Friday, September 24, 2010

PERISTIWA BERSEJARAH DI BULAN SYAWAL

Pelbagai peristiwa besar telah berlaku di bulan Syawal. Kami akan bicarakan sebahagiannya sebagai langkah untuk mengenali sejarah kita dan membongkar sedikit daripada tamadun kita pada masa umat Islam jahil tentang sejarah dan tamadun dunia. Di antara peristiwa tersebut ialah:
PERANG KHANDAK (GHAZWAH AHZAB)
Pada tahun kelima Hijrah di bulan Syawal berlaku Perang Khandak. Faktornya berlaku Perang Khandak ialah orang-orang Yahudi setelah melihat kemenangan Musyrikin di dalam Perang Uhud mendorong pembesar Yahudi seperti Salam bin Ubai al-Haqiq dan lainnya telah keluar menemui pemimpin Quraisy di Mekah menggalakkan mereka untuk memerangi Rasulullah dan berjanji bersama mereka dan menolong mereka. Lalu musyrikin Mekah menyahut tawaran mereka. Kemudian mereka keluar menemui Ghatfan dan mereka turut menyahutnya. Kemudian mereka menemui kabilah-kabilah Arab dan mengajak mereka berperang. Setengah dari mereka bersetuju berperang.Tentera Quraisy dipimpin oleh Abu Sufyan bersama 4000 tentera dan disertai oleh Bani Sulaim, Bani Asad,Bani Fazarah, Bani Asyja’ dan lainnya sehingga jumlah tentera musyrikin seramai 10,000 orang.

Justeru Rasulullah telah bermesyauarat dengan para sahabat bagi menghadapi situasi ini. Lalu Salman al-Farisi telah mencadangkan supaya menggali parit yang memisahkan antara musuh dan kota Madinah. Dengan itu Rasulullah saw telah memerintahkan kaum muslimin segera melakukan kerja-kerja penggalian. Bahkan baginda sendiri turut bekerja keras bersama-sama muslimin . Beberapa peristiwa luar biasa telah belaku semasa penggalian yang menunjukkan tanda kenabian seperti yang diriwayatkan secara mutawatir.Rasulullah saw telah keluar ke Khandak seramai 3000 orang tentera. Kedudukan tentera Islam ketika itu menjadikan bukit di sebelah belakang dan parit di sebelah depan. Kaum wanita dan anak-anak berkumpul di Madinah.Selepas sebulan Kota Madinah dikepung tentera musyrikin Allah telah mendatangkan pertolonganNya dengan mengutuskan tentera dan ribut yang menjadi sebab kemenangan yang besar kepada tentera muslimin. Dengan itu juga turun surah al-Al-Ahzab.

GHAZWAH UHUD
Ghazwah Uhud adalah peperangan dhamir dan kemenangan ke atas jiwa, tarbiyah kelompok mukmin supaya dengar dan taat arahan pimpinan terutama di saat-saat genting.Ghazwah Uhud berlaku pada bulan Syawal tahun ketiga Hijrah setelah Musyrikin Mekah hendak menuntut bela di atas kekalahan mereka semasa Ghazwah Badar al-Kubra setelah kedudukan mereka tercemar di serata Semenangjung Arab. Terbukti dengan jelas di dalam gazwah ini pengorbanan para sahabat dan kecintaan mereka yang mendalam kepada Rasulullah saw.Tentera muslimin ditimpa kekalahan ekoran pasukan pemanah melanggar arahan nabi saw supaya bertahan di bukit biar apa terjadi. Jumlah muslimin yang syahid seramai 70 orang sahabat.

GHAZWAH HUNAIN
Peperangan ini tercetus pada 7 Syawal tahun ke lapan Hijrah yang tertumpu di Lembah Hunain iaitu suatu lembah bersebelahan Zul Majaz. Jarak dengan Mekah sejauh 27 km yang terletak berdekatan dengan Arafah. Bilangan tentera muslimin seramai 12000 orang yang menggabungkan 10000 dari Madinah dan 2000 dari Mekah. Kejayaan Islam dalam Fathul Mekah telah mencetuskan kemarahan kabilah-kabilah Arab yang berdekatan Mekah. Lalu mereka bangkit memerangi Islam yang dipelopori Hawazin dan Thaqif. Para pemimpin kabilah-kabilah ini telah berkumpul dan bersetuju menyerahkan kepimpinan kepada Malik bin Auf Said dari kabilah Hawazin. Mereka juga bersetuju berjalan kaki untuk memerangi tentera muslimin.
Segelintir tentera muslimin timbul perasaan “ghurur” setelah melihat jumlah mereka lebih ramai dari sebelumnya dan kedudukan mereka lebih kuat dari musuh. Dalam hal ini Allah mengungkapkan dalam firmanNya:“Sesungguhnya Allah Telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (Ingatlah) peperangan Hunain, yaitu diwaktu kamu menjadi congkak Karena banyaknya jumlah (mu), Maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu Telah terasa sempit olehmu, Kemudian kamu lari kebelakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan bala tentara yang kamu tiada melihatnya, dan Allah menimpakan bencana kepada orang- orang yang kafir, dan Demikianlah pembalasan kepada orang-orang yang kafir. (At-Taubah: 25-26)
Dalam suasana berkecamuk akibat diserang hendap musuh yang bersembunyi di balik bukit menyebabkan ramai tentera Islam bertempiaran lari namun terbukti keteguhan dan keberanian nabi saw. Baginda maju ke hadapan.. mendekati barisan kuffar sambil memanggil dengan suara yang kuat: “Saya nabi bukan pendusta saya anak Abdul Mutalib”.Kemudian datang pertolongan Allah dengan ribut dan tentera yang tidak kelihatan. Inilah kurniaan Allah kepada rasulNya dan para mukminin.

GHAZWAH BANI QAINUQA’
Ghazwah ini tercetus pada 15 Syawal tahun 2 Hijrah setelah Yahudi Bani Qainuqa’ mengkhianati perjanjian yang telah dimeterai antara Rasulullah bersama mereka. Bahkan mereka dengan segera melanggar perjanjian dan bertambah marah dan iri hati dengan kemenangan muslimin di Badar . Kini secara terangan mereka memusuhi muslimin setelah berlaku satu peristiwa di mana seorang lelaki Yahudi (tukang emas) mengangkat hujung baju seorang wanita Islam di pasar Bani Qainuqa’. Bila wanita itu bangun maka terselaklah auratnya, lalu ia memekik. Seorang lelaki Islam bingkas menyerang lelaki Yahudi itu dan membunuhnya. Kemudian Yahudi-yahudi yang lain pula berkumpul dan menerkam lelaki Islam tadi dan membunuhnya. Lantas orang-orang Islam memanggil muslimin yang lain dan membangkitkan kemarahan muslimin lainnya sehingga berlaku pergaduhan antara orang Islam dan Bani Qainuqa’ . Rasulullah telah mengepung selama 15 malam bermula pada 15 Syawal tahun kedua Hijrah menurut pendapat yang kuat sehingga bulan Zulqaedah. Akhirnya mereka tunduk dengan hukuman dan keputusan Rasulullah saw iaitu seluruh harta, isteri dan anak-anak serta diri mereka hendaklah keluar meninggalkan Madinah. Lalu mereka telah menuju ke Azar’at di Syam. Yahudi Bani Qainuqa’ adalah Yahudi yang pertama menentang nabi saw. Ayat al-Quran telah turun mengecam perbuatan Bani Qainuqa’. Firman Allah: “Katakanlah kepada orang-orang yang kafir: "Kamu pasti akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan digiring ke dalam neraka jahannam. dan Itulah tempat yang seburuk-buruknya. Sesungguhnya Telah ada tanda bagi kamu pada dua golongan yang Telah bertemu (bertempur), segolongan berperang di jalan Allah dan (segolongan) yang lain kafir yang dengan mata kepala melihat (seakan-akan) orang-orang muslimin dua kali jumlah mereka. Allah menguatkan dengan bantuan-Nya siapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai mata hati.”. (Ali-Imran: 12-13)

Antara peristiwa lain selain perang :
-          Kewafatan al-Hafiz Abu Daud As-Sajastani Sahib as-Sunan (Beliau wafat di Basrah pada hari jumaat 15 Syawal tahun 275H. )
-          Kewafatan Syeikh Muhammad al-Ghazali (Beliau meninggal dunia di Riyadh pada 19 Syawal 1417H )
-          Kewafatan Muhammad bin Sirin penulis kitab Tafsir mimpi (Pada 9 Syawal tahun 110H)
-          Perkahwinan nabi saw dengan Saidatina ‘Aisyah

Monday, September 20, 2010

Bacaan Al-Fatihah

Salam Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Pak Long (Pengusaha kantin) SMK Taman Seri Saujana atas pemergian rohnya ke rahmatullah pada jam 7:45 malam, Sabtu (18.09.2010). Semoga Allah merahmati roh dan amalannya. Al-Fatihah!

Jasa Mu tetap dikenang
Haji Haron B Mohsan (Bilal Surau Nurul Yaqiin)

Salam Perpisahan buat Tn Haji Haron bin Mohsan yang banyak sekali mencurahkan tenaga dan khidmat bakti. Sesungguhnya kami JK Nuurul Yaqiin serta warga Saujana amnya berasa suatu kehilangan yang amat besar atas penghijrahan Tn Haji ke Bandar Dato Onn, Johor Bahru pada 19 Sept 2010 (Ahad). Semoga Allah limpahkan keberkatan pada tuan sekeluarga. Jasamu amat dikenang. Amiin.

Friday, September 17, 2010

SUNAT SYAWAL & QADHA

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih
وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه
Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)
Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.
Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun). Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.
Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT. Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)
Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.
Isu Gabung Sunat & Qadha
Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-
Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya. Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.
3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut : Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)
4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)
5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).
6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.
7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.
Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal); Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Monday, September 6, 2010


AIDILFITRI (Kembali pada Fitrah)


APABILA umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan pada bulan Ramadan, saat berakhirnya puasa itu disambut dengan perayaan aidilfitri, yang bererti secara harfiahnya “kembali seperti sedia kala.” Dari segi adatnya umat Islam kembali makan minum di siang hari namun dari segi pengertian agama, umat Islam kembali kepada fitrahnya, iaitu kejadian asal manusia, seperti dikatakan oleh Nabi: “Manusia dilahirkan dalam bentuk fitrah, ibu bapanya yang mencorakkan menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” Ertinya, umat Islam setelah melalui tamrin atau latihan jasad dan kerohanian sepanjang bulan Ramadan, dengan menahan segala yang dilarang agama, akan memulihkan kedudukan manusia itu ke tempat yang asal. Tempat asalnya atau fitrahnya ialah “ahsnu taqwim” (sebaik-baik kejadian) seperti diungkapkan dalam al-Quran  “Sesungguhnya Kami telah menjadikan manusia dalam keadaan atau binaan yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami lemparkan mereka di tempat yang paling buruk.”
Mengikut hadis, pada bulan Sya’aban, sebelum puasa, kitab amal manusia akan ditutup dan diserahkan ke langit. Manusia selepas itu menjalani tamrin atau latihan pada bulan Ramadan, dan akan memulai cara hidup baru pada bulan Syawal.
2.      Adilfitri Sebagai Hari Kemenangan
Hari Raya Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi para salihin, muqarrabin dan muslimin. Selama sebulan mereka menghadapi dugaan Allah; siang harinya melawan tuntutan nafsu dan runtuhan amarah; malamnya mereka qiam, bersembahyang tarawih, witir dan bertadarus. Kehadiran Aidilfitri merupakan anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang takwa dan tawadhuk.
Hari Raya Aidilfitri sebenarnya puncak peribadatan yang diamalkan di sepanjang Ramadhan. Di pagi Syawal umat Islam berzikir, bertasbih, bertahmid dan bertasyahud sebagai menyatakan kesyukuran ke atas nikmat yang telah dianugerah oleh Allah. Ibadat puasa dalam perkiraan Allah itu sangat tinggi. Diriwayatkan oleh Ahmad Al-Nasai dan Al-Hakim Abu Umamah, katanya, “saya bertemu Rasulullah S.A.W. lalu saya menyatakan suruhlah saya mengerjakan sesuatu amalan yang memasukkan saya ke dalam syurga. Bersabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Tetaplah engkau berpuasa, kerana puasa itu tak ada bandingannya.” Kemudian saya mendatangi nabi kali yang kedua, maka nabi berkata pula: “Tetaplah engkau berpuasa.”
Dari riwayat Ahmad Al-Nasai dan al-Hakim Abu Umamah itu, menjelaskan ganjaran puasa ialah syurga. Ini bererti bahawa pahala puasa itu sangat tinggi, dan nilainya di sisi Allah sangatlah besar. Ketinggian dan kebesaran ibadat puasa itu pula, memberi pengertian yang mendalam terhadap definisi Hari Raya Aidilfitri.
3.      Definisi Hari Raya Aidilfitri
Sejarah Hari Raya Aidilfitri ini, selain daripada hubungannya dengan ibadat puasa, iaitu menandakan tibanya manifestasi kemenangan, juga sebagai anugerah Allah kepada hamba-hamba-Nya. Fitrah bererti naluri, sesuatu yang selari dengan sifat kejadian manusia. Jadi, Hari Raya Aidilfitri atau ‘Idil al-fithr’ itu ialah suatu perayaan kemenangan yang sesuai dengan kejadian sifat manusia. Hari itu haruslah dirayakan menurut sifat manusia itu sendiri.
Apakah sifat manusia?
            Manusia berasal daripada perkataan ‘nun’, ‘sin’ dan ‘ya’, iaitu ‘nusia’. Perkataan ini bermaksud ‘pelupa’, ‘lalai’ atau secara iktisarnya dapat ditegaskan sebagai makhluk yang lemah dan mudah terpedaya. Dari situ timbul perkataan ‘insan’, iaitu hamba yang dicipta oleh pencipta-Nya dalam keadaan yang selalu atau sering ‘kurang berdaya’. Jadi, sama ada manusia atau insan, maknanya adalah sama, iaitu suatu kejadian yang dikelilingi oleh kealpaan dan kelemahan.
            Memahami hakikat ini, bukannya bererti sesuatu yang luar biasa, justeru kita manusia dalam hidup ini tidak akan terhindar, malah tidak berkuasa untuk tidak melakukan kesalahan. Bagaimanapun seperti yang diakui oleh Allah sendiri, manusia ini dicipta dalam keadaan sebaik-baik kejadian. Di antara sifat kebaikan manusia itu ialah mempunyai akal, dan boleh berbicara. Dalam diri manusia disediakan perasaan, naluri dan keinginan. Manusia cintakan hal-hal yang indah, cantik dan mengkhayalkan. Manusia inginkan kekayaan. Manusia mahu kebahagiaan dan sebagainya. Itulah fitrah manusia.
            Islam adalah agama fitrah. Agama yang paling sesuai dengan sifat dan keinginan manusia. Islam sesungguhnya adalah agama manusia yang memahami jiwa, perasaan dan pemikirannya. Dan Islam juga agama yang mudah, justeru manusia inginkan kemudahan bukan sifat-sifat atau ciri-ciri manusia dan nalurinya, yang bertentangan dengan Islam. Islam membenarkan manusia berkahwin, beranak pinak dan berketurunan. Islam menggalakkan mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya asal sahaja dari sumber yang halal.
            Oleh kerana manusia dibekalkan oleh bermacam-macam naluri dan fitrah; dan manusia dilepas-bebaskan ingin memenuhi kehendak nalurinya; bererti ia akan terjerumus ke lembah tamak. Manusia yang dijadikan sifat kealpaan dan kelupaan sering sahaja tenggelam ke dasar pemuasan nafsu syaitannya jueteru itu, Islam tidak membenarkan pemenuhan keinginan naluri itu secara membabi buta. Naluri dan fitrah manusia dalam pandangan Islam ada batasannya.
            Manusia boleh makan dan minum. Tetapi jangan makan dan minum secara berlebihan. Apalagi memakan makanan yang haram. Dan apabila datang bulan puasa, manusia diharamkan makan di waktu siang harinya. Bukankah ibadat puasa itu, sesungguhnya sebagai jaringan dan tapisan kepada pemenuhan fitrah yang amarah dan ganas serta rakus itu?
            Memahami pengertian ‘manusia’, ‘insan’ dan ‘fitrah’ dalam konteks Islam, kita akan lebih memahami pula definisi dan fungsi Hari Raya Aidilfitri itu  sebagai hari perayaan yang sesuai dengan sifat manusia. Justeru itu, walaupun hari Raya Puasa ini bererti ‘hari kemenangan’, ‘hari perayaan’ dan ‘hari bersuka ria’, tetapi ada batas-batas dan sempadannya. Kita tidak boleh merayakan dengan memenuhi keinginan nafsu dan rasa pemuasan manusiawi kita. Alangkah buruknya dalam pandangan Islam hari mulia itu kita cemari dengan amalan dan perbuatan jijik yang melanggar batas kesucian.
 4.      Pengisian Hari Raya Aidilfitri
        i)  Berpakaian bersih dan bersembahyang sunat
             Sebaik-baik merayakan hari yang berkat itu, kita mencontohi amalan-amalan sunnah yang dilakukan oleh Rasullah dan para sahabat baginda seperti berpakaian bersih dan cantik di pagi Hari Raya sebagai tanda kebesaran dan nikmat dari Allah. Ketibaan pagi Sya-wal harus diniati untuk pergi ke masjid bersembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri. Nabi Muhammad S.A.W., menurut Anas, ada menyatakan, baginda tidak akan ke masjid sehingga baginda terlebih dahulu makan buah tamar. Hadis Bukhari ini menunjukkan bahawa amalan yang baik di pagi raya itu makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Sesampai ke masjid, baginda akan bersembahyang Hari Raya Aidilfitri bersama-sama kaun muslimin; kemudian  memberi khutbah.           
           ii. Bersedekah dan Membayar Zakat Fitrah   
                Bersedekah dalam konsep Islam di Hari Raya menandakan kesyukuran orang-orang berada bersimpati dengan orang-orang yang kurang berupaya untuk bersama-sama meraikannya. Dalam konteks menolong orang-orang kurang upaya, terutamanya fakir miskin, Islam mewajibkan kaum muslimin supaya mengeluarkan zakat fitrah. Pahala meeka yang mengerjakan rukun islam yang keempat ini hanya akan tergantung di awangan, jika tidak berfitrah; dan akan diangkat ke langit setelah zakat fitrah dikeluarkan. Zakat adalah sebutan dari sebuah hak Allah Taala yang dikeluarkan seseorang kepada fakir miskin. Di dalamnya terkandung harapan untuk beroleh berkat, membersihkan jiwa dan memupuknya dengan pelbagai kebajikan. Siapa yang  membayarnya sebelum sembahyang hari raya menandakan zakatnya diterima Allah dan siapa yang membayar selepas sembahyang, zakatnya samalah seperti sedekah biasa.
            Hari Raya Aidilfitri, harus dirayakan oleh setiap golongan Islam, baik yang kaya ataupun miskin. Pada hari itu, tiada perbezaan antara kaya atau miskin. Sebagai bukti hikmat puasa. Puasa mengajar kepada golongan kaya, supaya merasakan penderitaan dan kesengsaraan golongan fakir miskin. Di hari yang mulia itulah golongan kaya, tidak hanya setakat merasakan keazaban itu, tetapi memberikan sebahagian dari kekayaannya untuk dinikmati oleh golongan yang kurang mendapat nikmat dunia ini.
 iii. Bermaaf-maafan dan Menjalin Persaudaraan
 Suatu amalan yang suci telah menjadi budaya orang-orang Islam di Malaysia pada Hari Raya ialah bermaaf-maafan. Baik yang muda atau tua, menghulur tangan, memberi tahniah dan ‘mubarak’. Mereka mengungkapkan ucapan ‘maaf lahir dan batin’ dan ‘minal a’idin wal faizin’ ( orang yang pulih dan berjaya ) serta memohon diampunkan segala dosa. Memanglah dalam interaksi sosial, tentu ada sahaja perbuatan yang boleh melukakan hati sahabat sesama muslim; begitu juga ada perasaan tidak baik yang tersimpan di sanubari dan batin; pada hari itulah segalanya dibersihkan: memohon ampun agar Tuhan memberikan limpah kurnia-Nya.
            Tegasnya Hari Raya Aidilfitri, menjadi jambatan yang menghubungkan silaturahim antara sesama kaum Islam. Sahabat yang jauh didekatkan. Hanya dengan eratnya persahabatan sesama Islam, kekuatan agama ini akan terasa padu dan kukuh. Sebab itu, Islam menggalakkan selepas bersembahyang sunat, berkumpul di rumah untuk merapatkan hubungan sesama keluarga yang menjadi asas mujtamak Islami; kemudian berziarah ke rumah jiran tetangga dan sahabat handai bertujuan untuk mempererat tali persaudaraan yang sedia ada. Sebenarnya kunjungan dan lawatan yang utama ialah menghubungkan persaudaraan bukan makanan yang sedap-sedap semata-mata atau menghias rumah secara berlebihan.
            Sebagai negara bermasyarakat majmuk, Hari Raya dapat dijadikan landasan untuk memupuk persafahaman dan muhibah antara kaum. Tuhan sememangnya menjadikan manusia ini bersuku-suku dan berkaum-kaum, tujuannya ialah untuk saling kenal mengenal antara satu sama lain. Maka Hari Raya Aidilfitri ini dapat memenuhi hasrat dan aspirasi ‘perkenalan’ itu.
            Cuma, dalam kontek meraikan tetamu bukan Islam ini, janganlah pula terlalu ghairah misalnya sehingga sanggup menyediakan minuman yang haram untuk tetamunya itu. Malah tetamu itu awal-awal lagi menyatakan, jika tidak disediakan minuman keras dia tidak akan datang mengunjung. Jadi, Hari Raya Aidilfitri yang mulia itu, yang berhasrat tujuan untuk muhibah antara kaum, telah menjadi medan maksiat. Sesungguhnya cara muhibah begini, langsung tidak dikehendaki dalam Islam. Sebagai seorang penganut yang diredai, ia harus menjelaskan kedudukan itu kepada sahabat yang bukan Islam itu kerana orang-orang Islam mempunyai caranya yang tersendiri untuk merayakannya.
            Islam tidak melarang hiburan atau bentuk pesta sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri ini. Islam sebagai agama fitrah mengetahui apa yang dirasa, difikir dan diinginkan oleh manusia. Tetapi bentuk hiburan itu tidaklah sampai melampau batas kefitrahan manusia, sehingga ia lupa pada dirinya.
            Daripada Aisyah (ra), beliau menyatakan telah datang Abu Bakar ketika dua orang jariah dari golongan Ansar menyanyi dengan lagu ‘youm bu ‘ath’ iaitu hari kemenangan. Saidina Abu Bakar berkata: apakah ada suara syaitan di rumah Rasululah, dan sebenarnya pada hari itu Hari Raya. Hal ini diketahui oleh Baginda Rasululah S.A.W. lalu menyatakan bahawa setiap kaum itu ada hari rayanya dan dan hari raya ini adalah hari raya untuk kaum Muslim. Dari Aishah ini, dapat dirumuskan bahawa pada Hari Raya Aidilfitri ini, Islam membenarkan nyanyian untuk berhibur.
            Cuma bentuk nyanyian dan hiburan itu harus difahami. Isi nyanyiannya ialah ‘yaoum bi’ath’ yang dimaksudkan sebagai nyanyian-nyanyian yang berisikan puji-pujian kepada Allah.
            Dalam hadis itu tidak menyebutkan kedua-dua jariah itu menyanyi dengan iringan sebarang apa alat bunyi-bunyian. Sesuai dengan Hari Raya Aidilfitri, hari menyambut kemenangan, maka Islam membenarkan umatnya menyanyikan lagu-lagu yang senada dengan syarat-syarat yang diberikan. Di antara lagu-lagu yang dapat dicontohkan ialah lagu-lagu nasyid, berzanji, bernazam dan sebagainya. Sesungguhnya tidaklah sesuai dengan lagu disko atau lagu asmara, yang sama sekali mengenetepikan roh kebesaran Hari Raya itu. Kenyataan-kenyataan ini menunjukkan, bahawa di Hari Raya Aidilfitri kita boleh bergembira, asalkan sahaja mengikut batasan-batasannya.
            Batasan-batasan fitrah manusia ini, sesungguhnya mempunyai hikmahnya, supaya manusia menghormati dan memberi penilaian yang tinggi terhadap kejadiannya. Dalam surah al-Israk ayat 70, Allah berfirman Sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam dan Kami angkat mereka dengan kenderaan di daratan dan di lautan. Kami telah kurniakan kepada mereka rezeki yang baik dan Kami telah lebihkan mereka di atas kebanyakan makhluk yang Kami jadikan dengan kelebihan (yang sempurna)”.  Ayat al-Quran ini menunjukkan bahawa manusia itu diberi keistimewaan dan berbagai-bagai kelebihan. Manusia seharusnya bersyukur atas nikmat dan pemberian Tuhan itu.
 5.      Pengajaran Di Sebalik Hari Raya Aidilfitri
          Hari Raya Aidilfitri yang mengingatkan manusia akan kejadiannya yang fitriah itu, haruslah difahami dan disedari. Janganlah melakukan sesuatu yang boleh melanggar kefitriahannya. Sewaktu berhubungan antara satu sama lain, Rasulullah bersabda: “Bergaullah dengan orang-orang menurut apa yang anda suka mereka bergaul dengan anda. Dan jangan suka mementingkan diri sendiri”. Dalam ayat 8 surah al-Maidah, Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu berdiri kerana Allah, menjadi saksi kerana keadilan. Jangan bahayakan kamu dengan perpecahan suatu kaum dari yang tidak melakukan keadilan. Berlaku adillah, itulah yang lebih hampir kepada takwa dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengerti apa-apa yang kamu kerjakan.”
            Sesungguhnya Islam telah menggariskan konsep fitriah dan konsep pengalaman Hari Raya Aidilfitri itu. Kita sebagai umat Islam hendaklah mengetahui dan membudayakan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh Rasululah dan para sahabat. Tidak ada maknanya puasa dilakukan sepanjang bulan puasa, jika amalan Hari Raya itu dilakukan di luar garis-garis yang dibenarkan. Sesungguhnya amalan dan segala ibadat itu adalah wajib dan sebagai dugaan kebenaran iman.
Ayat 165, surah al-An’am, Allah berfirman yang maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi, dan mengangkat darjat-darjat dari kamu atas sebahagian untuk menguji kamu tentang apa yang Dia telah datangkan kepada kamu, lalu Dia mengkhabarkan kepadamu apa-apa yang kamu perselisihkan.” Sesungguhnya ibadat puasa, sama juga dengan ibadat yang lain adalah amanah dan dugaan dari Allah bagi membuktikan keikhlasan dan ketaatbudian insan kepada al-Khaliqnya.
Tazkirah 30 Ramadhan 1431H
Tazkirah 29 Ramadhan 1431H
Tazkirah 28 Ramadhan 1431H
Tazkirah 27 Ramadhan 1431H

Saturday, September 4, 2010

Tazkirah 26 Ramadhan 1431H
Tazkirah 25 Ramadhan 1431

Friday, September 3, 2010


RAMADHANI VS RABBANI

Ramadhan semakin menghampiri kita, hanya tinggal beberapa hari lagi. Antara fenomena yang dapat saya saksikan ialah ada yang sudah mula meningkatkan amalan sunat masing-masing, ada juga wanita yang mula rungsing sama ada sempat menghabiskan puasa ganti, ada juga yang mula risau andai semua kedai sudah penuh untuk tempahan baju raya malah ada juga insan di luar sana yang tidak langsung mengendahkan kedatangan tetamu agung ini.
Umat Islam yang benar-benar bertakwa dan mengakui kekuasaan Allah S.W.T mestilah menjadikan setiap amal yang dilakukan bukan sekadar mengharapkan balasan dari Allah S.W.T, malah menyerahkan segala-galanya hanya kepada Allah semata-mata.
Oleh itu, manfaatkanlah masa hidup kita, kesihatan kita dan masa muda kita dengan amal kebaikan sebelum maut datang menjemput. Bertaubatlah kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taubat dalam setiap waktu dari segala dosa dan perbuatan terlarang. Jagalah segala perintah Allah dan jauhilah setiap larangannya, baik di bulan Ramadhan, mahupun pada bulan selainnya. Segeralah bertaubat, janganlah menunda-nunda taubat, kerana kita tidak tahu adakah kita sempat untuk menemui lagi bulan Ramadhan akan datang atau tidak.
Sesungguhnya, setiap amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan akan dilipat gandakan oleh Allah S.W.T akan ganjarannya. Walaupun demikian, sebagai hamba yang sentiasa mengharapkan keredhaanNya, seharusnya tidak terhenti segala amalan hanya pada bulan Ramadhan sahaja, tetapi ianya harus diteruskan juga pada bulan-bulan yang lain. Kerana walau pada bila-bila masa sahaja, sebagai hamba, tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah dan bukannya terhad pada bulan-bulan tertentu sahaja.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Zariyat ayat 56:“Sesungguhnya tidak diciptakan jin dan manusia itu, kecuali untuk beribadat kepada Ku”.
Kita seharusnya perlu menjadikan diri kita sebagai abid Rabbani dan bukannya abid Ramadhani. Abid Rabbani ialah hamba yang beribadat kepada Allah sepanjang masa tanpa mengira masa atau musim cuma pada bulan-bulan tertenti ia akan mempergiatkan dan mempertingkatkan amalannya seperti di bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadhan. Hasil daripada peningkatan amalan tersebut akan memberi kesan kepada peningkatan kualiti amalannya di masa-masa yang lain.
Manakala Abid Ramadhani ialah seorang hamba yang beribadat hanya pada bulan Ramadhan atau ibadahnya hanya bermusim dan ibadahnya pula tidak dapat mempertingkatkan prestasi ibadah seterusnya yang dilakukan pada luar musim atau selepas Ramadhan.
Ini bagi membuktikan bahawa diri kita benar-benar beriman kepada Allah Ta’ala dalam setiap masa dan bukan sekadar beramal untuk mengharap balasannya sahaja. Oleh itu, jika sekiranya pada bulan Ramadhan, masjid-masjid sentiasa dipenuhi dengan solat berjemaah, sedekah sentiasa dihulur, di pertengahan malam selalu diwarnai dengan solat-solat sunat dan zikir, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga tradisi ini tetap diteruskan.
Masjid-masjid sentiasa meriah dengan para jemaah, yang miskin dan kaya, tua dan muda sama-sama bersuka-ria kerana tidak ada yang kelaparan dan meminta, dipertengahan malam juga begitu syahdu dengan alunan zikrullah dan ketenangan solat-solat sunat, maka inilah dikatakan amal yang sebenar-benarnya. Segala-galanya hanya untuk Allah.
Bersungguh-sungguhlah dalam mengurus keluarga, anak-anak dan sesiapa sahaja yang menjadi tanggungjawab kita. Jika di bulan Ramadhan, anak-anak diajar berpuasa dan bertarawikh, maka alangkah baiknya jika selepas Ramadhan juga mereka terus diajar supaya taat kepada Allah.
Jadilah suri teladan yang baik dalam segala bidang, kerana kitalah pemimpin mereka dan bertanggungjawab atas mereka di hadapan Allah Ta’ala. Bersihkan rumah-rumah kita dari segala bentuk kemungkaran yang menjadi penghalang untuk berzikir dan solat kepada Allah. Sibukkanlah diri kita dan keluarga kita dalam hal-hal yang lebih bermanfaat. Dan sentiasalah ingatkan mereka agar menjauhkan diri dari hal yang membahayakan mereka dalam agama, dunia dan akhirat kelak.
Semoga Allah melimpahkan taufik dan hidayahNya kepada kita semua untuk amal yang diredhaiNya, serta menjadi hamba yang bertakwa tak kira masa.Buat para Tentera Allah , sejarah sepanjang Ramadhan membuktikan umat Islam berada ditahap kekuatan kerohanian tertinggi yang mampu diterjemahkan di dalam perjuangan mereka.Akhir kalam, marilah berusaha bermujahadah untuk menjadi abid Rabbani dan bukan abid Ramadhani.
Tazkirah 24 Ramadhan 1431H

Thursday, September 2, 2010

Tazkirah 23 Ramadhan 1431H

Wednesday, September 1, 2010

Tazkirah 22 Ramadhan 1431H