Friday, December 30, 2011

KISAH HABIBUNNAJJAR DALAM SURAH YAASIN
Mari sidang pembaca kita kenali siapakah dia Habibun Najjar yang telah diceritakan dalam surah Yasin.Allah Swt memberi satu contoh. cerita ini berlaku di zaman Nabi Isa Alaihissalam.Ada satu kampung namanya Antoqiah. rajanya bernama Antoqis. Penduduk kampung ini tidak mahu menurut agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa. mereka menyembah berhala, minum arak,berjudi.
oleh kerana Nabi Isa A.S mempunyai urusan lain, Allah menyuruh Nabi Isa A.S menghantar 2 orang Rasul untuk berdakwah di kampung itu.tapi mereka tidak percaya kepada Rasul-rasul itu.Lalu Allah suruh hantar seorang lagi, jadi 3. Seorang bernama Sodiq, seorang lagi Masduq, dan seorang lagi Syam'u. ketiga-tiga mereka telah dibekalkan oleh Nabi Isa denagan ilmu- boleh menyembuhkan orang sakit, dan boleh menghidupkan orang yang baru mati. ini anugerah Allah kepada Nabi Isa. A.S.

وَٱضۡرِبۡ لَهُم مَّثَلاً أَصۡحَـٰبَ ٱلۡقَرۡيَةِ إِذۡ جَآءَهَا ٱلۡمُرۡسَلُونَ
"berilah contoh kampung Antoqiah ini, ketika di datangi para Rasul."(Yaasin :13)

إِذۡ أَرۡسَلۡنَآ إِلَيۡہِمُ ٱثۡنَيۡنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزۡنَا بِثَالِثٍ۬ فَقَالُوٓاْ إِنَّآ إِلَيۡكُم مُّرۡسَلُونَ
"kami utuskan dua orang Rasul, mereka mendustakan,lalu Kami tambah jadi tiga, dan mereka berkata kami ini Rasulullah diutuskan kepada kamu." penduduk kampung Antoqiah tak percaya. mereka mendustakan. (Yaasin :14)

قَالُواْ مَآ أَنتُمۡ إِلَّا بَشَرٌ۬ مِّثۡلُنَا وَمَآ أَنزَلَ ٱلرَّحۡمَـٰنُ مِن شَىۡءٍ إِنۡ أَنتُمۡ إِلَّا تَكۡذِبُونَ
" Mereka berkata, kamu ini manusia serupa kami. Tuhan tak hantar apa-apa. Kamu bohong." (Yaasin :15)

قَالُواْ رَبُّنَا يَعۡلَمُ إِنَّآ إِلَيۡكُمۡ لَمُرۡسَلُونَ
" Mereka kata, Allah saja yang tahu, kami ini rasul kepada kamu." (Yaasin :16)

وَمَا عَلَيۡنَآ إِلَّا ٱلۡبَلَـٰغُ ٱلۡمُبِينُ
Kerja kami ini kami sampaikan dakwah kepada kamu, balaghul mubin kepada kamu, ajar kamu, tolong kamu, dan kami akan buat kerja kami. (Yaasin :17)

قَالُوٓاْ إِنَّا تَطَيَّرۡنَا بِكُمۡۖ لَٮِٕن لَّمۡ تَنتَهُواْ لَنَرۡجُمَنَّكُمۡ وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ۬
Mereka kata, kami akan rejam kamu. Kalau kamu tak berhenti, kami akan rejam kamu, akan siksa kamu, akan bunuh kamu. (Yaasin :18)

قَالُواْ طَـٰٓٮِٕرُكُم مَّعَكُمۡۚ أَٮِٕن ذُڪِّرۡتُمۚ بَلۡ أَنتُمۡ قَوۡمٌ۬ مُّسۡرِفُونَ
“ Mereka kata bukan kami yang bawa nahas, kamu yang bawa nahas untuk diri. Kamu melampaui batas.” (Yaasin :19)
Ada seorang hamba Allah, mujahidin, namanya Habibun Najjar, seorang tukang kayu, gajinya tiga dirham, ada penyakit kusta, tangan tak ada, miskin, tinggal jauh di kampong, di luar kota. Dia dengar cerita 3 rasul ini dia sedih, dia kata “ aku mesti tolong 3 rasul ini.” Dia tak ada inferiority complex. Dia tak kata pun demo demo, aku, aku. Tidak sama sekali.
Dia mujahidin kerana Allah, kerana aqidah, kerana La Ilaha illallah. Habibun Najjar ini bekerja gaji tiga dirham, dan dia bersedekah dua dirham, tinggal satu dirham saja untuk dia.

وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٌ۬ يَسۡعَىٰ قَالَ يَـٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ
“ datang dari hujung kota satu hamba Allah, berkata: wahai kaum Antoqiah, turutlah tiga rasul ini.” (Yaasin :20)

ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسۡـَٔلُكُمۡ أَجۡرً۬ا وَهُم مُّهۡتَدُونَ
“ turutlah tiga rasul ini yang membawa hidayah kepada kamu. Dia tidak mahu upah. Dia nak tolong kamu.” (Yaasin :21)

وَمَا لِىَ لَآ أَعۡبُدُ ٱلَّذِى فَطَرَنِى وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ
“Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan? (Yaasin :22)
Dia ajar kaum dia aqidah. Itu aqidah. Dia nak kata La Ilaha illallah.

ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِۦۤ ءَالِهَةً إِن يُرِدۡنِ ٱلرَّحۡمَـٰنُ بِضُرٍّ۬ لَّا تُغۡنِ عَنِّى شَفَـٰعَتُهُمۡ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يُنقِذُونِ
“Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku” (Yaasin :23)

إِنِّىٓ إِذً۬ا لَّفِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ
“Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.” (Yaasin :24)

Dan dia isytihar imannya di depan orang ramai:
إِنِّىٓ ءَامَنتُ بِرَبِّكُمۡ فَٱسۡمَعُونِ
“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku).” (Yaasin :25)
Macam ni kita berdiri di depan orang ramai, dan berkata: La Ilaha illallah. Itulah Habibun Najjar, di depan orang- orang kampungnya. Dia seorang lawan satu kampung. Fi sabilillah. Fi sabilillah La Ilaha illallah. Tak takut. Dan maklumlah orang kampung Antoqiah ini jahat, mereka nak bunuh tiga rasul itu tak jadi. Sebaliknya mereka nak bunuh Habibun Najjar.
Dan dibunuh pula dengan cara yang paling zalim. Ada yang ambil kayu tusuk di mulut dia, ada yang ambil kayu tusuk di pungggung dia, ada yang ambil kayu tusuk di telinga dia.
Dan ahli tafsir kata apa? Perut dia terbit ikut telinga, dan terbit ikut mulut. Tapi Allah cepat-cepat rahmatkan dia, cabut nyawanya, dan dia terus ke syurga. Yang seksa hanya tubuh, bukan nyawa. Nyawa dia tak rasa siksa sedikit pun.

قِيلَ ٱدۡخُلِ ٱلۡجَنَّةَۖ
Malaikat datang mengucapkan tahniah. Wahai Habibun Najjar. Silakan ke syurga! Dan bila dia masuk syurga: (Yaasin :26)
قَالَ يَـٰلَيۡتَ قَوۡمِى يَعۡلَمُونَ
Alangkah kalau kaum aku tahu! Ruginya kamu aku berbuat zalim macam ini. (Yaasin :26)
Tengok! Dia memberi nasihat kepada kaumnya- sebelum mati dan selepas mati. Tengok akhlaknya. Sampai Rasulullah kata apa? Rahmat Allah kepada Habibun Najjar. Dia menasihati kaumnya sebelum dia mati dan selepas dia mati. Bila masuk syurga, bila tengok buah-buahan di syurga, hurun a’in di syurga:
يَـٰلَيۡتَ قَوۡمِى يَعۡلَمُونَ
بِمَا غَفَرَ لِى رَبِّى وَجَعَلَنِى مِنَ ٱلۡمُكۡرَمِينَ
Tuhan ampuniku, Tuhan muliakanku. Alangkah kalau kaum aku tahu, mesti kaum aku dapat hidayah dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang di muliakan. (Yaasin :27)
Dia nasihat kepada kaumnya. Selepas mati pun, nasihat lagi. Itu Habibun Najjar, ahli syurga.
Apa yang berlaku kepada kaum dia, ashabul qaryah, kampung Antoqiah? Allah SWT berfirman:
وَمَآ أَنزَلۡنَا عَلَىٰ قَوۡمِهِۦ مِنۢ بَعۡدِهِۦ مِن جُندٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ
إِن كَانَتۡ إِلَّا صَيۡحَةً۬ وَٲحِدَةً۬ فَإِذَا هُمۡ خَـٰمِدُونَ
Dan kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (meninggal) suatu pasukan pun dari langit dan tidak layak kami menurunkannya. (Yaasin :28)
Tak payahlah Aku bawa tentera daripada langit untuk hancurkan kaum Habibun Najjar di kampung Antoqiah ini. Tak payah. Tak guna. Aku suruh Jibrail buat satu suara saja, cukup. In kaanat illaa soihatan wahidatan… jibrail buat satu suara- hancur. Tak ada kampung Antoqiah lagi. Hancur lebur, habis. Tak ada lagi atas peta.
Subhanallah. Jangan kita main dengan Tuhan, hadirin sekelian. Tuhan bayar tunai. Habibun NAjjar beroleh syurga. Mereka hancur. Tak ada langsung. Habis.
إِن كَانَتۡ إِلَّا صَيۡحَةً۬ وَٲحِدَةً۬ فَإِذَا هُمۡ خَـٰمِدُونَ
Tidak ada siksaan atas mereka melainkan satu teriakan suara sahaja,maka tiba-tiba mereka semuanya mati. (Yaasin :29)

Friday, December 23, 2011

KADAR NAJIS YANG DIMAAFKAN ULAMAK
Pendapat Al Imam As Syafie
Menurut pendapat Imam As Syafie pada dasarnya tidak ada najis yang dimaafkan kecuali najis yang tidak boleh dilihat oleh pandangan mata kasar dan kadarnya pula adalah amat sedikit. Kadar najis yang dimaafkan ini adalah kerana amat sukar untuk mengelakkan diri daripadanya.

Najis-najis yang dimaafkan tersebut adalah seperti,
1. Darah jerawat atau bintit-bintit hitam pada muka.
2. Darah bisul, kudis, nanah atau kurap.
3. Darah pijat, kutu babi atau kutu manusia tetapi tidak dimaafkan kutu yang terdapat pada anjing atau babi.
4. Tempat berbekam dan bekas hisapan darah tersebut.
5. Darah nyamuk, agas ataupun serangga-serangga yang darahnya tidak mengalir.
6. Darah istihadah.
7. Darah ajnabi iaitu darah yang terlah terpisah dari badan seseorang kemudian terkena pada kita tetapi jika kadarnya banyak maka ia tetap dikira najis. Darah anjing dan babi walaupun setitik tetap najis ini kerana hukumnya yang berat.
8. Air kencing yang tidak lawas.
9. Air bisa, kurap, kudis atau lain-lain air bisa yang berbau ataupun tidak berbau.
10. Najis lalat dan juga air kencing kelawar.
11. Terdapat kesan najis di bahagian tempat istinjak yang menggunakan batu walaupun bahagian istinjak itu masih lembab atau berpeluh asalkan ianya tidak mengalir atau berpindah ke tempat lain.
12. Bangkai ulat buah-buahan atau ulat cuka dan keju yang terhasil dari bahan-bahan tersebut selama ia tidak dikeluarkan dari dalamnya.
13. Alkohol yang digunakan di dalam ubat-ubatan serta wangi-wangian.
14. Asap dari najis yang dibakar.
15. Wap yang terhasil dari air najis dengan sebab api.
16. Sedikit bulu najis sama ada sehelai atau dua helai dan bukannya dari bulu anjing atau babi. Bagi bulu binatang yang ditunggangi adalah dimaafkan kerana sukar untuk mengekkannya.
17. Sedikit darah yang terdapat pada daging atau tulang.
18. Najis tikus yang terjatuh ke dalam kolah jika kadarnya yang sedikit serta tidak berubah sifat airnya.
19. Sedikit najis yang terdapat pada labu/puting susu yang terjatuh ke dalam bekas susu semasa melakukan perahan.
20. Air liur yang keluar dari usus seorang pesakit ketika ia sedang tidur.
21. Kesan cacahan (tatu)
22. Tahi ikan yang terdapat di dalam air selagi mana ianya tidak mengubah sifat air itu.
23. Tanah dan kotoran yang terkena kepada diri pengembala ataupun pemandu.
24. Tahi ataupun kencing binatang yang terkena biji-bijian ketika ia memijaknya. Ini merujuk kepada konteks di mana binatang seperti lembu ataupun kerbau digunakan untuk memecahkan biji padi ataupun jerami ataupun lainnya.
25. Kesan tahi binatang berkaki empat yang bercampur dengan tanah.
26. Najis yang terkena madu lebah. Apa yang dimaksudkan di sini ialah kebiasaannya sarang lebah diperbuat daripada tanah dan juga sedikit najis binatang sepeti tahi lembu. Maka madu itu boleh digunakan dan kenajisannya adalah dimaafkan.
27. Kenajisan mulut kanak-kanak ketika memberi susuannya ataupun ketika mengucupnya.

Friday, December 16, 2011

FATWA PELABURAN EMAS
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Y. Bhg. Prof. Dr. Ashraf Md. Hashim dan Y. Bhg. Ustaz Lokmanulhakim bin Hussain daripada Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA), Muzakarah bersetuju menerima dan memperakukan Parameter Pelaburan Emas seperti berikut:
Harga Belian (al-Thaman)
1. Harga belian (al-Thaman) hendaklah diketahui dengan jelas oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli.
Barang Belian (al-Muthman)
2. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang wujud, dan dimiliki sepenuhnya oleh pihak yang menjual ketika berlangsungnya kontrak jual beli. Oleh itu, jual beli suatu yang tidak wujud secara fizikalnya dan juga jual beli suatu yang tidak dimiliki oleh pihak yang menjualnya adalah tidak sah.
3. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang boleh diserahkan kepada pembeli atau wakilnya. Jika barang belian tidak dapat diserahkan kepada pembeli, ataupun penjual mensyaratkan tidak menyerahnya kepada pembeli, maka akad tersebut tidak sah.
4. Barang belian (al-Muthman) hendaklah suatu yang diketahui oleh kedua-dua pihak yang berakad ketika sesi jual beli. Ia boleh terlaksana melalui kaedah-kaedah di bawah:
i. Melihat sendiri barangan yang hendak dibeli ketika akad jual beli, atau sebelum akad jual beli dalam tempoh yang tidak menjejaskan sifat-sifatnya.
ii. Melihat sampel barangan yang hendak dijual beli. Ini biasanya berlaku semasa proses pemesanan sebelum akad dilaksanakan.
iii. Menentukan sifat-sifat dan kadar barang belian secara terperinci yang secara urufnya tidak menimbulkan pertikaian. Dalam konteks emas, penentuannya adalah dengan mengenalpasti tahap ketulenan emas samada mengikut standard lama berasaskan karat (seperti emas 24 karat), atau standard baru berasaskan peratusan (seperti emas 999). Penentuan sifat juga mestilah mencakupi bentuk emas, samada dalam bentuk syiling, wafer, jongkong dan sebagainya. Timbangan emas secara tepat juga adalah suatu yang disyaratkan dalam penentuan sifat emas.
Sighah
5. Sighah dalam jual beli adalah suatu yang menunjukkan kepada keredhaan kedua-dua pihak untuk memetrai kontrak jual beli. Ia boleh berlaku samada melalui pertuturan, atau suatu yang boleh mengambil hukum pertuturan seperti tulisan dan seumpamanya. Manakala jual beli secara Mu’ataah (serah-hulur) juga adalah dikira sebagai sighah yang muktabar oleh sebahagian fuqaha’.
6. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.
7. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
8. Di dalam sighah jual beli tidak boleh dimasukkan unsur penempohan. Contohnya, seseorang mengatakan, ” Saya menjual barangan ini kepada kamu dengan harga RM100 untuk selama tempoh setahun”.
9. Ijab dan qabul mestilah bersepadanan dan menepati antara satu sama lain dari sudut ciri-ciri dan kadarnya.
Syarat Khusus Jual Beli Emas Yang Bercirikan Item Ribawi
10. Oleh kerana emas dan wang adalah dua item ribawi yang mempunyai illah yang sama, maka syarat tambahan bagi transaksi pembelian atau penjualan emas mestilah memenuhi syarat berikut:
i. Berlaku taqabudh (penyerahan) antara kedua-dua item yang terlibat dalam transaksi sebelum kedua-dua pihak bertransaksi berpisah daripada majlis akad.
ii. Jual beli emas hendaklah dijalankan secara lani, dan tidak boleh berlaku sebarang penangguhan.
Syarat-syarat tersebut adalah khas bagi emas yang bercirikan item ribawi, seperti emas jongkong dan syiling emas. Syarat ini tidak termasuk barang perhiasan emas kerana ia telah terkeluar daripada illah ribawi.
Perincian taqabudh dan urusniaga lani adalah seperti berikut:
Syarat Pertama: Taqabudh
11. Taqabudh (penyerahan) hendaklah berlaku terhadap kedua-dua item jual beli iaitu harga dan juga barang belian (emas), dan ia hendaklah terlaksana sebelum kedua-dua pihak berpisah daripada majlis akad.
12. Penyerahan harga boleh dilakukan melalui kaedah-kaedah berikut:
a. Pembayaran secara tunai
b. Pembayaran secara cek yang diperakui (seperti banker’s cheque)
c. Pembayaran secara cek peribadi
d. Pembayaran secara kad debit
e. Pembayaran secara kad kredit
f. Pemindahan wang daripada akaun simpanan atau semasa.
Secara urufnya, kesemua bentuk bayaran di atas kecuali (c) adalah dianggap sebagai pembayaran tunai oleh penjual. Pembayaran melalui kad kredit masih lagi dianggap tunai kerana pihak penjual akan mendapatkan harga jualan secara penuh dari pihak yang mengeluarkan kad kredit tersebut. Hutang yang berlaku, jika ada, adalah di antara pemegang kad dengan pengeluar kad dan bukannya dengan penjual barangan.Status tunai ini masih lagi diterima secara urufnya oleh penjual walaupun pada hakikatnya pihak penjual akan menerima secara fizikal atau dimasukkan ke dalam akaunnya beberapa hari selepas transaksi berlaku.
13. Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:
a. Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
b. Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.
14. Majlis akad di dalam transaksi jual beli boleh berlaku dengan pertemuan secara fizikal, ataupun secara maknawi. Contoh majlis akad secara maknawi ialah ijab dan qabul melalui telefon, sistem pesanan ringkas (sms), emel, faksimili dan lain-lain. Tetapi disyaratkan dalam semua bentuk majlis akad tersebut, hendaklah berlaku taqabudh ketika majlis akad, contohnya melalui penyerahan secara wakalah.Perlu diberi perhatian bahawa majlis akad secara bertulis akan hanya bermula apabila ianya diterima oleh pihak yang berkontrak. Contohnya, pembeli menandatangani akad jual beli dan kemudian menghantarnya melalui pos kepada penjual. Selepas tiga hari, akad tersebut sampai ke tangan penjual. Maka majlis akad bermula pada waktu tersebut, jika pihak penjual bersetuju, maka akad tersebut perlu disempurnakan oleh penjual dengan menandatanganinya, dan barang belian hendaklah diserahkan kepada pembeli secara hakiki atau hukmi.
Syarat Kedua: Secara Lani
15. Transaksi jual beli emas hendaklah berlaku secara lani dan tidak boleh dimasuki sebarang unsur penangguhan, samada dalam penyerahan harga atau dalam penyerahan emas.
16. Penangguhan penyerahan harga yang tidak dibenarkan adalah meliputi pembelian secara hutang secara keseluruhannya atau pembelian secara bayaran ansuran.
17. Kelewatan penyerahan emas yang melebihi tempoh tiga hari selepas akad jual beli dimeterai adalah tidak dibenarkan sama sekali.
Manakala bagi kelewatan penyerahan emas dalam tempoh kurang daripada tiga hari, Muzakarah mengambil maklum bahawa terdapat perbezaan pandangan ulama di dalam hal ini. Namun Muzakarah lebih cenderung untuk mengambil pakai pendapat yang tidak membenarkan berlakunya kelewatan walaupun tempohnya kurang daripada tiga hari. Dengan kata lain, penyerahan emas mestilah di lakukan di dalam majlis akad tanpa ada penangguhan. Ini adalah kerana di dalam urusniaga emas, kelewatan tiga hari bukanlah suatu uruf, berbeza dengan isu tukaran matawang asing.
Di dalam pertukaran mata wang asing, tempoh T+2 diperlukan kerana ianya melalui proses tertentu yang melibatkan tempoh masa bekerja yang berbeza antara negara, perpindahan wang elektronik, clearing house dan lain-lain lagi. Proses-proses yang disebutkan ini tidak terdapat di dalam perniagaan jual beli emas fizikal. Maka adalah tidak tepat untuk membuat qiyas ke atas proses pertukaran matawang asing.
Namun secara praktikal, pihak penjual akan menyerahkan emas selepas amaun bayaran yang dibuat melalui cek dan sebagainya dikreditkan ke dalam akaunnya. Proses ini biasanya akan mengambil masa tiga hari bekerja. Di dalam menangani tempoh antara penyerahan cek dan penerimaan emas, maka pihak penjual dan pembeli bolehlah mengambil pakai aturan berikut:

Pihak pembeli akan hanya membuat pesanan (order) kepada penjual dengan dinyatakan jenis dan berat emas yang ingin dibelinya. Pesanan ini akan disertai dengan pengiriman wang ke akaun penjual. Pada tahap ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:
i. Pada peringkat ini, akad jual beli emas masih belum berlaku.
ii. Wang yang berada di dalam akaun penjual masih lagi bukan milik penjual tersebut. Ianya masih milik pembeli dan disimpan sebagai amanah oleh penjual. Di dalam hal ini, adalah lebih baik jika satu akaun khas yang bersifat amanah (trust account) dibuka oleh penjual.
iii. Emas masih lagi kekal menjadi milik penjual dan ia bertanggungjawab penuh ke atas emas milikannya itu.
iv. Di dalam peringkat ini, pembeli masih boleh membatalkan pesanan yang dibuat dan penjual hendaklah memulangkan wang kepada pembeli. Namun, jika berlaku kerugian sebenar disebabkan pembatalan tersebut, bolehlah dibuat syarat bahawa ia perlu ditanggung oleh pembeli. Contohnya, pembeli membuat pesanan 100gm emas 999 dengan harga RM20,000. Ketika ini, pihak penjual telah menyimpan emas tersebut dan tidak menjualkannya kepada pihak lain yang telah bersedia untuk membelinya. Selepas tiga hari, apabila penjual bersedia untuk membuat akad jual beli dan seterusnya menyerahkan emas tersebut kepada pembeli, pembeli membatalkan pesanannya. Pada hari tersebut harga emas telah jatuh kepada RM19,000. Dengan kata lain, penjual akan kerugian RM1,000 jika menjualnya kepada pihak lain. Di dalam hal ini, kerugian sebenar adalah sebanyak RM1000.
Apabila wang pesanan sudah diberi clearance oleh bank, maka akad jual beli perlu dilakukan. Wang di dalam trust account (jika ada) bolehlah dipindahkan ke akaun penjual dan emas hendaklah diserahkan kepada pembeli.
Akad Dan Unsur Sampingan
18. Penglibatan hibah dalam transaksi jual beli samada hibah dalam bentuk barangan ataupun wang tunai adalah dibenarkan jika mencukupi syarat-syarat hibah, dan tidak melibatkan unsur-unsur yang bercanggah dengan syarak. Perlu diberi perhatian bahawa hibah secara hakikatnya adalah akad sukarela dan ia bukanlah di dalam bentuk lazim. Dengan kata lain, jika janji hibah ini tidak ditunaikan oleh penjual, maka pembeli tidak boleh memaksanya memberi hibah tersebut.
19. Penglibatan wadiah dalam pelan pelaburan emas hendaklah menepati hukum hakam wadiah, yang antara lain ialah pegangan wadiah adalah berasaskan kepada Yad Amanah.
20. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya, termasuklah memberi pinjaman (qardh) kepada orang lain. Tetapi hendaklah memenuhi kriteria qardh yang dibenarkan syarak, yang antara lain tidak boleh membawa unsur faedah, tidak wujud unsur ”salaf wa bay” iaitu hutang yang diikat bersama dengan jual beli.
21. Seseorang yang membeli emas bebas mengendalikan (tasarruf) emasnya termasuk menjadikannya sebagai pajakan untuk wang secara hutang, selagi konsep al-Rahn yang digunakan adalah bertepatan dengan hukum syarak. Namun secara teorinya, perkara ini seharusnya tidak digalakkan kerana secara tidak langsung ia menggalakkan aktiviti berhutang di dalam keadaan yang tidak perlu.
22. Wa’d boleh dimasukkan dalam pelaburan emas, selagi mana ia adalah wa’d dari sebelah pihak dan bukannya muwa’adah dari kedua-dua belah pihak. Contoh aplikasi wa’d dalam konteks ini ialah membuat purchase order, iaitu pelanggan membuat perjanjian untuk membeli emas dengan harga tertentu. Perjanjian pembelian ini dinamakan ’kunci harga’. Sekiranya proses kunci harga adalah menyamai proses akad jual beli, ia tidak dibenarkan kerana akan berlaku penangguhan.
23. Transaksi jual beli hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan, dan kezaliman. Jika sekiranya terdapat unsur-unsur tersebut, transaksi jual beli adalah dikira tidak memenuhi kriteria syarak.
PERLEMBAGAAN @ PIAGAM MADINAH (bahagian 2)

Kandungan Piagam Madinah
Fasal 1 : Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang : Inilah kitab (Piagam Bertulis) dari Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang-orang yang beriman dan orang-orang yang memeluk Islam dari Quraisy dengan penduduk Yathrib dan orang-orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.
Fasal 2 : Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia-manusia lain.
Fasal 3 : Golongan Muhajirin dari Quraisy tetaplah di atas pegangan lama mereka : mereka saling tanggung-menanggung membayar dan menerima diyat (wang tebusan) di antara sesama mereka dalam mana mereka menebus sesiapa yang tertawan dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang beriman.
Fasal 4: Bani Auf (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka dalam mana mereka bersama-sama tanggung-menanggung membayar serta menerima wang tebusan seperti dulu; dan setiap taifah (golongan) tetaplah menebus sesiapa yang tertawan dari kalangan mereka sendiri dengan cara berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
Fasal 5 : Bani al-Harith (dari Yathrib – Madinah) bin al-Khazraj tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dulu, dan tia-tiap puak dari (Suku Khazraj) hendaklah membayar wang tebusandarah mereka sendiri dengan adil dan berkebajikan di kalangan orang-orang yang beriman.
Fasal 6 : Bani Saidah (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebusan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
Fasal 7 : Bani Jusyam (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
Fasal 8 : Banu al-Najjar (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
Fasal 9 : Bani Amru bin Auf tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
Fasal 10 : Bani al-Nabiet (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
Fasal 11 : Bani Aus (dari Yathrib) tetaplah di atas pegangan lama mereka bersama-sama bertanggungjawab membayar wang tebuan darah seperti dahulu dan tiap-tiap puak dari mereka hendaklah membayar wang tebusan darah untuk mereka sendiri dengan berkebajikan dan adil di kalangan orang-orang yang beriman.
Fasal 12 : Bahawa orang-orang yang beriman tidaklah boleh membiarkan sebarang masalah di antara mereka sendiri bahkan mestilah sama-sama bertanggungjawab memberi sumbangan, dengan berkebajikan untuk menbayar wang tebusan darah dengan adil.
Fasal 12-b : Hendaklah seseorang yang beriman itu tidak membuat apa-apa perjanjian dengan orang yang di bawah kawalan seseorang yang beriman yang lain dengan tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu.
Fasal 13 : Bahawa orang-orang beriman lagi bertaqwa hendaklah menentang sesiapa yang membuat kesalahan, melanggar kesusilaan, melakukan kezaliman atau dosa atau perseteruan atau kerosakan di kalangan orang-orang beriman, dan mereka hendaklah bersatu bersama-sama menentang orang tersebut walaupun jika orang itu anak kepada salah seorang dari mereka.
Fasal 14 : Tidak sayugianya seseorang mukmin itu membunuh seorang mukmin lain kerana seorang kafir, tidak sayugianya ia menolong mana-mana kafir terhadap seseorang mukmin.
Fasal 15 : Bahawa jaminan Allah itu adalah satu dan sama; ia melindungi nasib orang yang lemah dari perbuatan mereka; dan bahawa orang-orang Mukmin hendaklah salinh menjamin sesama sendiri terhadap (gangguan) orang lain.
Fasal 16 : Bahawa orang-orang Yahudi yang menyertai kita hendaklah mendapatkan pertolongan dan pimpinan dengan tidak menzalimi dan tidak boleh ada pakatan tidak baik terhadap mereka.
Fasal 17 : Bahawa perdamaian orang-orang mukmin itu adalah satu dan sama, oleh itu tidak boleh dibuat perjanjian dengan mana-mana orang mukmin tanpa diturut serta oleh mukmin yang lain dalam sesuatu perang pada jalan Allah, melainkan dengan dasar persamaan dan keadilan di kalangan mereka.
Fasal 18 : Bahawa setiap serangan kita hendaklah dikira sebagai serangan terhadap semua, oleh itu hendaklah disilihgantikan tenaga menentangnya.
Fasal 19 : Bahawa orang mukmin hendaklah saling membela sesama mereka atas setiap darah yang tumpah pada jalan Allah.
Fasal 20 : Bahawa orang-orang mukmin lagi bertaqwa hendaklah teguh di atas sebaik-baik petunjuk dan seteguh-teguhnya.
Fasal 20-b : Bahawa tidak boleh mana-mana orang musyrik melindungi harta orang-orang Quraisy dan tidak juga nyawa mereka dan tidak boleh menghalang orang mukmin (akan haknya)
Fasal 21 : Barangsiapa membunuh dengan sewenang-wenangnya akan seorang mukmin dengan tidak ada bukti yang cukup hendaklah dihukum bunuh balas kecuali dipersetuji oleh wali yang kena bunuh menerima ganti darah. Semua orang mukmin hendaklah bersatu suara mengutuk perbuatan itu, bahkan tidak harus bagi mereka menegakkan terhadapnya.
Fasal 22 : Bahawa tidak harus bagi mana-mana orang mukmin yang mengakui isi kandungan Piagam ini, dan percaya Allah dan Hari Kemudian, menolong mana-mana orang yang mencabul ataupun melindungi orang itu. Barangsiapa menolong orang itu maka keatasnya laknat Allah dan kemurkaanNya pada hari Kiamat kelak, dan tidak akan diterima darinya sebarang tebusan dan tidak juga sebarang taubat.
Fasal 23 : Berbalah walau bagaimanapun kamu dalam sesuatu perkara hendaklah merujukkan perkara itu kepada Allah dan Nabi Muhammad.
Fasal 24 : Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah turut serta membelanja sama-sama dengan orang-orang mukmin selama mana mereka itu berperang
Fasal 25 : Bahawa kaum Yahudi dari Bani Auf adalah satu ummah bersama orang-orang mukmin, mereka bebas dengan agama mereka sendiri (Yahudi) dan orang Islam dengan agama mereka (Islam), begitu juga orang-orang yang sekutu mereka dan begitu juga diri mereka sendiri, melainkan sesiapa yang zalim dan berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan dirinya dan keluarganya sendiri
Fasal 26 : Yahudi Bani al-Najjar (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
Fasal 27 : Yahudi Bani al-Harith (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
Fasal 28 : Yahudi Bani al-Saidah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
Fasal 29 : Yahudi Bani Jusyaim (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
Fasal 30 : Yahudi Bani al-Aus (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf.
Fasal 31 : Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan sama dengan Yahudi Bani Auf, kecuali orang-orang zalim dan orang yang berbuat dosa maka hal itu tidak akan menimpa melainkan diri dan keluarganya sendiri.
Fasal 32 : Bahawa suku Jafnah yang bertalian keturunan dengan Yahudi Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu (Bani Tha’alabah)
Fasal 33 : Bani Shutaibah (diperlakukan) sama dengan Yahudi Bani Auf, dan sikap yang baik hendaklah membendung segala kejahatan.
Fasal 34 : Bahawa orang-orang yang bersekutu dengan Yahudi Bani Tha’alabah (diperlakukan) sama dengan mereka itu.
Fasal 35 : Bahawa para pegawai kepada orang-orang Yahudi (diperlakukan) sama dengan orang-orang Yahudi itu sendiri.
Fasal 36 : Tiada seorang pun yang menyertai Piagam ini boleh menarik diri keluar dari pakatan mereka melainkan dengan persetujuan dari (Nabi) Muhammad.
Fasal 36-b : Tidak boleh disekat dari membuat kelukaan yang dilakukan oleh mana-mana orang ke atas dirinya, barang siapa membuat kejahatan maka balasannya adalah dirinya dan keluarganya kecuali orang yang dizalimi dan bahawa Allah akan melindungi orang yang menghormati piagam ini.
Fasal 37 : Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah menbiayai negara seperti mana orang-orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama0sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang-orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan terhadap perbuatan dosa.
Fasal 37-b : Mana-mana orang tidaklah boleh dianggap bersalah kerana kesalahan yang dilakukan oleh sekutunya; dan pertolongan hendaklah diberi kepada orang yang dizalimi.
Fasal 38 : Bahawa orang-orang Yahudi hendaklah memikul biayaan bersama-sama orang mukmin selama mana mereka berada dalam keadaan perang
Fasal 39 : Bahawa Kota Yathrib adalah terpelihara sempadannya tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana pihak yang menganggotai piagam ini
Fasal 40 : Bahawa jiran tetangga hendaklah diperlaku sebagai diri sendiri, tidak boleh dilakukan terhadapnya sebarang bahaya dan dosa.
Fasal 41 : Tidak boleh dihampiri sebarang kehormatan (wanita) melainkan dengan izin keluarganya sendiri.
Fasal 42 : Bahawa apa juga kemungkaran (bunuh) atau apa juga pertengkaran di antara sesama peserta piagam ini sekira-kira dikhuatiri membawa bencana maka hendaklah dirujukkan kepada hukum Allah dan kepada penyelesaian oleh Muhammad pesuruh Allah, Allah menyaksikan kebaikan isi kandungan piagam ini dan merestuinya
Fasal 43 : Bahawa tidaklah boleh diberi bantuan perlindungan kepada Quraisy (musuh), begitu juga tidak boleh diberi perlindungan kepada orang-orang yang membantunya.
Fasal 44 : Bahawa hendaklah bantu-membantu mempertahankan kota Yathrib daripada mana-mana pihak yang mencerobohnya.
Fasal 45 : Apabila mereka diajak untuk berdamai atau untuk masuk campur dalam satu-satu perdamaian maka hendaklah mereka bersedia berdamai atau masuk campur ke dalam perdamaian itu; dan bila mana mereka diajak berbuat demikian maka orang-orang mukmin hendaklah merestuinya kecuali terhadap orang-orang yang memerangi agama (Islam).
Fasal 46 : Bahawa orang-orang Yahudi Aus sendiri dan begitu juga orang-orang yang bersekutu dengan mereka hendaklah memikul kewajipan sama seperti mana pihak-pihak yang lain yang menganggotai ini demi kebaikan mereka semata-mata (perdamaian) dari anggota-anggota piagam ini. Dan mereka hendaklah berbuat kebajikan dengan tidak melakukan dosa kerana barang siapa yang berbuat sesuatu maka dialah yang menanggungnya sendiri. Dan Allah menyaksi akan kebenaran isi kandungan Piagam ini dan merestuinya.
Fasal 47 : Bahawa piagam ini tidak boleh dipakai bagi melindungi orang-orang zalim dan yang bersalah; dan bahawa –mulai dari saat ini barang siapa berpergiaan dari kota Madinah atau menetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertakwa dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah.
PERLEMBAGAAN @ PIAGAM MADINAH (bahagian 1)
Piagam Madinah telah digubal oleh Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia.Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal.
23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin.
24 fasal yang berbaki membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam iaitu Yahudi.
Selain Piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu Piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan-peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah negara (Daulah Islamiyah) yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa atau kaum.
Rasulullah s.a.w. dalam merangka piagam Madinah atau di kenali sebagai perlembagaan madani, beliau telah mengikut bimbingan wahyu dan berdasarkan norma-norma masyarakat Madinah ketika itu. Terdapat tiga langkah yang diambil oleh Rasulullah dalam membentuk piagam Madinah.
Langkah pertama :
Dilakukan oleh Rasulullah dengan mendirikan sebuah masjid sebagai tempat orang Islam beribadat dan tempat Rasulullah menyampaikan ajaran Islam serta tempat pentadbiran Rasulullah.
Langkah kedua :
Mengikat tali persaudaraan antara kaum Ansar dan Muhajirin, bagi mewujudkan persefahaman dan untuk membantu kaum Muhajirin memulakan hidup baru dengan pertolongan kaum Ansar.
Langkah ketiga :
Mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi supaya sama-sama mempertahankan Madinah dari ancaman luar.
Berdasarkan langkah-langkah tersebut maka lahirlah satu perjanjian yang dikenali sebagai piagam Madinah. Perkara utama yang terkandung dalam Piagam Madinah adalah:
-Nabi Muhammad s.a.w. adalah ketua negara untuk semua penduduk Madinah dan segala pertelingkaran hendaklah merujuk kepada baginda.
-Semua penduduk Madinah ditegah bermusuhan atau menanam hasad dengki sesama sendiri, sebaliknya mereka hendaklah bersatu dalam satu bangsa iaitu bangsa Madinah.
-Semua penduduk Madinah bebas mengamal adat istiadat upacara keagamaan masing-masing.
-Semua penduduk Madinah hendaklah bekerjasama dalam masalah ekonomi dan mempertahankan Kota Madinah dari serangan oleh musuh-musuh dari luar Madinah.
-Keselamatan orang Yahudi adalah terjamin selagi mereka taat kepada perjanjian yang tercatat dalam piagam tersebut.

Tujuan Piagam Madinah
1-Menghadapi masyarakat majmuk Madinah
2-Membentuk peraturan yang dipatuhi bersama semua penduduk.
3-Ingin menyatukan masyarakat pelbagai kaum
4-Mewujudkan perdamaian dan melenyapkan permusuhan
5-Mewujudkan keamanan di Madinah
6-Menentukan hak-hak dan kewajipan Nabi Muhammad dan penduduk setempat.
7-Memberikan garis panduan pemulihan kehidupan kaum Muhajirin
8-Membentuk Kesatuan Politik dalam mempertahankan Madinah
9-Merangka persefahaman dengan penduduk bukan Islam, terutama Yahudi.
10-Memberi peruntukan pampasan kepada kaum Muhajirin yang kehilangan harta benda dan keluarga di Mekah.

Prinsip Piagam Madinah
1-Al-Quran dan Sunnah adalah sumber hukum negara.
2-Kesatuan Ummah dan Kedaulatan Negara
3-Kebebasan bergerak dan tinggal di Madinah
4-Hak dan tanggungjawab dari segi ketahanan dan mempertahankan negara
5-Dasar hubungan baik dan saling bantu-membantu antara semua warganegara
6-Tanggungjawab individu dan negara pemerintah dalam menegakkan keadilan sosial.
7-Beberapa undang-undang keselamatan seperti hukuman Qisas dan sebagainya telah dicatatkan
8-Kebebasan beragama
9-Tanggungjawab negara terhadap orang bukan Islam
10-Kewajipan semua pihak terhadap perdamaian.