
Friday, March 11, 2011

BERUNTUNGLAH INSAN YANG DAGANG
Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
" بدأ الإسلام غريبا وسيعود كما بدأ غريبا فطوبى للغرباء"
“Islam bermula sebagai sesuatu yang dianggap asing dan ganjil. Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil” [Hadith Muslim no. 145]
Semasa Islam datang, seruannya menimbulkan rasa hairan. Kehairan itu cukup untuk Islam ditolak, dipencilkan, ditertawakan, dituduh sebagai sihir dan agenda orang gila, dan seribu satu kecaman yang terakam di lembaran Sirah.Masakan tidak.Islam datang menongkah kebiasaan.Manusia sudah biasa menjadi hamba kepada manusia. Biar pun perhambaan itu penuh dengan kezaliman dan penderitaan, manusia lebih selesa untuk mengekalkan kebiasaan berbanding menerima perubahan.Zina yang haram sudah menjadi kebiasaan. Lalu pernikahan yang halal menjadi kejanggalan.Arak yang menukar manusia jadi binatang sudah diterima sebagai normal. Makanan dan minuman yang halal lagi baik, dianggap pelik dan menyusahkan.Riba yang mencengkam dan menyeksa kehidupan sudah diterima pakai sebagai tatacara hidup. Jual beli yang bersih lagi adil, dilihat sebagai asing dan tidak mempunyai masa depan.Walaupun perhambaan, penzinaan, arak dan judi serta riba dan kezaliman, semuanya itu menjadikan kehidupan manusia seperti neraka dunia, itu lebih selesa untuk dikekalkan kerana sudah biasa, berbanding mengusahakan perubahan, biar pun ia menjanjikan jalan keluar dari kegelapan Jahiliah tersebut.Itulah nasib Islam di awal zamannya.Seruan untuk menyelamatkan manusia dibalas dengan maki hamun. Nabi diherdik dengan penghinaan. Tubuhnya dijamah dengan batu tajam yang menumpahkan darah. Kerana Islam ganjil di awal kedatangannya.
Kejanggalan dan keganjilan itu tidak menimbulkan rasa terasing, malu atau rendah diri pada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan sahabat. Sedikit demi sedikit mereka optimis membawa sinar perubahan, berteraskan iman.Mereka ganjil bukan sebab mereka salah.Mereka ganjil kerana mereka berbeza berbanding yang ramai. Itu sahaja.
Firman Allah SWT bermaksud:“Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.” [Hud 11: 119]
Ayat ini bercerita tentang sekumpulan manusia asing di tengah masyarakat. Mereka ganjil kerana ketika manusia sudah selesa dengan kerosakan dan menerimanya sebagai satu cara hidup, kelompok ini menyeru kepada sebaliknya. Mereka mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran.Namun mereka menjadi asing dan ganjil kerana mereka adalah minoriti.Majoriti mahukan maksiat dan kerosakan.Minoriti ini menyeru kepada ketaatan dan kemuliaan hidup.Mereka inilah GHURABA!
Kerana itulah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:“Islam bermula sebagai sesuatu yang dipandang ganjil. Kemudian ia akan kembali menjadi seperti permulaannya, dianggap ganjil dan asing semula. Namun berikanlah khabar gembira kepada ghuraba’ iaitu orang-orang yang asing ini”[Riwayat ibn Asaakir dan dinilaikan Sahih oleh al-Albani]
Baginda ditanya, “siapakah orang-orang yang asing itu?”Baginda menjawab, “iaitulah mereka yang berusaha memperbaiki manusia ketika golongan ramai sudah menjadi rosak”[Riwayat Abu Amr al-Dani daripada hadith Ibn Mas’oud. Dinilaikan sahih oleh al-Albani]
Di dalam suatu riwayat yang lain, baginda menjawab, “iaitu mereka yang menghidupkan Sunnahku yang telah dimatikan oleh manusia”
Juga dalam satu riwayat yang lain, baginda menjawab, “mereka adalah kumpulan kecil di kalangan kelompok ramai yang rosak. Golongan yang menentang kumpulan kecil ini, lebih ramai daripada yang mengikutnya”
Pernahkah anda berasa sunyi dan terasing kerana memilih untuk berpegang dengan Islam?
Ketika riba dan rasuah sudah menjadi amalan kebiasaan di dalam urusan perniagaan, proses mendapatkan tender atau kontrak, anda yang memilih untuk tidak menerima semua itu kerana yakin dengan kebenaran ajaran Allah, berasa terasing, dipulaukan, disinis dan disindir. Pernahkah anda berasa seperti itu?
Ketika kawan-kawan memilih untuk terus memukul bola golf biar pun mentari sudah sirna menuju malam, anda yang memilih untuk bersolat tercicir daripada permainan, lalu ditertawakan oleh teman yang ramai, pernahkah anda mengalami pengalaman seperti itu?
Semasa ramai orang berasa malu untuk diketahui tidak pernah melakukan seks dengan sesiapa biar pun usia sudah mencecah belia, anda memilih untuk terus mempertahankan diri daripada zina kerana yakin dengan kebaikan menjauhinya dan besarnya kebinasaan menjamah dosa itu, pernahkah anda berasa tertekan dengan pilihan yang tidak popular itu?Ketika orang ramai selesa dengan makan apa sahaja ada di depan mata, tanpa perlu diambil kira halal haramnya, anda memilih untuk bersusah payah mencari yang halal di celah syubhat dan haram yang berleluasa, lalu anda dianggap berlebih-lebihan dan ekstrim kerana pilihan itu, pernahkah anda berasa jauh dan terasing dengan cara hidup yang sedemikian rupa?Tatkala orang semakin menerima cara hidup yang membelakangkan agama, mendedahkan aurat, bergelumang dengan maksiat, sebagai aras tanda mengukur kemodenan diri, tiba-tiba anda yang membungkus tubuh dengan pakaian yang menyembunyikan anggota yang bersangkutan dengan harga diri, pernahkah anda dicemuh kerana memilih untuk tidak berfesyen seperti manusia yang ramai hari ini?
Jika anda pernah berasa asing, ganjil, pelik, ditertawa, disinis, disindir, atau diperlekeh kerana mempertahankan kehidupan yang berprinsip seperti itu, terimalah khabar gembira yang disampaikan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Tooba lil Ghurabaa’!
Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:“Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. [Al-An’aam 6: 116]
Allah Subhanahu wa Ta’aala juga menyebut:”Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman)” [Yusuf 12: 103]
Allah ‘Azza wa Jalla berpesan lagi:“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik” [Al-Maa’idah 5: 49]
Allah Subhanahu wa Ta’aala memberikan peringatan di dalam al-Quran:“Akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur” [Yusuf 12: 38]
Bersabarlah jika anda dipandang asing. Andai pandangan sedemikian berpunca daripada anda memilih Islam di zaman yang penuh cabaran ini.
Keganjilan yang pertama, adalah keganjilan kerana memilih kebenaran.Keganjilan ini tidak menjadikan kaum minoriti yang memilih Islam menderita, sedih lagi berdukacita. Sama ada di dunia, mahu pun di Akhirat. Mereka sentiasa sedar yang mereka tidak bersendirian, kerana Allah sentiasa menemani mereka dalam kehidupan.Di Padang Mahsyar, ketika orang ramai dihimpunkan mengikut apakah agama dan cara hidup mereka semasa di dunia, sekelompok ini ditanya, “apakah kamu tidak pergi menyertai manusia yang ramai itu?” Mereka menjawab, “Semasa di dunia lagi, kami sudah pun tidak menyertai mereka biar pun semasa itu kami memerlukan mereka berbanding hari ini. Kami akan terus menunggu keselamatan dari Allah yang kami abdikan diri kepada-Nya selama ini”[Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Namun,Syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia mengheret manusia untuk meninggalkan kebaikan yang menjadi pegangan generasi yang lalu, dan Islam kembali menjadi asing.Oleh kerana itu, janganlah kecundang dengan rasa rendah diri dan terasing kerana memilih Islam.Ia adalah pusingan kehidupan yang sudah pun diberitakan.
Suatu ketika, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ditanya tentang maksud firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:“ Wahai orang-orang yang beriman! jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan” [Al-Maa’idah 5: 105]
Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda:Bahkan sesungguhnya serulah manusia kepada kebaikan dan cegahlah dari kemungkaran. Kamu nanti akan melihat satu keadaan di mana kebatilan akan dituruti, hawa nafsu akan jadi ikutan dan dunia ini akan lebih diutamakan. Setiap orang akan tenggelam dalam pandangan masing-masing. Peliharalah diri kamu dan janganlah dituruti orang ramai. Sesungguhnya selepas zaman kamu ini, akan datang hari-hari yang menuntut kesabaran, dan kesabaran itu akan menjadi seperti perbuatan menggenggam bara api di dalam tangan. Sesiapa yang terus bertahan dengan keadaan itu akan mendapat ganjaran seperti 50 orang yang berbuat perkara yang sama”Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, ganjaran 50 orang seperti mereka?”Baginda menjawab, “Ganjaran 50 orang seperti kamu”[Hadith riwayat al-Tirmidhi dan Abu Daud dengan sanad yang lemah tetapi diperkukuhkan oleh riwayat yang lain]
Ya, bagi kita yang bersabar dengan tekanan dipandang asing kerana mempertahankan Islam, ganjarannya ialah seperti ganjaran 50 orang sahabat. Sebabnya jelas, pengalaman yang sama turut dirasai oleh sahabat di awal permulaan Islam.Islam asing di zaman permulaannya.Islam kembali asing di zaman kemudiannya.Teruskanlah mujahadah anda untuk mengusahakan perubahan.
MIMPI BERTEMU RASULALLAH S.A.W
Pada asasnya, memang benar, terdapat hadith sohih yang menyebutkan :- وَمَنْ رَآنِي في الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فإن الشَّيْطَانَ لَا يَتَمَثَّلُ في صُورَتِي
Ertinya : Barangsiapa yang telah melihatku di dalam tidurnya ( mimpi) , maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana Syaitan tidak (mampu) menyerupai gambaranku" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/52 ; Muslim, no 2266, 4/1775 )
Dalam hadith yang lain pula disebutkan :- من رَآنِي في الْمَنَامِ فَقَدْ رَآنِي فإن الشَّيْطَانَ لَا يَتَخَيَّلُ بِي وَرُؤْيَا الْمُؤْمِنِ جُزْءٌ من سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا من النُّبُوَّةِ Ertinya : "Barangsiapa yang telah melihatku di dalam tidurnya ( mimpi), maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana Syaitan tidak (mampu) menyerupaiku, dan mimpi seorang mukmin adalah satu juzuk dari 46 juzuk dari kenabian" ( Riwayat Al-Bukhari, 6/2568 )
Dalam mentafsirkan hadith ini, para ulama telah terbahagi kepada tiga kelompok. Apabila di utarakan tiga pendapat ini, inshaAllah jawapan kepada soalan anda akan terjawab.
Kumpulan pertama : Antara yang tergolong dalam kumpulan ini adalah pakar tafsir mimpi Muhammad Ibn Sirin, Al-Qadhi Iyadh dan lain-lain, Mereka berpendapat bahawa hadith di atas terikat dengan samanya wajah dan bentuk Rasulullah yang dilihat dalam mimpi dengan apa yang diriwayatkan atau yang dilihat semasa hayat (bagi sahabat nabi). Jika ia sama sifatnya, dan perwatakkannya, di ketika itu ia adalah wajah benar-benar Nabi SAW, jika bercanggah, maka ia bukanlah Nabi SAW. Ini bermakna, hadith di atas tidak ‘mutlaq' kepada semua bentuk wajah yang dilihatnya. Ia hanya benar-benar wajah Nabi jika sifatnya sama dengan apa yang diriwayatkan. Bagi para sahabat Nabi, apa yang dilihat mestilah sama dengan wajah Nabi yang diketahui mereka. Dalil yang diutarakan oleh kumpulan ini adalah hadith lain yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dan disebut oleh Ibn Hajar Al-Asqolani iaitu seorang lelaki telah bermimpi bertemu Rasulullah SAW, lalu ia menceritakannya kepada Ibn ‘Abbas r.a, Maka Ibn Abbas bertanya : "Sifatkan apa yang kamu lihat" Maka, ia berkata : "Aku menyebut hasan Bin Ali, lalu aku menyerupakan dengannya" . Ibn Hajar berkata sanad hadith ini adalah baik. (Fath al-Bari) Jika di ambil pendapat kumpulan ini, mimpi yang sebagaimana anda tanya tadi adalah mimpi yang tidak benar kerana tubuh baginda SAW tidak gemuk dan tidak mungkin ia melakukan perkara ‘aib dan tidak bersopan. Ia juga bukan Nabi SAW kerana mustahil Nabi akan menyuruh sesuatu yang bercanggah dengan tuntutan Al-Quran.
Kumpulan Kedua : Antara ulama kumpulan ini adalah Imam An-Nawawi, Al-Mazari dan lain-lain. Kumpulan ulama ini berpendapat hadith di atas umum bagi semua orang samada yang pernah melihat Nabi semasa hidup (seperti sahabat) atau yang tidak pernah (seperti kita semua). Semua jenis mimpi Rasulullah SAW adalah benar sebagaimana maksud hadith tadi. Hasil dari pendapat ini, apa saja yang dilhat dalam mimpi dan mendapat ilham atau apa jua perasaan bahawa ia adalah Nabi SAW, maka benarlah mimpi itu dan itulah Nabi SAW. Imam Ibn Hajar ketika mengulas pendapat Imam Nawawi ini berkata perlu diingat bahawa Muhammad Ibn Sirin adalah Imam dalam bab ta'bir mimpi manakala pandangan Al-Qadhi ‘Iyadh pula adalah sederhana dan baik. Berdasarkan kepada pendapat ulama kumpulan ini, mungkin benarlah anda telah melihat Nabi SAW di dalam mimpi itu.
Kumpulan ketiga : Antara ulama dari kumpulan ini adalah Ibn Juzay dan Syeikh Mustafa Az-Zarqa, ( Al-‘Aql wal Fiqh Fi Fahmi Al-Hadith An-Nabawi, hlm 25 ) Syeikh Mustafa Az-Zarqa berkata setelah beliau membuat analisa seluruh pandangan ulama, ia mengatakan memang secara zahirnya kelihatan hadith di atas seolah-olah menjamin semua wajah Nabi (sebagaimana ilham seseorang) yang dilihat dalam mimpi itu adalah wajah Nabi yang sebenarnya tetapi setelah melakukan analisa tafsiran para ulama, jelaslah hadith tadi tidak memberi jaminan untuk semua. Malah jaminan benarnya Nabi yang dilihat dalam mimpi itu adalah khas bagi para sahabat baginda SAW yang mengetahui dengan jelas rupa para Nabi. Adapun, bagi individu yang tidak pernah melihat Nabi semasa hayat, mereka tidak termasuk dalam jaminan hadith « syaitan tidak boleh meyerupaiku » Ini kerana kita tidak tahu wajah sebenarnya baginda SAW, maka mungkin sahaja Syaitan membentuk satu wajah yang tidak kita ketahui lalu mendatangkan perasaan atau (ilham kononnya) bahawa ia adalah Nabi. Syaitan memang tidak boleh menyerupai nabi SAW tapi dalam hal ini, ia hanya menyerupai sebuah wajah lain lalu mendakwa ia nabi, dan kita tidak mengetahuinya. Lebih merbahaya apabila gambaran itu memberi mesej dalam bentuk cakap atau tindakan yang tidak sesuai dengan watak sebenar baginda SAW. Syeikh Mustafa Az-Zarqa juga menegaskan, jika seseorang merasakan ia mimpi Nabi di zaman ini, maka ia tiada jaminan apa yang dilihatnya adalah Nabi SAW, ia terbuka untuk benar atau salah. Oleh kerana itu, mimpi orang di zaman ini adalah sebuah mimpi biasa yang terbuka kepada permainan jahat Syaitan, monolog dalamannya ataupun mimpi benar orang soleh yang dapat melihat wajah Nabi sebenar, tapi tidak termasuk dalam jaminan hadith tadi. ( Al-Aql wa al-Fiqh, hlm 27) Ini samalah macam mimpi buruk yang dialami seorang sahabat Nabi: يا رَسُولَ اللَّهِ رأيت في الْمَنَامِ كَأَنَّ رَأْسِي قُطِعَ قال فَضَحِكَ النبي وقال إذا لَعِبَ الشَّيْطَانُ بِأَحَدِكُمْ في مَنَامِهِ فلا يُحَدِّثْ بِهِ الناس
Ertinya : "Wahai Rasulullah aku telah nampak dalam mimpiku seolah-olah kepalaku dipenggal. Maka Nabi SAW tertawa mendengarnya lalu berkata : Apabila Syaitan mempermainkan seseorang darimu ( dengan mimpi-mimpi begini) dalam tidurmu, maka janganlah kamu menceritakannya kepada orang lain" ( Riwayat Al-Bukhari)
Nabi juga menyebut : الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ من اللَّهِ وَالْحُلْمُ من الشَّيْطَانِ فَمَنْ رَأَى شيئا يَكْرَهُهُ فَلْيَنْفِثْ عن شِمَالِهِ ثَلَاثًا وَلْيَتَعَوَّذْ من الشَّيْطَانِ فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ
Ertinya : Mimpi yang baik ( dari orang soleh) adalah dari Allah SWT dan mimpi (buruk) adalah dari Syaitan, barangsiapa yang telah melihat sesuatu (mimpi) yang tidak disukainya, hendaklah ia meniup ke kirinya 3 kali dan beristi'azah (meminta perlindungan dari gangguan syaitan), kemudian mimpi itu tidak akan memudaratkannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 6/2568)
Kesimpulan Setelah melihat kepada tiga kumpulan ulama ini, saya kira pandangan ketiga adalah gabungan kedua-dua kumpulan di atas, huraiannya adalah paling dekat dengan hati, minda dan keyakinan saya. Wallahu ‘alam. Hadith jaminan benarnya nabi di dalam mimpi tadi juga tidak terpakai dalam hal mimpi yang anda sebutkan itu. Wallahu'alam. Perlu difahami, setiap orang mampu mendapat mimpi Nabi SAW tetapi dengan ia hanya benar jika bertepatan dengan sifat yang terdapat dalam hadith-hadith sahaja. Selain dari itu ia bukan nabi dan tiada percanggahan dengan hadith nabi tentang sesiapa yang melihatku dalam mimpi maka ia telah melihatku.
SAYANG NABI DI HATI BUKAN HANYA DI LIDAH
Firman Allah dalam ayat 107-108 surah al-Anbiya’ :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?”
Hari ini kita berada dalam bulan Rabiul Awwal yang mengingatkan kita tentang kelahiran manusia agung yang diberi nama Muhammad s.a.w. Lahirnya sebagai penutup segala nabi dan rasul kepada kita umat akhir zaman di mana pada diri baginda segala contoh dan ikutan terbaik bagi umat yang inginkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kita digalakkan untuk memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebagai tanda kasih dan cinta kepadanya
قال الرسول : أَوْلَى النَّاسِ بِيْ يَوْم َ القِيَامَةِ أَكْثَرُهُمْ عَلَيَّ صَلاَة ً – رواه الترمذي
Maksudnya: Sebaik-baik manusia disisiku pada hari Qiamat ialah mereka yang paling banyak mengucapkan selawat ke atasku
قال الرسول : مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحَطَّ عَنْهُ عَشْرَ سَيِّئَاتٍ وَرَفَعَهُ ِبهَا عَشْرَ دَرَجَاتٍ – رواه المنذري
Maksudnya: Sesiapa yang berselawat atasku sekali maka Allah akan membalasnya dengan sepuluh kebaikan, dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan dan diangkat dengannya sepuluh pangkat
Manusia yang paling bakhil di dunia dan dijauhkan daripada rahmat Allah ialah orang yang tidak berselawat ke atas nabi ketika disebut nama baginda yang mulia
قال الرسول : البَخِيْلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ ثُمَّ لَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ – رواه أحمد
Maksudnya: Orang yang paling bakhil ialah sesiapa yang disebut namaku disisinya kemudian dia tidak pernah mengucap selawat atasku
قال الرسول : ….قال : بُعْدًا لِمَنْ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، قُلْتُ : آمين..– رواه الحاكم
Maksudnya: ….Malaikat Jibril berdoa : Jauhlah daripada rahmat Allah bagi sesiapa yang disebut namamu (wahai nabi Muhammad) disisinya namun dia tidak berselawat ke atas engkau. Lalu jawabku : Amin
قال الرسول : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه
Maksudnya: Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia
Sambutan Maulidurrasul s.a.w yang disambut saban tahun bagi mempertingkatkan lagi rasa kasih dan cinta kepada nabi mulia disamping kesungguhan dalam melaksanakan segala system yang ditunjukkan oleh baginda demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jarak kita dengan kewafatan nabi Muhammad s.a.w menjangkau 1400 tahun yang merupakan suatu masa yang lama dan semestinya memberi kesan yang besar sekiranya tidak diambil suatu tindakan yang penuh hikmat dalam menghayati cara hidup dan perjuangan rasul mulia terutama kepada generasi muda. Sekiranya umat Islam mahu berjaya dan menjadi ikutan dunia maka kita wajib mengembalikan system yang telah dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan bukan ianya hanya tertulis di dalam kitab sahaja. Perkasakan kembali peranan ulama’ pewaris nabi yang bukan menjadi pak turut kepada pemimpin sebaliknya dijadikan pembimbing yang menegakkan kerja amar makruf nahi munkar dalam Negara. Titikberatkan pengajian agama di semua peringkat dengan menekankan semua ajaran yang di bawa nabi Muhammad s.a.w yang meliputi setiap aspek kehidupan agar berkuburnya fahaman sekulerisme yang memisahkan agama daripada urusan dunia. Perangi segala bentuk maksiat agar suasana negara yang penuh dengan jenayah dan kerosakan akhlak dapat dibendung. Jadikanlah sambutan Maulidurrasul tahun ini sebagai langkah ke arah kecemerlangan dalam setiap aspek kehidupan dengan memastikan segala ajaran nabi menjadi agenda penting untuk dilaksanakan satu demi satu bukan ianya hanya dijadikan acara tahunan sekadar melepas batuk ditangga sahaja.
Kesan negatif akibat tidak menghayati sistem Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w menyebabkan rasa kasih kepada nabi semakin kurang, pelaksanaan terhadap sistem Islam semakin ditentang malah keyakinan umat Islam terhadap ajaran nabi semakin hilang. Jika nabi Muhammad s.a.w lahir dalam suasana jahiliah akibat terlalu lama manusia pada zaman itu terpisah daripada nabi dan wahyu maka pada hari ini suasana yang dinamakan jahiliah moden kembali berlaku akibat umat tidak menghiraukan lagi wahyu al-Quran yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w. Manusia menjadikan akal dan nafsu serakah sebagai panduan hidup yang menyebabkan mereka menuju kepada kehancuran. Gejala buang dan bunuh bayi yang tidak berdosa yang kebanyakannya akibat perzinaan yang berleluasa. Kini timbul pula isu sebat apabila 3 wanita disebat oleh Mahkamah Syariah akibat zina. Ada umat Islam yang begitu celupar dalam mempertikaikan sebat cara Syariah yang jauh berbeza daripada kekejaman sebat sivil dengan alasan akal semata-mata sehingga melihat seolah-olah tiada hukum sebat dalam Islam termasuk kes zina. Semua masalah ini sebenarnya telah mempunyai jalan penyelesaian sekiranya kita mengambil sistem Islam sebagai ubat mujarrab dalam menyembuh penyakit masyarakat. Ingatlah kita bahawa hukuman terhadap kesalahan di dunia wajib dikenakan hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah supaya pesalah diampunkan dosanya serta tidak lagi diseksa diakhirat nanti. Sudah tiba masanya perundangan syariah diperkasakan bukan hanya bergerak di bawah tempurung sekulerisme yang sempit dan sesat.
Tunjukkanlah kepada dunia bagaimana hebatnya cara hidup dan sistem yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dengan kita melaksanakannya dalam kehidupan seharian. Jangan biarkan dunia bertanya di manakah hebatnya nabi Muhammad dan Islam yang dibawanya akibat umat Islam sendiri menunjukkan cara hidup yang bertentangan daripada apa yang diajar oleh nabi. Kita wajib menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai idola dan ikutan terbaik. Begitu juga dalam diri anak cucu kita supaya mereka tidak lagi mendewa artis, ahli sukan dan sebagainya barulah kita dapat hidup dalam suasana aman dan tenteram. Media massa terutama tv,radio, akhbar mestilah berubah ke arah membentuk masyarakat bukan terus berperanan dalam merosakkan mereka. Jangan berperanan sebagaimana yahudi dan Kristian yang sentiasa memerangi Islam dengan beberapa cara antaranya singkatan SPIDER iaitu Sex dengan menggalakkan hubungan bebas sehingga meluasnya penzinaan. Politic dengan menjadikan kuasa untuk mengaut keuntungan bukan sebagai suatu amanah. Ideology yang bertentangan dengan Islam disebarkan termasuk atas nama Islam seperti Islam Liberal. Drug dengan memastikan umat Islam dihancurkan dengan bahan memabukkan terutama dadah dan arak. Education dengan memastikan penjajahan terhadap sistem pendidikan lebih berkiblatkan barat dan kurangkan pengajian agama. Seterusnya Rock dengan menghanyutkan umat Islam dengan hiburan melalaikan sehingga jauh daripada petunjuk Allah. Oleh itu sempena sambutan Maulidurrasul maka ubahlah cara hidup ke arah mengikut jejak langkah nabi barulah kita berjaya di dunia dan akhirat
HARI VALENTINE (14 FEB) VS MAULIDUR RASUL(15 FEB)
Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 31-32 :
Maksudnya :Katakanlah wahai Muhammad : Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu, serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan ingatlah, Allah amat pengampun, lagi amat mengasihi. Katakanlah wahai Muhammad : Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya. Oleh itu jika kamu berpaling menderhaka, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orangyang kafir.
Melalui ayat tersebut, Allah menjelaskan bahawa setiap orang islam wajib mencintai Allah dan Rasulnya tanpa berbelah bagi kerana ianya membawa kekuatan iman dan akidah. Mengasihi Rasulullah membawa kepada mencintai Allah, apabila kita mengutamakan Allahdan Rasulnya lebih dari segala-galanya samada sesuai atau tidak dengan kehidupan kita akan menjadi insan yang benar-benar dan beriman.
Bagaimana cara kita mencintai Rasulullah s.a.w ? Caranya ialah dengan menghayati dan mengamalkan sunnahnya, samada perkataan, perbuatan, atau akhlak baginda Rasulullah s.a.w serta memperbanyakkan selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w . Jika ada yang cuba menghina dan mengeji sunnah Rasul,maka kitalah yang akan mempertahankan, bagaikan kita melindungi keluarga kita dari sebarang ancaman dan bahaya. Walaupun penghinaan itu datangnya dari kaum kerabat kita, ini bertepatan dengan sabda Nabi s.a.w :
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكًمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيهِ مِن مَّالِهِ وَوَلَدِهِ وّالنَّاسِ أَجْمَعِينَ{ رواية بخاري }
Maksudnya : Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dikasihi dari hartanya, anak pinaknya dan manusia seluruhnya.
Menyedari hakikat itulah musuh islam bertungkus lumus untuk menghancurkan sunnah Rasul. Mereka mengetahui jika umat islam berpegang teguh dengan sunnah Rasul maka matlamat musuh islam tidak akan tercapai, lalu mereka berusaha memasukkan budaya-budaya yang bukan datang daripada sunnah Rasul atau bukan dari ajaran islam itu sendiri akan menjadi ikutan masyarakat khususnya, remaja kita. Kononnya mengikut zaman, sehingga akhirnya, umat islam musnah dari budaya sunnah atau ajaran islam itu. Contohnya musuh islam berjaya memasukkan sejarah kristian dimana telah diraikan oleh setengah generasi islam diseluruh dunia dengan sokongan dari media massa, majalah seperti meraikan hari kekasih iaitu diambil daripada hari ( valentine day ) pada 14 Februari setiap tahun.
Kita sedia maklum, bahawa Rasulullah s.a.w merupakan insan yang bertanggungjawab menyebarkan islam kepada umat manusia setelah melalui pelbagai halangan dan rintangan, manakala ( Paderi St Valentino ) adalah merupakan seorang paderi utama dibawah pemerintahan ( Ratu Isabella ) dan merupakan orang yang terpenting menjatuhkan dan menzalimi umat islam di Kordoba, di Sepanyol pada zaman lampau dan diistiharkan tarikh tersebut sebagai cuti umum bagi rakyat dibawah pemerintahannya, bagi memperingati kekasih mereka St Valentino, yang berjaya menghala umat islam dari bumi Kordoba.
Apa yang pelik terutama dikalangan remaja islam lebih senang memperingati tarikh 14 Februari daripada memperingati hari 12 Rabiul Awal iaitu hari kelahiran nabi Muhammad s.a.w . Lihatlah betapa kuatnya pengaruh musuh-musuh islam dalam mempengaruhi remaja kita kerana setiap 14 Februari diingati sebagai hari kekasih dan merasakan rugi jika ianya dilupakan. Disambut dengan berbagai cara, bahkan mendapat liputan begitu meluas dari media, sedangkan ianya amat bertentangan dari ajaran islam. Sewajarnya pihak ibu bapa, guru-guru dan masyarakat islam sama-sama berusaha mempastikan agar perkara ini tidak berlaku dikalangan masyarakat islam khasnya remaja kita. Umat islam harus berhati-hati dalam setiap langkah dan beringat bahawa musuh-musuh islam berada dimana-mana sahaja dan mereka sentiasa berusaha menipu daya umat islam sedikit demi sedikit sehingga terjebak dan terperangkap.
Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Ahzab 21 :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِى رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللهَ وَالْيَومَ الأَخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا { 21 }
Maksudnya :Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang.
Sebaik-baik manusia adalah nabi Muhammad s.a.w oleh itu kita bertuah kerana menjadi umatnya. Antara keistimewaan kita umat Muhammad ialah Allah menghantar mereka sebagai golongan terakhir didunia tetapi menjadi golongan pertama dihisab pada hari akhirat dan golongan pertama memasuki syurga. Umat nabi Muhammad juga tidak diazab dengan azab yang dahsyat seperti yang berlaku kepada umat-umat terdahulu.Tiada siapa pun yang dapat menandingi akhlak nabi Muhammad s.a.w walau dari sudut apa sekalipun. Oleh yang demikian, sesiapa yang mencontohinya bukan sahaja diberi jaminan menikmati kehidupan yang bahagia didunia ini, tetapi turut dijamin mendapat kebahagiaan yang kekal abadi diakhirat. Sabda Rasulullah s.a.w :
وَمَنْ أَحْيَا سُنَّتِي فَقَدْ أََحَبَّنِي وَمَنْ أَحَبَّنِي كَانَ مَعِي فِى الْجَنَّةِ ( رواه الترميذي )
Maksudnya :Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia adalah mencintai aku dan siapa yang mencintaiku akan bersama disyurga.
Sebenarnya kita boleh mencontohi Rasulullah s.a.w dalam segala perkara. Akhlaknya yang mulia seperti jujur, amanah, bersopan-santun, menghormati sahabat, menyayangi keluarga, lemah lembut didalam pertuturan dan adil dalam membuat keputusan, patut sekali kita contohi sekiranya kita ingin dimuliakan.Sekiranya kita menjadi ketua maka kita boleh mencontohi kepimpinan Rasulullah s.a.w yang penuh dengan kebijaksanaan, keadilan dalam memimpin dan penuh rasa bertanggungjawab. Baginda juga terkenal seorang yang tawaduk dan merendah diri, kesanggupan baginda memberi selama kepada orang yang lebih tua dan kanak-kanak dan duduk bersama dengan orang-orang yang fakir dan miskin.
Sesungguhnya akhlak mulia yang dihiasi pada diri Rasulullah s.a.w menjadikannya insan istimewa dan sehingga dikagumi oleh sahabat-sahabat dan tidak kurang juga oleh musuh-musuhnya dan akhirnya memeluk islam kerana terpesona dengan kemuliaan akhlak Rasulullah. Oleh yang demikian wajarlah kita sebagai umat Muhammad tidak cukup sekadar pernyataan dibibir mulut tetapi hendaklah kita mencontohi Rasulullah s.a.w didalam segala perkara dalam melayari kehidupan didunia yang sementara ini supaya hidup kita selamat didunia dan diakhirat.
Maksudnya :Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri iaitu nabi Muhammad s.a.w yang menjadi sangat keberatan kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. ( SURAH AT-TAUBAH AYAT 128 )