormati sahabat, menyayangi keluarga, lemah lembut didalam pertuturan dan adil dalam membuat keputusan, patut sekali kita contohi sekiranya kita ingin dimuliakan.Sekiranya kita menjadi ketua maka kita boleh mencontohi kepimpinan Rasulullah s.a.w yang penuh dengan kebijaksanaan, keadilan dalam memimpin dan penuh rasa bertanggungjawab. Baginda juga terkenal seorang yang tawaduk dan merendah diri, kesanggupan baginda memberi selama kepada orang yang lebih tua dan kanak-kanak dan duduk bersama dengan orang-orang yang fakir dan miskin.
Sesungguhnya akhlak mulia yang dihiasi pada diri Rasulullah s.a.w menjadikannya insan istimewa dan sehingga dikagumi oleh sahabat-sahabat dan tidak kurang juga oleh musuh-musuhnya dan akhirnya memeluk islam kerana terpesona dengan kemuliaan akhlak Rasulullah. Oleh yang demikian wajarlah kita sebagai umat Muhammad tidak cukup sekadar pernyataan dibibir mulut tetapi hendaklah kita mencontohi Rasulullah s.a.w didalam segala perkara dalam melayari kehidupan didunia yang sementara ini supaya hidup kita selamat didunia dan diakhirat.
Maksudnya :Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri iaitu nabi Muhammad s.a.w yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. ( SURAH AT-TAUBAH AYAT 128 )
No comments:
Post a Comment