Friday, January 7, 2011

BULAN SAFAR DAN PERISTIWA YANG BERLAKU

Dari segi bahasanya Safar membawa erti kosong dan dari segi istilahnya bulan Safar membawa erti bulan di mana orang-orang arab di zaman Jahiliah keluar rumah untuk berperang setelah bebas dari bulan-bulan haram yang diharamkan berperang. Kebanyakan orang Arab jahiliah beranggapan terdapat kesialan pada bulan Safar ini. Ternyata pemikiran jahiliah ini masih diwarisi oleh segelintir kecil umat Islam zaman ini akibat lemahnya keimanan dalam jiwa dan kejahilan mereka terhadap ilmu tauhid.Mereka beranggapan bulan Safar adalah bulan di mana Allah menurunkan kemarahan dan hukuman ke atas dunia. Oleh itu banyak musibah dan bencana terjadi pada bulan Safar khususnya pada Rabu minggu terakhir.

Beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam pada bulan ini antara lain:

1. Perkahwinan Baginda S.A.W dengan Khadijah binti Khuwailid r.a, ianya berlaku sebelum Nabi saw dilantik menjadi Rasul.

2. Kebenaran berperang (2 Hijrah), peperangan pertama yang dihadiri oleh Rasulullah saw adalah 'Wudan' atau 'Abwak' bagi menentang kekufuran.

3. Persidangan Darul-Nadwah Persidangan Darul-Nadwah adalah persidangan yang dianjurkan oleh pihak Musyrikin Jahiliah yang terdiri dari berbagai-bagai kabilah di Mekah. Persidangan ini dianjurkan khas untuk menyekat, menekan dan melumpuhkan terus pengaruh dan dakwah Rasullullah saw. Persidangan ini dipengerusikan oleh Abu Jahal dan dihadiri juga oleh Iblis yang menyamar sebagai seorang tua dari Najad. Keputusan dari persidangan ini ialah Rasulullah saw dijatuhi hukum bunuh dan setiap kabilah hendaklah menghantar seorang wakil yang terdiri dari pemuda yang paling gagah untuk sama-sama membunuh Rasulullah saw.Oleh itu keluarga Rasullullah saw dari kabilah Bani Abdul Manaf tidak akan mampu untuk membalas dendam terhadap semua kabilah-kabilah yang terlibat dalam pakatan pembunuhan itu. Maka Allah ta'ala telah memerintahkan Rasullullah saw keluar berhijrah dari Mekah ke Madinah. Ada pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada waktu malam di akhir bulan Safar dan pendapat yang lebih masyhur mengatakan bahawa Rasulullah mula keluar dari rumahnya pada bulan Rabi'ul Awwal setelah 13 tahun berdakwah di Mekah.

4. Rasullullah Mula Sakit Satu lagi peristiwa penting yang berlaku di bulan Safar ini ialah pada akhir bulan ini setelah kembalinya Rasullullah dari mengerjakan Haji Wida' (haji terakhir Rasullullah saw) beliau mula ditimpa sakit. Beliau wafat pada 12 Rabi'ul Awwal tahun 11 Hijriah. Rasullullah mula merasai sakit yang berat sewaktu beliau di rumah isterinya Saidatina Maimunah r.a. Beliau telah memanggil kesemua isteri-isterinya yang lain untuk meminta izin agar beliau dibenarkan diam di rumah Saidatina Aisyah r.a dan beliau telah wafat di rumah Saidatina Aisyah r.a.

5. Tragedi Ar-Raji', berlaku pada tahun ketiga Hijriyah (pendapat lain, 4 Hijriyah). Seramai tujuh orang sahabat Baginda saw diutus untuk mengajar agama Islam kepada kaum 'Udal dan Al-Qarah, tetapi mereka telah mengkhianati perutusan tersebut dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan yang bernama Ar-Raji' di daerah 'Usfan (kawasan di antara Mekah dan Madinah).Di antara yang menyertai perutusan itu Khubaib bin 'Adiy, Marthad bin Abi Marthad Al Ghanawiy, 'Asim bin Thabit dan Zaid bin ad-Dathanah.Kesemua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin 'Adiy yang dibawa ke Mekah dan dibunuh di sana. Beliau merupakan orang yang pertama menunaikan dua raka'at sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.

6. Peperangan Bi'ru Ma'unah (4 Hijrah), di bawah pimpinan Al-Munzir bin 'Amr As Sa'idiy yang ditugaskan untuk berda'wah dan mengajar tentang agama Islam dan Al-Quran kepada Bani 'Amir disertai oleh 40 orang sahabat Baginda s.a.w.

7. Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ketujuh Hijriyah, disertai juga oleh 20 orang sahabat wanita di antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala di pihak Yahudi pula seramai 73 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulaannya merasakan bahawa mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, jumlah alat kelengkapan senjata dan bilangan mereka yang ramai.

8. Peperangan Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijriyah di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid.

9. Pelantikan 'Abd. Rahman Al Ghafiqiy sebagai Gabenor Andalusia pada tahun 113 Hijrah.

10. Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubiy pada 27 Safar 589 Hijrah.

11. Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijriyah. Khalifah 'Abbasiah, Al-Mu'tasim Billah, terbunuh beserta ahli keluarganya, orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu orang Islam. Beribu-ribu kitab Islam musnah.