Friday, September 3, 2010


RAMADHANI VS RABBANI

Ramadhan semakin menghampiri kita, hanya tinggal beberapa hari lagi. Antara fenomena yang dapat saya saksikan ialah ada yang sudah mula meningkatkan amalan sunat masing-masing, ada juga wanita yang mula rungsing sama ada sempat menghabiskan puasa ganti, ada juga yang mula risau andai semua kedai sudah penuh untuk tempahan baju raya malah ada juga insan di luar sana yang tidak langsung mengendahkan kedatangan tetamu agung ini.
Umat Islam yang benar-benar bertakwa dan mengakui kekuasaan Allah S.W.T mestilah menjadikan setiap amal yang dilakukan bukan sekadar mengharapkan balasan dari Allah S.W.T, malah menyerahkan segala-galanya hanya kepada Allah semata-mata.
Oleh itu, manfaatkanlah masa hidup kita, kesihatan kita dan masa muda kita dengan amal kebaikan sebelum maut datang menjemput. Bertaubatlah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taubat dalam setiap waktu dari segala dosa dan perbuatan terlarang. Jagalah segala perintah Allah dan jauhilah setiap larangannya, baik di bulan Ramadhan, mahupun pada bulan selainnya. Segeralah bertaubat, janganlah menunda-nunda taubat, kerana kita tidak tahu adakah kita sempat untuk menemui lagi bulan Ramadhan akan datang atau tidak.
Sesungguhnya, setiap amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan akan dilipat gandakan oleh Allah S.W.T akan ganjarannya. Walaupun demikian, sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaanNya, seharusnya tidak terhenti segala amalan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi ianya harus diteruskan juga pada bulan-bulan yang lain. Kerana walau pada bila-bila masa sahaja, sebagai hamba, tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah dan bukannya terhad pada bulan-bulan tertentu sahaja.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Zariyat ayat 56:“Sesungguhnya tidak diciptakan jin dan manusia itu, kecuali untuk beribadat kepada Ku”.
Kita seharusnya perlu menjadikan diri kita sebagai abid Rabbani dan bukannya abid Ramadhani. Abid Rabbani ialah hamba yang beribadat kepada Allah sepanjang masa tanpa mengira masa atau musim cuma pada bulan-bulan tertenti ia akan mempergiatkan dan mempertingkatkan amalannya seperti di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Hasil daripada peningkatan amalan tersebut akan memberi kesan kepada peningkatan kualiti amalannya di masa-masa yang lain.
Manakala Abid Ramadhani ialah seorang hamba yang beribadat hanya pada bulan Ramadhan atau ibadahnya hanya bermusim dan ibadahnya pula tidak dapat mempertingkatkan prestasi ibadah seterusnya yang dilakukan pada luar musim atau selepas Ramadhan.
Ini bagi membuktikan bahawa diri kita benar-benar beriman kepada Allah Ta’ala dalam setiap masa dan bukan sekadar beramal untuk mengharap balasannya sahaja. Oleh itu, jika sekiranya pada bulan Ramadhan, masjid-masjid sentiasa dipenuhi dengan solat berjemaah, sedekah sentiasa dihulur, di pertengahan malam selalu diwarnai dengan solat-solat sunat dan zikir, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga tradisi ini tetap diteruskan.
Masjid-masjid sentiasa meriah dengan para jemaah, yang miskin dan kaya, tua dan muda sama-sama bersuka-ria kerana tidak ada yang kelaparan dan meminta, dipertengahan malam juga begitu syahdu dengan alunan zikrullah dan ketenangan solat-solat sunat, maka inilah dikatakan amal yang sebenar-benarnya. Segala-galanya hanya untuk Allah.
Bersungguh-sungguhlah dalam mengurus keluarga, anak-anak dan sesiapa sahaja yang menjadi tanggungjawab kita. Jika di bulan Ramadhan, anak-anak diajar berpuasa dan bertarawikh, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga mereka terus diajar supaya taat kepada Allah.
Jadilah suri teladan yang baik dalam segala bidang, kerana kitalah pemimpin mereka dan bertanggungjawab atas mereka di hadapan Allah Ta’ala. Bersihkan rumah-rumah kita dari segala bentuk kemungkaran yang menjadi penghalang untuk berzikir dan solat kepada Allah. Sibukkanlah diri kita dan keluarga kita dalam hal-hal yang lebih bermanfaat. Dan sentiasalah ingatkan mereka agar menjauhkan diri dari hal yang membahayakan mereka dalam agama, dunia dan akhirat kelak.
Semoga Allah melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada kita semua untuk amal yang diredhaiNya, serta menjadi hamba yang bertakwa tak kira masa.Buat para Tentera Allah , sejarah sepanjang Ramadhan membuktikan umat Islam berada ditahap kekuatan kerohanian tertinggi yang mampu diterjemahkan di dalam perjuangan mereka.Akhir kalam, marilah berusaha bermujahadah untuk menjadi abid Rabbani dan bukan abid Ramadhani.

No comments:

Post a Comment