SAIDINA UMAR AL-KHATTAB R.A PENCETUS TAKWIM HIJRAH
Takwim Hijrah atau Takwim Islam merupakan takwim yang digunakan di kebanyakan negara umat Islam untuk menentukan hari kebesaran Islam. Ia merupakan sejenis kalendar berdasarkan bulan dan mempunyai kira-kira 354 hari setahun.
SEJARAH-Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.
-Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.
-Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.
-Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.
-Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.
-Pada tahun kesembilan Hijrah, Allah berfirman akan pengharaman mengubah pengharaman bulan seperti tertera dalam al-Quran dalam “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa” (Surah At-Taubah:36-37)
-Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang kafir.
-Pengharaman ini turut diulang baginda Nabi Muhammad s.a.w. dalam khutbah terakhir baginda di Arafah iaitu ketika berlangsungnya Haji Wada’ pada 9 Zulhijjah 10H di Makkah (perenggan ini sering dibuang daripada khutbah oleh penyunting moden kerana dianggap tidak penting):
-Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambahkan kekufuran yang menyebabkan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada satu tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangannya. Mereka merendahkan-rendahkan apa yang diharamkan oleh Allah. Oleh sebab itulah mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah s.w.t. dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya masa telah beredar seperti keadaan hari, kejadian langit dan bumi, setahun adalah dua belas bulan. Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah s.w.t. adalah sebanyak dua belas bulan. Dari bulan-bulan tersebut ada empat bulan haram, tiga daripadanya berturut-turut iaitu: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, seterusnya bulan Rejab yang berada di antara bulan Jamadilakhir dan Syaaban.
No comments:
Post a Comment