Thursday, May 20, 2010


HADIAH MALAM JUMAAT
Pada suatu malam bertepatan malam Jumaat Salih Al Mazi pergi ke masjid jamik untuk mengerjakan solat subuh. Kebiasaannya ia berangkat awal sebelum masuk waktu subuh dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih duduk sekejap sambil membaca apa-apa yang boleh mendatangkan pahala bagi ahli kubur memandangkan waktu subuh masih lama lagi. Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing.
Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual sesama mereka. Al Mazy ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul dengan ahli-ahli kubur yang lain. Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih.

Tidak berapa lama kemudian datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan saputangan. Seolah-olah seperti cahaya yang gemerlapan.Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam kuburnya. Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang sehingga tinggallah si pemuda yang kelihatan sedih itu seorang diri tidak mendapat apa-apa.Dengan perasaan yang sedih dan duka dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya.

Tapi sebelum dia masuk Al Mazy yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya. "Wahai hamba Allah ! Aku lihat engkau terlalu sedih mengapa?" tanya Salih Al Mazy. "Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa masuk oleh malaikat sebentar tadi?" tanya pemuda itu. "Ya aku melihatnya. Tapi apa benda di dalam talam-talam itu ?" tanya Al Mazy lagi. Si pemuda menerangkan bahwa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri dari pahala sedekah, bacaan ayat-ayat suci Al Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang setiap malam Jumaat atau pada hari Jumaat. Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar.

Katanya dia ada seorang ibu yang masih hidup di alam dunia bahkan telah berkahwin dengan suami baru. Akibatnya dia lupa untuk bersedsekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati si pemuda. Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari jumaat apabila melihat orang-orang lain menerima hadiah sedangkan dia seorang tidak menerimanya.

Al-Mazy sangat kasihan mendengarkan cerita si pemuda. lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya ia dapat menyampaikan keadaan anaknya. Si pemuda menerangkan sifat2 ibunya. Kemudian Al Maizy terjaga. Pada sebelah paginya Al Maizy terus pergi mencari alamat ibu pemuda tersebut. Setelah mencari kesana kemari beliaupun berjumpa ibu sip pemuda tersebut lantas menceritakan perihal mimpinya. Ibunya menangis mendengar keterangan Al maizy mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzah. Kemudian ia berkata :"wahai salih ! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku.Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya." Al Maizy turut sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerna tidak ingat untuk mendoakan anaknya selama ini.

"Kalau begitu saya mohon minta diri dahulu." kata Al maizy lalu bangun meninggalkan wanita tersebut. Tatkala dia cuba untuk melangkah si ibu menahannya agar jangan pulang dahulu. Dia masuk kedalam biliknya lalu keluar dengan membawa wang sebanyak seribu dirham. "Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku, cahaya mataku. Insya Allah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untukya selama aku masih hidup." Salih Al Maizy mengambil wang itu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak sesenpun dari seribu dirham itu yang tinggal. Dilakukannya semua itu sebagai memenuhi amanah yang diberi kepadanya oleh ibu pemuda tersebut.

Pada suatu malam Jumaat di belakang selepas itu, Al Maizy berangkat ke masjid jamik untuk solat jamaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan. Di situlah ia terlena sekejap dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing2. Si pemuda yang dulnya kelihatan sedih seorang diri kini keluar bersama-sama dengan memakai pakaian putih yang cantik serta mukanya kelihatan sangat gumbira. Pemuda tersebut mendekati Salih Al Maizy seraya berkata : "Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu. " "Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari jumaat." katanya lagi. "Eh, Engkau boleh mengetahui hari Jumaat ?" tanya Al Maizy."Ya, Tahu." "Apa tandanya ?" "Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata "Selamat selamat pada hari yang baik ini, yakni hari Jumaat." Salih Al Maizy terjaga dari tidurnya. Ia cuba mengingati mimpinya dan merasa gumbira kerana sipemuda telah mendapat rahmat dari Allah disebabkan sedekah dan doa dari ibunya.

Thursday, May 13, 2010


JUDI ADALAH HARAM

Di sisi para fuqaha, judi dikenali sebagai Al-Maisir dan Al-Qimar. Ia bermaksud permainan yang mengandung unsur taruhan dan orang yang menang dalam permainan itu berhak mendapat taruhan tersebut.Judi adalah haram dalam Islam. Ini berdasarkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah. Allah taala berfirman yang bermaksud

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”
(Al-Baqarah : 219)

“Hai orang-orang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi (Al-Maisir), (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib adalah rijs (najis, perbuatan keji) termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum khamar) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan solat, maka berhentilah kamu (dari mengerjakannya).” (Al-Maidah : 90 – 91)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud“Barangsiapa berkata kepada saudaranya marilah kita bermain judi, maka hendaklah dia bersedekah.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Berdasarkan dalil-dali di atas dapat disimpulkan bahawa Islam menjadikan judi sebagai satu kesalahan yang serius dan memandang hina apa jua bentuk judi. Ini dapat dilihat dari petunjuk-petunjuk berikut;

1. Judi disebut dan diharamkan bersama dengan perbuatan minum arak, berkorban untuk berhala (syirik) dan menenung nasib. Kesemua ini adalah dosa besar di dalam Islam.
2. Judi disifatkan sebagai najis untuk menggambarkan kekejiannya.
3. Kehinaan judi diperkuatkan dengan pernyataan bahawa ia adalah amalan syaitan.
4. Allah menggunakan perkataan ‘Jauhilah’ untuk menunjukkan pengharamannya. Perintah menjauhi judi lebih keras dari mengatakan bahawa ia adalah haram. Ertinya umat Islam bukan hanya dituntut untuk tidak berjudi tetapi juga tidak mendekatinya atau apa jua jalan kepadanya. Ini sama seperti larangan dari mendekati zina.
5. Allah sertakan dalam ayat pengharaman itu, akibat-akibat buruk dari berjudi.
6. Akibat buruk yang dinyatakan berkaitan dengan perkara yang dianggap penting dalam Islam iaitu menjaga kesatuan, persaudaraan dan mendirikan solat. Oleh kerana perkara ini adalah penting dalam Islam, maka apa jua yang boleh merosakkannya adalah suatu yang dipandang berat.
7. Dalam Al-Maidah : 90-91, Allah bukan hanya perintah agar menjauhi judi bahkan Ia memperkuatkan perintah tersebut dengan seruan agar meninggalkannya sebagai penegasan.
8. Siapa yang mengajak saudaranya berjudi sahaja, diperinthkan oleh Rasulullah s.a.w bersedekah sebagai kafarah terhadap dosanya apa lagi jika melakukannya.

Oleh itu, pengaharaman judi adalah sesuatu yang tsabit dengan dalil qat’ii sama seperti pengharaman ke atas babi. Ertinya dalam apa jua keadaan dan tempat, judi adalah haram sehingga hari Kiamat. Larangan terhadapnya tidak dapat ditafsirkan dengan pengertian lain.

Apa yang tidak tsabit secara qat’ii ialah bentuk-bentuk permainan yang dikategorikan sebagai judi. Dalam aspek ini sememangnya terdapat khilaf dikalangan ulama kerana permainan selalunya berkembang dari masa ke semasa dan berbeza-beza antara dahulu dan sekarang dan antara kalangan kaum.

Cukup Bagi Kita Al-Quran
Oleh kerana itu pendirian seorang muslim dalam persoalan judi ialah untuk menerima ketentuan Allah taala dengan yakin akan keburukan judi. Walau pun terdapat pelbagai hujah dan kajian saintifik yang dibuat oleh pelbagai pihak bagi menjustifikasikan judi samada untuk tujuan ekonomi, sosial dan lain-lain.

Babi tidak akan boleh menjadi halal walau pun para saintis dapat membuktikan faedah yang ada padanya. Begitulah juga judi.Seorang muslim wajib menolak judi dan membanterasnya walau pun ia tidak lihat atau belum lihat tanda-tanda negatif dari perbuatan judi.Keimanan kita terhadap Allah taala dan kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah cukup bagi menolak judi samada sikit atau banyak, untuk tujuan peribadi atau manfaat sosial.Walau pun begitu, ini tidak bermaksud untuk menghalang umat Islam dari membuat pelbagai kajian berkaitan judi secara objektif. Seperti kajian mengenai kesan judi terhadap masyarakat, individu dan psikologi penjudi.

Hari ini judi sudah menjadi satu amalan sosial yang biasa. Ia bahkan menjadi satu industri tersendiri yang memberi pekerjaan pada ratusan tenaga manusia, pendapatan bilion dolar bagi pemerintah dan syarikat judi, sumbangan bilion dolar juga kepada kerja kemasyarakatan. Begitu besar manfaat ini, sehingga ia mengaburi mata dan menggoncang keyakinan adakah benar judi itu hina dan tidak baik?

Dalam hal ini suka dipertegaskan bahawa Islam tidak menafikan kewujudan manfaat dari judi. Namun judi tetap diharamkan bukan kerana ia tidak ada faedah tetapi kerana mudarat yang timbul dari berjudi lebih besar dari faedah yang boleh diraih. Ini dengan jelas dinyatakan dalam Al-Baqarah : 219.

Ini tidak akan berubah walau pun pada hari ini ramai yang berjudi secara suka-suka atau kecil-kecilan dan judi yang diinstitusikan tidak pula mencetus permusuhan, pergaduhan dan ibadah kepada Allah taala.

Antara Permainan & Judi
Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut;
1. Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
2. Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
3. Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan.

Berdasarkan ini, para ulama berpendapat bahawa mana-mana permainan yang mana pemenangnya memperolehi manfaat yang disediakan oleh pihak ketiga, bukan dari pihak-pihak yang terlibat dalam permainan itu. Permainan seperti ini dinamakan sebagai pertandingan dan manfaat yang diperolehi dianggap sebagai hadiah.

Satu permainan juga tidak dianggap sebagai judi sekiranya manfaat yang diperolehi berasal dari satu pihak seperti sekiranya seorang berkata kepada temannya “Jika kamu boleh mengalahkan saya, saya akan memberimu hadiah. Akan tetapi jika kamu kalah, tiada kewajipan atas kamu terhadap saya.” Ini berdasarkan kepada sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang mana Rasulullah s.a.w diajak oleh seorang kafir Quraisy bernama Rukanah untuk bergusti dengan hadiah beberapa kambing, jika Rasulullah s.a.w menang. Rasulullah s.a.w menerima cabaran itu dan beliau menang dalam pertandingan
Penggunaan Wang Hasil Judi
Wang hasil judi haram dimanfaatkan oleh pemenang judi atau sesiapa yang menerima pemberian dari wang berkenaan. Apa yang boleh dilakukan ialah wang tersebut hendaklah dimasukkan ke dalam Baitul-Mal. Wang ini menjadi milik Baitul-Mal untuk digunakan bagi faedah umum kaum Muslimin.

Derma dari hasil yang sedemikian jika digunakan untuk membina masjid hukumnya adalah makruh dan amalannya itu tidak merupakan satu kebajikan kerana Rasulullah telah bersabda, yang bermaksud "Sesungguhnya Allah itu Suci, tidak menerima melainkan yang suci.”(Riwayat Muslim)Akan tetapi, ibadat seseorang serta fardu jemaahnya di dalam masjid itu adalah sah.

Kesimpulan
Islam adalah agama yang sejajar dengan fitrah manusia. Oleh itu, Islam mengharuskan hiburan dan pelbagai permainan. Mengikut prinsip hukum Islam, apa jua hiburan dan permainan adalah halal kecuali ada dalil yang menjadikannya haram.Atas dasar ini, pada hakikatnya terdapat pelbagai hiburan dan permainan yang manusia boleh menceburinya dibandingkan apa yang tidak dibenarkan. Oleh itu, adalah satu kesilapan untuk mentohmah Islam sebagai satu agama yang sempit dan jumud kerana sikap tegasnya terhadap judi.Islam melarang judi kerana ia menjadikan manusia menggantungkan harapannya kepada nasib, keuntungan yang tiba-tiba serta cita-cita kosong bukan kepada pekerjaan dan usaha melalui sebab musabab yang ditentukan oleh Allah taala.

Friday, May 7, 2010


SUJUD ANTARA TEMPAT MUSTAJAB DOA & TANDA DI HARI AKHIRAT

Sujud bermaksud meletakkan dahi di atas tempat sujud. Sujud adalah wajib di dalam solat. Tidak sah solat tanpa sujud. Sujud yang diwajibkan di dalam solat ialah dua kali pada setiap rakaat dengan diselangi oleh duduk. Dalil kewajipan sujud ini ialah sabda Nabi s.a.w. (tatkala mengajar seorang lelaki yang salah dalam melakukan solat); “….Kemudian hendaklah kamu sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud, kemudian kamu bangkitlah dari sujud sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan duduk, kemudian kamu sujud kembali sehingga kamu tomaninah (tetap dan tenang) dalam keadaan sujud…”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Apakah anggota-anggota yang terlibat semasa sujud?
Sabda Nabi s.a.w.; “Aku diperintahkan supaya sujud di atas tujuh tulang (yakni tujuh anggota) iaitu; dahi –baginda menunjukkan dengan tangannya ke atas hidungnya-, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua kaki…” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Ibnu ‘Abbas r.a.).

Ketika sujud, wajib ke semua tujuh anggota di atas diletakkan di atas lantai. Bagi dahi, memadai meletakkan sebahagian dahi sahaja di atas lantai. Bagi tangan yang dikira ialah tapak tangan dan bagi kaki pula ialah perut-perut anak jari kaki. Memadai dengan meletakkan sebahagian sahaja dari perut-perut anak jari kaki itu. Jika seseorang itu sujud di atas belakang tangan atau belakang anak-anak jari kakinya, tidak sah sujudnya.
Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa didalamnya.

Sabda Rasullullah:"Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."


Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.

"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah dunia dan akhirat.

Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah s.a.w biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud. Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud:"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat"

Mendengar itu para sahabat bertanya: "Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?"Jawab baginda: "Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"Sahabat Menjawab:"Bahkan !"Rasulullah menyambung: "Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' !!!"

KEISTIMEWAANNYA
Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:"Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud"

Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat