Asma' binti Abu
Bakar As-siddiq;
saudara kepada Aisyah Ummul Mukminin (isteri
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam); puteri kepada sahabat Rasulullah yang mulia,
Saidina Abu Bakar As-siddiq; isteri Zubair bin Awwam, pejuang dan tokoh
Islam yang mengutamakan redha Allah di dalam perjuangannya; Merupakan seorang
wanita muhajir yang mulia dan bonda kepada Abdullah bin Zubair, salah seorang
pejuang yang gugur mempertahankan agamanya; dan sesungguhnya kedudukannya ini
cukup untuk mengangkat darjat beliau ke tempat yang tinggi, mulia dan terpuji.Peribadinya
dirahmati Allah dengan keistimewaan yang sangat menonjol, setanding dengan para
Muslimin di ketika itu; cerdas, cerdik, lincah, pemurah dan berani.
Kedermawanan beliau dapat dilihat jelas melalui
ucapan anaknya," Aku belum pernah melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku
termasuk Aisyah Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang
diperolehinya sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya
kepada mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan
sedikit pun sehingga hari esok"
Kebijaksanaan Dzatun Nithaqain
:Kecemerlangan berfikir Asma Radhiallahu anha terpancar dari sikapnya yang penuh
prihatin dan perhitungan yang bijaksana. Peristiwa Hijrah Abu Bakar menyaksikan
pengorbanan seorang sahabat demi Islam, tidak meninggalkan sesen pun harta
untuk keluarganya melainkan dibelanjakan keseluruhannya untuk Allah dan
rasulNya. Ketika Abu Quhafah (ayah kepada Abu Bakar radhiallahu anhu) yang masih
musyrik menemui keluarganya, beliau berkata kepada Asma', "Demi
Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya, di samping akan
menyusahkanmu dengan pemergiannya!". Jawab wanita yang
mulia ini, "Tidak wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau
banyak meninggalkan wang buat kami" ujarnya sambil menghibur
dan menenangkan datuknya. Dikumpulkannya batu-batu kerikil yang kemudiannya
dimasukkan ke dalam lubang tempat kebiasaannya menyimpan wang. Kemudian
dibawakan datuknya yang buta itu ke tempat simpanan tersebut, lantas berkata,
"Lihatlah datukku! Beliau banyak meninggalkan
wang buat kami!". Perkataan tersebut ternyata berjaya
meyakinkan Abu Quhafah. Maksud perbuatan tersebut adalah untuk menyenangkan
hati datuknya, agar tidak bersusah hati memikirkan hal tersebut. Malah,
Asma' juga tidak menginginkan bantuan dari orang musyrik meskipun
datuknya sendiri. Inilah bukti yang menunjukkan besarnya perhatian beliau
terhadap dakwah dan kepentingan kaum Muslimin.
Diberi julukan sebagai 'dzatun nithaqain' oleh
Rasulullah yang membawa erti "wanita yang mempunyai dua talipinggang",
sebagai peringatan terhadap peristiwa Hijrah yang menyaksikan pengorbanan dan
keberanian Asma' yang tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan
bekalan makanan dan minuman buat Rasulullah dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di saat genting seperti itu. Beliau
mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat untuk
mengikat bekalan makanan dan minuman tersebut, sehingga kerana peristiwa itu
Rasulullah mendoakan beliau agar digantikan tali pinggang tersebut dengan yang
lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.
Tidak hanya itu pengorbanan Asma Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah
ini turut menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki
oleh seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan kecemerlangan berfikir
yang diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma' Radhiallahu anha bukan sekadar menjadi penghantar
makanan kepada dua orang sahabat yang berperanan penting bagi umat Islam, malah
beliau juga menyampaikan berita-berita penting tentang rencana-rencana pihak
musuh terhadap kaum Muslimin. Dengan kehamilannya ketika itu, Asma'
mengambil peranan yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja
nyawanya menjadi taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan ayahnya turut sama terancam.
Memikirkan kemarahan musuh Islam lantaran lolosnya Rasulullah dari kepungan,
kafir Quraisy pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari Rasulullah Sallallahu Alaihi
wa Sallam untuk
dibunuh kerana bencinya mereka terhadap dakwah Islam dan pejuang-pejuangnya.
Di saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu
meramal segala kemungkinan yang bakal berlaku, dan dengan kecerdikan dan penuh
perhitungan, beliau berjalan menuju Gua Tsur sambil menggembala
kambing-kambingnya berjalan di belakangnya. Taktik ini dilakukan untuk
mengaburi mata pihak musuh kerana jejaknya terhapus oleh jejak-jejak kambing
gembalaannya itu. Tindakan ini belum tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki
yang berani sekalipun, lantaran hal tersebut bakal mengundang bahaya,
kezaliman, dan kekejaman orang-orang kafir Quraisy.
Permasalahan ini tidak cukup sampai di situ.
Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari tempat persembunyian dan
berhasil berhijrah ke Madinah, Asma' Radhiallahu anha dan
keluarganya didatangi beberapa orang Quraisy, di antaranya Abu Jahal yang telah
bertindak kasar menampar pipi Asma’ Radhiallahu anha dengan
sekali tamparan yang mengakibatkan subangnya terlepas!. Asma' menjawab dengan
penuh diplomasi saat beliau ditanya tempat persembunyian Rasulullah dan ayahnya
dengan berkata," Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku berada sekarang!"Hijrah
Asma' Radhiallahu
anha dan
suaminya ke Madinah berlaku selang beberapa lama dari hijrah sebelumnya, di
mana pada ketika itu Asma' sedang sarat mengandungkan Abdullah bin Zubair dan
hanya menanti detik-detik kelahirannya. Perjalanan yang jauh dan berbahaya
ditempuhi jua sehinggalah angkatan para sahabat tiba di Quba'. Kelahiran anak
pasangan sahabat ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Dialah
bayi pertama yang dilahirkan di Madinah.
Sebaik-baik Ummu wa Rabbatul
Bait :Seorang muhajirah yang
agung, antara wanita yang awal memeluk Islam, sangat memuliakan suaminya
meskipun Zubair hanya seorang pemuda miskin yang tidak mampu menyediakan
pembantu buatnya. Hatta tidak mempunyai harta yang dapat melapangkan kehidupan
keluarganya, melainkan hanya seekor kuda yang dijaganya dengan baik. Beliaulah
isteri yang sentiasa sabar dan setia berkhidmat untuk suaminya, sanggup bekerja
keras merawat dan menumbuk sendiri biji kurma untuk makanan kuda suaminya di
saat Zubair sibuk menjalankan tugas-tugas yang diperintah Rasulullah
kepadanya.Di dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk.
Beliau adalah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam
melahirkan generasi utama yang berkualiti, generasi yang menjadikan kecintaan
kepada Allah dan RasulNya di atas segala-galanya, sama ada harta, isteri,
keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia. Beliau mencetak
keperibadian generasi yang siap berjuang membela bendera Islam dan kalimah La
ilaha illallah Muhammad Rasulullah. Keperibadian seperti ini
terpancar jelas di dalam diri puteranya, Abdullah bin Zubair. Hal ini dapat
kita teladani melalui kisah pertemuan terakhir di antara seorang ibu dan anak
yang saling menyayangi dan mencintai satu sama lain, semata-mata kerana
kecintaan keduanya kepada Allah Subhanahu wa Taala dan
RasulNya.
Abdullah
berkata:
|
Asma’ berkata
:
|
1- Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!
|
1-Wa'alaikum
salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa engkau datang ke sini
di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar yang dilontarkan Hajjaj
kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota Mekah?
|
2- Aku hendak
bermusyawarah dengan ibu.
|
2-Tentang
masalah apa?
|
3-Tenteraku
banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin kerana
mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka menginginkan
sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri berpaling
daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku. Sementara
utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan
dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia
mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu
wahai ibu?
|
3-Terserah
kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu?
Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada
kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang
telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau
menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku
yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan
menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!
|
4-Akan tetapi,
aku akan terbunuh hari ini ibu.
|
4-tu lebih
baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani
Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk
dipercayai!
|
5-Aku tidak
takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek
jenazahku dengan kejam!
|
5-Tidak ada yang
perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita mati. Kambing
yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya dikupas
orang!
|
6-Semoga Ibu
diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah ku dengar
dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah
dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh
dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan
segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani
segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan
dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!
|
6-Yang ibu
khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.
|
7-Percayalah
Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji.
Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak memperdulikan
orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan keredhaan
ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang putih
bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.
|
7-Alhamdulillah!
segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa yang
disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu
ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu
memelukmu..."
|
8-Jangan bosan
mendoakan aku Ibu!
|
|
Sebelum
matahari terbenam di petang itu, Abdullah bin Zubair syahid menemui Rabbnya.
Dia kembali kerana mengutamakan redha Allah dan redha ibunya yang beriman.
Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata kepada Asma' setelah Abdullah terbunuh
:"Bagaimanakah engkau lihat perbuatanku terhadap puteramu
?" Asma' menjawab :"Engkau telah merosak dunianya, namun dia telah
merosak akhiratmu." Asma' wafat di Mekkah dalam usia 100 tahun, sedang
giginya tetap utuh, tidak ada yang tanggal dan akalnya masih sempurna.
[Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat Ibnu Saad, Taarikh Thabari, Al-Ishaabah dan
Siirah Ibnu Hisyam]. Semoga Allah meredhai kedua hambaNya, Asma' dan
puteranya.
|