Syeikh Dr
Khalid Hassan Al-Hindawi, pembantu khas Dr Yusuf al-Qardhawi, telah diamanahkan
Ketua Ikatan Ulama Islam Antarabangsa itu untuk memberitahu berita dan hal
sebenar yang berlaku di Syria. Beliau yang baru sahaja melawat Indonesia
diminta oleh Dr Yusuf al-Qardhawi untuk ke Malaysia.
Menurut
beliau, revolusi bermula di Hama, kemudian merebak ke bandar-bandar lain
seperti di Dar’aa, Hauran, Halab bahkan sehingga ia berlaku di 157 tempat di
Syria menentang pemerintahan kejam Basyar Al-Assad.Tambahnya, golongan zalim
tidak berhenti mengaburkan kebenaran, tapi mereka gagal, seperti kata Ali r.a.
"Pemerintah yang batil (zalim) itu hanya sementara tetapi pemerintah
yang benar kekal selamanya.”
Kata-kata Ali
r.a. bertepatan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala di dalam surah al-Israk
ayat 81:“Dan katakanlah: ”Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang
lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu
sememangnya satu perkara yang tetap lenyap."
Dr Khalid
melihat kerajaan Syria pimpinan Basyar Al-Assad dan orang yang sepertinya
sekarang berpolitik ala Firaun seperti mana yang dilakukan oleh pemerintah
Tunisia, Mesir, Yaman, dan Libya. Mereka mencuri harta-harta rakyat dan
memakannya dengan cara yang haram, memenjarakan rakyat sendiri, membunuh para
ulama, melakukan pembunuhan beramai-ramai, merogol dan mencabul kehormatan
wanita-wanita, menghalang perempuan beriman daripada memakai hijab serta
menindas orang yang lemah seperti orang tua dan kanak-kanak.
Dan mereka
ini tidak akan kekal seperti dalam surah ar-Ra’d ayat 17:“Adapun buih itu
maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang
berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan
misal-misal perbandingan.”
Beliau
menceritakan latar belakang sejarah Syria, yang merdeka daripada penjajahan
Perancis pada 1945, dan telah diperintah oleh anak bangsa Syria sendiri
sehingga zaman Hafez Al-Assad yang telah memerintah selama 32 tahun dan diikuti
oleh anaknya, Basyar Al-Assad yang kini memerintah selama 11 tahun.Syria telah
menjadi negara yang diperintah oleh diktator. Syeikh Khalid menceritakan
tentang konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari,
mengorbankan hampir 46,000 ribu penduduk Hama yang merupakan penganut Ahlus
Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Komposisi
rakyat Syria: 6% darinya adalah Syiah Alawiyah, 10% beragama Kristian dan 84%
Muslim ASWJ. Iran mempertahankan tindakan ganas rejim Hafez dan Basyar yang
membunuh rakyatnya sendiri, begitu juga Hizbullah di Lubnan yang menyokong
tindakan Hafez yang merupakan Syiah Alawiyah. Beliau seterusnya menyebut
sifat-sifat Syiah yang begitu membenci ASWJ, menghina Khulafa Ar-Rasyidin dan
isteri-isteri Rasulullah s.a.w. Sehingga hari ini Iran dan Hizbullah di Lubnan
yang berfahaman Syiah masih menyokong rejim Basyar di Syria.“Oleh yang
demikian, menjadi tanggungjawab kita untuk membela darah pemuda, pemudi dan
huffaz. Kita kena sokong revolusi di Syria, kena tunjukkan keberanian kita
menentang rejim zalim ini.“Mereka membenci ASWJ, dan Hizbullah di Lubnan juga
menyokong mereka. Jadi kita perlu menyokong saudara kita di Syria. Sekiranya
Hizbullah berani menyokong Basyar ini, kenapa kita tidak berani menyokong
golongan yang mempelopori revolusi ini?” tegasnya.
Fakta
kekejaman rejim Basyar terhadap revolusi di Syria sekarang menunjukkan kematian
8,500 orang penyokong revolusi, 39,000 orang cedera, sementara 19 doktor serta
40 orang pesakit sebuah hospital di Doma dibunuh dan 180,000 tahanan dalam
penjara diseksa yang mana 413 orang darinya mati dalam tahanan.Dalam tempoh
lapan bulan, telah berlaku revolusi siang dan malam, rakyat menghadapi senjata
berat dan kereta kebal hingga rumah dan masjid dirobohkankan, wanita dibawa ke
tempat yang tidak diketahui, malah ada wanita yang diperkosa di hadapan suami
mereka sambil diikat.
Menurut
Syeikh Khalid lagi, seorang remaja perempuan di Homs, bernama Zainab Al-Husni,
23 tahun, ditangkap dan ingin diperkosa tetapi beliau melawan. Akhirnya beliau
dipotong empat dan dihantar kepada keluarganya. Ratusan kanak-kanak turut
dibunuh hingga ada yang dipotong-potong.Beliau menegaskan, ”Apakah kita perlu
berdiam diri? Bagaimana kita harus bersabar di atas taghut yang kejam
ini!“Rejim Basyar juga telah memaksa kakitangan kerajaan untuk keluar
berdemonstrasi menyokong kerajaan untuk mengaburkan fakta dan memberitahu dunia
bahawa rakyat masih menyokong mereka. Kakitangan yang tidak menyokong kerajaan
akan hilang pekerjaan mereka.Katanya, pejuang yang terlibat dalam revolusi akan
bersiap, berwuduk dan mandi dengan wangian kerana mereka bersedia untuk mati
syahid. Beliau menganggarkan 95% rakyat Syria menentang rejim itu walaupun
mereka ditakut-takutkan dan diugut sekiranya turun menyertai revolusi.Jelasnya,
ada maklumat yang silap difahami oleh bukan negara Arab yang menyangka kononnya
rejim Basyar sedang menyerang Israel sedangkan mereka tidak pernah menyentuh
Israel, tetapi mereka membunuh rakyat mereka sendiri. Malah kapal terbang
Israel boleh berada di atas istana Presiden tanpa diambil sebarang tindakan.
“Selama 43
tahun Bukit Golan diduduki oleh Israel tetapi regim Hafez Al-Assad dan ayahnya
tidak pernah membunuh walau seorang pun Yahudi, tetapi mereka telah membunuh
ribuan penduduk Hama yang terletak hanya enam kilometer dari Bukit Golan.”“Maka
di mana buktinya bahawa rejim yang kejam ini menunjukkan permusuhan ke atas
Israel?” tanya beliau.Beliau seterusnya menegaskan bahawa terdapat perjanjian
rahsia antara Syria dan Israel. Basyar merupakan al-Assad (singa) kepada rakyat
mereka tetapi penakut dengan Israel.Kekejaman rejim Basyar terserlah sehingga
jika ada tentera rejim yang tidak mahu menembak ASWJ, mereka akan dipenjarakan
dan dibunuh. Keadaan ini menyebabkan lebih 30,000 tentera Syria berpaling tadah
meninggalkan rejim.Beliau seterusnya menyatakan fatwa Rabitah Ulama Syria oleh
Dr Ali As-Sobuni bahawa sekiranya tentera menyerang rumah penduduk, mereka
hendaklah melawan walau dengan sebilah pisau, dan mereka dihukumkan syahid
sekiranya terbunuh berdalilkan hadis berikut:“Barangsiapa terbunuh
mempertahankan hartanya, maka dia syahid; barangsiapa terbunuh mempertahankan
ahli keluarganya, maka dia syahid; atau mempertahankan agamanya, maka dia
syahid ”(HR Abu Daud, An-Nasaie dan Tirmizi, disahihkan oleh Al-Albani dan
Ahmad dengan sanad yang Sahih).
Sebanyak 18
negara Liga Arab telah bersetuju untuk mengenakan sekatan politik dan ekonomi
ke atas Syria sehingga rejim Syria menghentikan kekejaman ke atas rakyatnya.
Begitu juga, negara-negara Persidangan Negara-negara Islam (OIC) turut memulau
Syria.Revolusi di Syria bersangkut-paut dengan tiga sebab utama iaitu
penindasan rakyat lebih 40 tahun, kebangkitan rakyat di negara-negara Arab lain
dan kemuncaknya adalah insiden 20 remaja menconteng dinding dengan menulis
“RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN”. Remaja-remaja itu ditangkap, diseksa, dicabut
kuku, tangan dan kaki, hingga seorang daripadanya meninggal dunia.Apabila ibu
bapa kanak kanak itu datang untuk membebaskan anak-anak mereka dari penjara,
ketua polis penjara mengatakan kepada mereka:"Kamu balik sahajalah,
lupakan anak anak-anak itu dan anggaplah mereka telah tiada..., jika kamu
hendak anak-anak lagi berikan kami isteri-isteri kamu (agar kami rogol), hasil
daripada itulah anak-anak kamu.”Dari situlah bermulanya demonstrasi yang
semakin hari bertambah momentumnya dari hanya ratusan ribu hingga pada hari ini
3 juta demonstran telah mengadakan tunjuk perasaan di 157 bandar seluruh Syria
mendesak Basyar berundur.
Syeikh Khalid
turut menjelaskan tentang pendirian Dr Sa’id Ramadhan al-Buti dalam politik
Syria. Menurutnya, Dr Sa’id adalah antara lima orang ulama yang menyokong rejim
berbanding 95% ulama yang menentang. Beliau menyifatkan Dr Sa’id sebagai ulama
yang 'berilmu' tetapi kurang tajam dalam perspektif politik.“Tidak hairanlah
para pemuda di sana membakar buku-buku karangan beliau. Ramai lagi ulama lain
yang menulis buku sirah yang amilin. Jadikanlah ulama-ulama amilin sebagai
rujukan,” katanya.Akhirnya, beliau menyeru umat Islam membantu rakyat Syria,
menyeru peranan mufakkir, duat, asatizah untuk mengetengahkan dan sentiasa
prihatin tentang isu di Syria, menceritakan kepada masyarakat tentang kezaliman
dan apa yang berlaku di Syria.Beliau turut menyarankan kepada para wanita yang
solehah, untuk menceritakan kekejaman yang berlaku kepada saudara perempuan
mereka di Syria dan berdoa untuk mereka.“Hendaklah kamu berdoa untuk
saudara-saudara kamu di Syria dengan ikhlas, siang dan malam supaya Allah
membantu mereka dan membebaskan mereka daripada kezaliman pemerintah mereka.”