Tuesday, May 24, 2011

SOLAT,ASAS TERPENTING DALAM MENDIDIK ANAK

LAPORAN mengenai lebih 51,000 pelajar tahun dua hingga enam di Terengganu yang tidak tahu bersolat, Sabtu lalu amat membimbangkan kita. Apatah lagi sebagai penduduk Malaysia yang mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi. Lebih menggusarkan ialah angka itu mungkin meningkat berkali ganda jika kajian yang sama dilakukan di negerinegeri lain. Di mana silapnya sehingga berlaku sedemikian. Malaysia sudah mengamalkan dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara sejak 1985 lagi. Secara logiknya, tidak patut timbul masalah tidak tahu solat dalam kalangan umat Islam di negara yang kita sayangi ini.

Dalam mencari penyelesaian kepada isu ini kita tidak dapat lari daripada membicarakan peri pentingnya ibu bapa memainkan peranan melahirkan generasi anak soleh dan solehah. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Setiap anak dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah (bersih/ISLAM), ibu bapanya yang mencorakkan sama ada menjadi yahudi, nasrani atau majusi.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Peraturan

-Hadis ini jelas meletakkan tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak mematuhi ajaran Islam terutamanya solat yang menjadi Rukun Islam kedua. Islam telah meletakkan peraturan yang cukup sempurna seperti dalam Rukun Islam. Contohnya, selepas mengucap dua kalimah syahadat, kita perlu menunaikan ibadat harian iaitu solat lima waktu sehari semalam.Ia diikuti dengan ibadat sebulan dalam setahun iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan, ibadat zakat yang ditunaikan setahun sekali dan akhirnya ibadat yang wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup iaitu menunaikan haji bagi mereka yang mampu.

-Solat ini pula disebut sebagai tiang agama sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w., Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkannya maka ia telah meninggalkan agama.” (riwayat Al-Baihaqi)

-Sebagai ibu bapa, kita seharusnya melatih anak-anak bersolat. Caranya, ialah kita sendiri perlu menunjukkan contoh kepada anak-anak dalam kehidupan seharian. Penegasan tentang kepentingan tanggungjawab ini amat jelas menerusi sabda Rasulullah s.a.w, Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang sejak umurnya 7 tahun dan apabila berumur 10 tahun, pukullah mereka jika mereka tidak sembahyang.” (riwayat at-Tirmidzi)

-Muslim yang tidak solat dikhuatiri cenderung melakukan maksiat kerana hati mereka tidak diisi dengan ayat-ayat Allah. Lantas tidak timbul rasa gerun dan takut tentang peringatan azab Allah ke atas mereka yang meninggalkan solat. Sebab itu, ada individu yang tidak berasa takut melakukan maksiat. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam firmannya, solat itu dapat mencegah kepada perbuatan keji dan mungkar. (Al-Ankabut: 45)

-Dengan kata lain, solat dapat mengatasi pelbagai masalah sosial yang berlaku dalam negara baik masalah keruntuhan akhlak dan moral dalam kalangan remaja sehinggalah masalah jenayah seperti bunuh, rompak dan sebagainya.Namun, jika generasi kanak-kanak tidak dilatih bersolat, adalah dibimbangi jiwa mereka yang ‘kosong’ itu akan dipenuhi oleh hasutan syaitan yang mengajak manusia melakukan kejahatan dan kemusnahan. Nauzubillah.

-Ibu bapa mesti menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak termasuklah dalam bab ibadat khusus seperti solat. Sepatutnya, kita sentiasa menseimbangkan pendidikan agama dan pendidikan akademik kerana kita mahu melahirkan anak yang cemerlang bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

-Ini penting kerana hubungan kita dengan anak-anak yang menjadi perhiasan dunia ini bukan tamat selepas kematian kita. Sebaliknya, anak-anak soleh dan solehah yang ditinggalkan itu mampu memberi bantuan kepada ibu bapa yang meninggal dunia. Ia melalui doa yang mereka pohon kepada Allah. Ini dinyatakan oleh Rasullullah s.a.w dalam sabdanya yang bermaksud, “Apabila matinya anak Adam itu terputuslah baginya segala amalan kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa dari anak yang soleh.” (Riwayat Muslim)

-Namun, jika anak tidak dididik, bagaimana kita boleh menaruh harapan mendapat bantuan atau pertolongan daripada mereka selepas kematian kita kelak. Berapa ramai anak-anak yang tidak dibekalkan dengan iman porak-peranda kerana berebutkan harta ibu bapa yang mati seperti yang kita saksikan dalam filem ‘Tiga Abdul’ arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

-Berapa ramai juga anak-anak lelaki yang hanya mampu duduk di tepi pintu menangisi kematian ibu atau bapa mereka kerana tidak tahu menunaikan solat jenazah yang amat mudah dilaksanakan. Sedangkan solat itu adalah antara kebajikan terakhir yang boleh dilakukan oleh anak sebagai tanda kasih kepada ibu bapa.Perkara-perkara begini seharusnya menimbulkan kesedaran kepada golongan ibu bapa agar memberi lebih perhatian dalam bab fardu ain. Jangan melepaskan tanggungjawab itu kepada guru-guru agama atau ustaz dan ustazah sahaja. Analoginya, adalah lebih mudah bagi anak-anak meniru perbuatan ibu bapa yang menunaikan solat di rumah.

Amalan

-Apa salahnya, sekali-sekala ditunai solat berjemaah di rumah bersama isteri dan anak-anak. Bagi yang telah mumaiyiz, bolehlah mereka dibawa ke surau atau masjid untuk melatih mereka sama-sama solat berjemaah. Semua ini penting kalau kita mahu melihat zuriat kita menjadi orang yang berguna di dunia dan akhirat. Seperkara yang tidak kurang penting ialah amalkan membaca al-Quran di rumah kerana amalan tersebut boleh membawa ketenangan dan rahmat kepada penghuninya.

-Di akhirat kelak, Allah telah menegaskan yang solat menjadi persoalan utama semasa kita dihisab sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w,, “Sesungguhnya perkara pertama yang dikira dari amalan hamba di hari kiamat ialah sembahyangnya, jika sembahyang itu sempurna maka beruntunglah dia, sekiranya ia rosak, maka kecewa dan rugilah ia, kalau kewajipannya yang perlu masih kurang Allah berfirman, “lihatlah adakah amalan-amalan sunat untuk menyempurnakan kekurangan tersebut”. Demikianlah seterusnya amalan yang lain.” (riwayat at-Tirmidzi).

-Dalam dunia globalisasi yang penuh pancaroba ini, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan pelbagai sistem pertahanan agar mampu menangkis sebarang cabaran yang mendatang. Konsep langit terbuka berikutan kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) membolehkan kita memperoleh maklumat menerusi internet di hujung jari. Itu belum termasuk dengan pelbagai saluran televisyen yang boleh ditonton melalui saluran berbayar.

Islam tidak menghalang kemajuan kerana semua perkembangan dan kemajuan teknologi boleh dimanfaatkan jika ia digunakan dengan betul tetapi alat untuk menentukan baik atau buruknya ialah iman. Iman itu pula bukan mudah diperolehi seperti lirik lagu kumpulan Raihan, ‘iman tak boleh dijual beli-iman tidak boleh diwarisi’. Sebaliknya ia memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan istiqamah sebelum individu itu boleh digelar Mukmin.

-Dr. Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Ciri-ciri Masyarakat Islam yang Kita Idamkan memetik kata-kata Imam Syahid Hassan al-Banna tentang kesan solat ke atas aspek sosial masyarakat.Katanya, kesan solat bukan hanya terbatas kepada individu sahaja sebaliknya ia adalah sistem yang lengkap meliputi pendidikan umat yang komprehensif. Solat dengan pergerakan jasmani serta waktunya yang teratur amat bermanfaat kepada tubuh badan. Dalam segi kerohanian, zikir-zikirnya, bacaan-bacaan serta doa-doanya amat baik untuk melatih jiwa serta melentur emosi.

-“Bacaan di dalam solat (al-Quran merupakan sistem pengetahuan yang tinggi lagi lengkap) menyajikan akal dan membukakan minda terhadap banyak hakikat ilmu dan pengetahuan. Lantas, wujudlah insan yang keluar dari solat tersebut sebagai insan yang tekun, sihat tubuh badannya, lembut perasaannya dan penuh akalnya,” kata Imam Syahid Hassan.

-Lagipun, pepatah Melayu ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jadi, kepada ibu bapa apa lagi yang mahu ditunggu. Sebaiknya, kita menggunakan masa yang ada sekarang untuk mendidik anak-anak kita beribadat agar mereka menjadi masyarakat yang cemerlang di masa hadapan.
ABDULLAH BIN UBAI BIN SALUL (TOKOH MUNAFIQ TAHUN 6H)
Marilah bersama kita merenung kembali satu peristiwa besar yang begitu menyayatkan hati, yang telah menimpa rumahtangga Rasulullah SAW. Ini ialah salah satu perancangan jenayah yang telah dilakukan oleh golongan munafiqin.Apabila golongan ini merasakan sudah tiada lagi jalan untuk menewaskan Islam dengan cara berhadapan, samada secara berperang atau lainnya, lalu mereka mula menukar strategi perjuangan mereka.Ini selepas Islam mendapat kemenangan yang besar -dengan pertolongan Allah- dalam peperangan Badar pada tahun 2H dan pukulan yang sengit juga menimpa mereka dengan tewasnya tentera Ahzab (Khandak) pada tahun 5H. Walaupun tentera mereka begitu ramai dan disertai oleh golongan Yahudi, Quraisy, Arab Badwi dan lain-lain, sehingga dengan kemenangan ini, Rasulullah SAW telah bersabda:Maksudnya: “Sekarang kita akan keluar menyerang mereka, sebaliknya mereka tidak akan datang lagi untuk menyerang kita (Madinah)”. [Sahih Al-Bukhari No. 4110].
- Golongan munafiqin memainkan peranan untuk memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Mereka cuba mengadakan huru hara dalam masyarakat yang aman damai dengan pelbagai helah dan tipu muslihat. Ini agar umat Islam sentiasa berada dalam keadaan gelisah dan keluh kesah sehingga mereka tidak dapat menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada islah mujtama’, membaikpulih kerosakan yang berlaku dalam masyarakat dan menyebarkan dakwah Islamiah.
- Kejadian yang amat memedihkan ini berlaku sekembalinya Rasulullah SAW dari serangan yang dilakukan terhadap Bani Al-Mustaliq (المصطلق).Pada bulan Sya’ban tahun 06H, bani al-Mustaliq telah mengadakan satu komplot untuk menyerang Rasulullah SAW. Setelah berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda keluar bersama tentera Islam. Turut keluar bersama tentera muslimin ini ramai golongan munafiqin, ini kerana mereka tahu Islam akan mendapat kemenangan. Mereka keluar bukan untuk berperang, tetapi untuk mendapat habuan perang (ghanimah).
- Tentera Islam dan Bani Al-Mustaliq bertemu di suatu tempat bernama al-Muraisi’ (المريسيع), di mana tentera Islam telah mengalahkan mereka dengan mudah. Dalam perjalan pulang, golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, telah cuba mengapi-apikan kabilah Ansar dan Muhajirin, untuk melagakan dua golongan Islam ini, tetapi api fitnah ini dapat dipadamkan oleh Rasulullah SAW.Telah menjadi kebiasaan Rasulullah SAW, apabila keluar bermusafir Baginda akan mengadakan undian di antara para isterinya, siapakah yang akan mengiringi Baginda dalam musafir itu. Demikianlah sunnah Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya berlaku adil terhadap semua isteri. Dalam peperangan ini, yang terpilih adalah Ummul Mukminin Aisyah RA, seorang yang masih muda dan berbadan kecil. Setelah tiba di suatu tempat berhampiran Madinah, Rasulullah SAW bersama para sahabatnya telah berhenti rehat. Ketika ini, Siti Aisyah telah keluar untuk menunaikan hajat di suatu tempat yang terselindung daripada pandangan tentera Islam. Setelah selesai, beliau kembali ke tempat sekedup untanya dan mendapati rantai lehernya telah terjatuh tanpa disedari. Maka beliau terus kembali ke tempat tadi untuk mencarinya.
- Pada waktu yang sama, tentera Islam telah diperintahkan supaya meneruskan perjalanan ke Madinah. Pemandu unta Aisyah menyangka beliau telah berada di atas sekedupnya dan terus menariknya serta meneruskan perjalanan.Setelah Aisyah kembali ke tapak perkhemahan, beliau mendapati rombongan tentera telah berangkat tanpanya. Maka beliau terus berkelubung dengan hijabnya dan duduk menunggu di tempat untanya tadi, mudah-mudahan akan datang orang mencarinya selepas ini. Dalam keadaan cemas itu beliau menangis sehingga tertidur.
- Kemudian datanglah Sofwan bin al-Mu‘attal al-Sulami yang berada di bahagian belakang rombongan, yang tugasnya memang mencari dan melihat apa-apa yang tercicir atau tertinggal. Setelah melihat seorang perempuan di tepi jalan, beliau begitu terkejut dan terus beristirja’, iaitu menyebut kalimah “Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raji‘uun”
[إنا لله وإنا إليه راجعون] dan lebih-lebih lagi apabila beliau mengenali Siti Aisyah sebelum turunnya ayat Hijab.Tanpa berkata sepatah pun, Sofwan merendahkan untanya untuk dinaiki Aisyah dan berliau berjalan mengekori unta tersebut. Aisyah RA berkata: “Kami tidak bercakap walau sepatahpun kecuali istirja’ Sofwan.” Akhirnya mereka tiba ke tempat rombongan tentera Islam tadi.
- Apabila melihat Aisyah tiba bersama Sofwan, maka golongan munafiqin yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai melihat ini sebagai satu peluang keemasan untuk menabur fitnah jahat mereka. Mulalah mereka membuat cerita kononnya Aisyah telah berlaku curang dengan Sofwan. Malangnya tuduhan jahat ini juga telah termakan oleh sesetengah orang Islam sendiri sehingga ada yang menjadi ‘pembawa mulut’, menyebar fitnah ini. Sebahagian yang lain pula mengambil sikap berkecuali dan mendiamkan diri sahaja.Setelah tiba di Madinah, telah tersebar ‘Hadis Ifki’ (tuduhan jahat) ini. Rasulullah SAW sendiri diam tidak bercakap, menantikan wahyu. Baginda juga telah bertanya pendapat beberapa orang sahabat, ada yang mengatakan ceraikan sahaja Aisyah dan ada pula yang membelanya. Wahyu pula tidak turun kepada Rasulullah SAW hampir sebulan. Ini adalah untuk menguji keimanan kaumnya dan untuk menzahirkan golongan munafiqin.
- Setelah Aisyah RA mendengar berita tersebut, beliau menangis sehingga kekeringan air matanya, tidak dapat mengeluarakan air mata lagi dan tidak dapat tidur keduanya. Kata Aisyah: “Aku menyangka tangisanku akan memusnahkan kehidupanku.” Hampir sebulan berada dalam keadaan demikian, pada suatu hari, datanglah Rasulullah SAW ke rumah isterinya Aisyah bersama ayah dan ibunya. Baginda SAW bersabda kepada Aisyah yang sedang asyik menangis: Maksudnya: ((Wahai Aisyah, sekiranya engkau suci daripada tuduhan ini, nescaya Allah akan membebaskan engkau, sekiranya engkau tersasar, maka beristighfarlah, sesungguhnya sekiranya seorang hamba itu bersalah kemudian dia mengakui dan bertaubat, pasti Allah SWT akan menerimanya.))
- Setelah mendengar sabda Rasulullah SAW tersebut, Aisyah berhenti menangis dan meminta supaya ibu bapanya menjawab bagi pihaknya, tetapi mereka tidak tahu apa yang harus diucapkan. Beliau lalu menjawabnya sendiri dengan berkata: “Keringlah airmataku kerana aku tahu tentang diriku. Kalau aku berkata aku dipihak yang benar, dan Allah mengetahui perkara yang sebenarnya, tetapi pasti kamu tidak akan mempercayainya. Tetapi sekiranya aku mengakui sesuatu yang Allah tahu aku adalah suci darinya, kamu akan mempercayainya. Maka tiada apa bagi aku dan kamu kecuali apa yang diucapkan oleh bapa nabi Yusuh AS: Maksudnya: {Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.} [Yusuf: 18]. Aisyah RA kemudiannya berpaling dan berbaring untuk berehat. Pada waktu inilah turunnya ayat yang membebaskan Aisyah RA dari segala tuduhan yang tohmahan dan fitnah ke atasnya. Ia juga menjanjikan hukuman terhadap golongan yang menuduhnya.
- Ini dapat kita baca sehingga ke hari ini di dalam surah An-Nur: Maksudnya: {Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang dari mereka mendapat balasan dari dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.} [An-Nur: 11]. [Lihat: Tafsir Ibnu Kathir]

Demikianlah secara ringkas kisah fitnah yang dilemparkan ke atas keluarga Rasulullah SAW.[b]Cuba kita bayangkan betapa besarnya jenayah yang dilakukan oleh si munafiqin Abdullah bin Ubai dan para pengikutnya.
1-Bayangkan bagaimana keadaan Rasulullah SAW sebagai seorang nabi dan rasul. Seorang pemimpin, dituduh isterinya yang disayangi sedemikian rupa, dikotori tempat tidurnya, dicemari kehormatan rumahtangganya dengan tuduhan liar sehingga menjadi buah mulut percakapan orang serata tempat selama sebulan. Sedangkan Baginda tidak tahu apa yang hendak dibuat dalam kes ini.
2-Lihat pula bagaimana keadaan Abu Bakar as-Siddiq RA seorang yang benar dalam semua perkara, seorang yang dihormati dalam masyarakat, anaknya dituduh sedemikian rupa, sehingga keluar keluhan dari mulutnya, satu ucapan yang membayangkan satu penyeksaan yang ditanggungnya.
3-Juga Ummu Ruman, isteri Abu Bakar yang setia, ibu yang baik, anaknya ditimpa tuduhan palsu yang jahat. Sedangkan telah diasuhnya dengan penuh kasih sayang dan adab yang sopan.
4-Bagaimana pula perasaan orang yang dituduh, Aisyah binti as-Siddiq, perempuan yang cukup menjaga kehormatan diri, isteri yang patuh dan setia, isteri Rasulullah SAW, penghulu segala nabi. Dia dilempar dengan tuduhan yang sangat kejam, yang tidak berperikemanusiaan dan tidak ada siapa yang membelanya, menanggung azab sengsara seorang diri sebulan lamanya. Tidak ada teman hidupnya kecuali tangisan dan airmata. Berserah diri sepenuhnya kepada Allah, mengharapkan pertolongan dan bantuan, setelah terputusnya bantuan dari manusia. Betapa azabnya seorang isteri yang masih muda, menanggung azab seorang diri, sedangkan suami sendiri kelu lidah dalam perkara ini.
5-Betapa pula tersiksanya seorang mujahid yang berjuang menegakkan Islam dengan penuh ikhlas, Sofwan bin al-Mu’attal RA. Beliau telah ditohmah dengan satu jenayah yang besar, dituduh mengkhianati Rasulullah SAW yang dicintai dan dihormati, dengan mengadakan hubungan dengan isterinya.
6-Akhirnya bayangkan bagaimana keadaan masayarakat Islam pada masa itu, semua berada dalam keadaan keluh kesah tidak tenteram dan berpecah sesama sendiri dalam kes ini.
Demikian betapa besarnya jenayah membuat tuduhan palsu dan mengadakan berbagai cara untuk memporak perandakan ketenangan dan kedamaian umat Islam. Peranan munafiqin dulu dan sekarang tidak akan terhenti merancang untuk menyusahkan umat Islam. Merek tidak mahu melihat Islam mendapat kemenangan ,membina negara dan mencapai kemajuan akhirnya.
Bagaimanakah sikap umat Islam dalam menerima berita dan apakah sikap kita terhadap perancangan jahat golongan munafiqin?Firman Allah SWT: Maksudnya: {Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.} [Al-Hujuraat: 6]
LIWAT & QAZAF (TUDUH BERZINA) MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM (bahagian 2)
Qazaf
Perkataan qazaf dalam bahasa Arab bermakna melemparkan sesuatu benda umpama batu dan sebagainya. Seterusnya perkataan itu dikhususkan kepada melemparkan sesuatu yang buruk termasuk menggunakan perkataan yang keji terhadap seseorang.
Menurut istilah hukum syarak, qazaf ialah menuduh zina terhadap seseorang tanpa saksi yang adil. Termasuk juga menuduh liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama, di antaranya Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali. Mazhab Hanafi pula hanya mengkhususkannya kepada tuduhan zina sahaja, manakala tuduhan liwat di sisi mereka termasuk dalam perkara takzir.
Qazaf termasuk dalam hukum hudud yang dinaskan di dalam al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Perkara yang telah dinaskan, berada di luar bidang ijtihad para ulama, kerana haram meminda nas daripada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, tidak boleh dinamakan hudud PAS atau hudud sesiapa. Sesiapa yang membuat kenyataan itu maka hukumnya berdosa kerana kenyataan yang dibuatnya itu berdasarkan kepada kejahilannya.
Perkara tersebut menjadi perkara yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam, kerana fardhu ain itu, bukan sahaja terdapat pada perkara yang wajib ditunaikan, tetapi termasuk juga pada perkara yang diharamkan kita melakukannya agar kita menjauhinya, meninggalkannya dan mencegahnya, Manakala mendalaminya secara detail hukumnya adalah fardhu kifayah.
Di kalangan ulama ada yang membahagikan tuduhan itu kepada dua cara:
1. Secara sorih (berterus terang) dengan menujukan tuduhan zina atau liwat kepada orang yang tertentu. Sekiranya tuduhan itu diakui oleh orang yang dituduh secara sukarela dan memenuhi syarat-syarat pengakuannya, maka hukuman hudud boleh dijatuhkan oleh hakim ke atas orang berkenaan.
2. Secara sindiran. Seperti menafikan nasab daripada ayahnya mengatakan ‘awak bukan anak kepada si anu’ yang diketahui sebagai bapanya yang sebenar, atau ‘awak anak daripada hasil zina’ dan lain-lain tuduhan yang boleh difahamkan sebagai tuduhan zina atau liwat.
Hikmah Pengharaman Qazaf
Tujuan pengharaman qazaf adalah bagi memelihara maruah manusia, yang menjadi satu daripada perkara yang sangat penting bagi manusia sama ada bagi diri, keluarga atau masyarakatnya. Maruah sangat bernilai dalam hidup dan mati seseorang, membezakan manusia dengan binatang dan menjadi sebahagian daripada harga diri sehingga tidak boleh dinilai dengan harta benda yang paling mahal. Islam telah menegaskan kewajipan mempertahankan maruah dengan meletakkan maruah mengatasi harta yang juga wajib dipertahankan.
Demi menjaga maruah itulah, maka diwajibkan hukuman qazaf secara hudud yang ditetap oleh Allah dan Rasul-Nya s.a.w. supaya seseorang itu atau kumpulannya tidak boleh melemparkan tuduhan zina dan liwat ke atas seseorang yang lain secara sewenang-wenangnya.
Syarat-syarat Qazaf bagi orang yang melakukan tuduhan itu adalah:
1. Berakal. Tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh dipakai.
2. Baligh, yakni sampai umur mukallaf yang boleh dipertanggungjawabkan perintah-perintah agama ke atasnya. Kanak-kanak yang belum baligh, tidak boleh dikategorikan tuduhannya sebagai qazaf.
3. Tidak dipaksa. Tidak boleh menerima tuduhan yang dilakukan oleh orang yang dipaksa supaya melakukan tuduhan itu.
4. Tidak dapat mengadakan empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi mengikut hukum Islam
Orang yang dituduh juga hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Berakal. Maka tidak sah menuduh orang yang tidak berakal. Oleh itu orang yang menuduh tidak boleh diambil tindakan qazaf
2. Baligh. Maka orang yang menuduh terhadap orang yang tidak baligh, tidak boleh dikenakan hukuman had qazaf. Dia hanya dikenakan hukuman ta’zir.
3. Islam, mengikut jumhur para ulama.
4. ‘Iffah atau ihsan, yakni orang yang dituduh itu seorang yang diketahui kebaikan akhlaknya dan tidak pernah disabitkan melakukan zina.
5. Orang yang ditentukan tidak berlaku qazaf dengan menuduh seseorang yang tidak ditentukan secara khusus.
Syarat tuduhan pula hendaklah tuduhan dalam perkara zina, menurut ijmak para ulama dan tuduhan dalam perkara liwat, mengikut pendapat jumhur para ulama. Sekiranya tuduhan itu dalam perkara yang lain seperti berjudi, minum arak, rasuah dan sebagainya, maka tidak dinamakan qazaf yang mewajibkan hukuman hudud, tetapi berpindah kepada hukum takzir yang terserah kepada budibicara pihak yang berkenaan untuk menentukan hukumannya.
Mensabitkan Jenayah Qazaf
Kesalahan qazaf yang dijatuhkan hukuman had ialah apabila terbukti melalui dua cara:
1. Iqrar daripada orang yang melakukan qazaf.
2. Dua orang saksi yang memenuhi syarat-syarat saksi.
Hukum Hudud yang berkait dengan Qazaf
Terdapat kekhilafan di kalangan para ulama, adakah hukum qazaf berkait dengan hak Allah atau hak manusia?
Mazhab Hanafi menegaskan bahawa qazaf termasuk di dalam kategori hak Allah terhadap hamba-Nya kerana ia berkait dengan maruah seseorang. Hukum hudud yang ditetapkan ke atas jenayah qazaf berkait dengan maslahah umum, iaitu untuk memelihara kepentingan hamba-hamba Allah (manusia) dan maruah mereka, serta menghindarkan perkara kefasadan di kalangan manusia.Apabila ia menjadi aspek umum maka ia termasuk dalam hak Allah terhadap hamba-hamba-Nya.
Mazhab Syafie dan Hanbali berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak hamba (manusia), kerana maruah secara langsung diberikan kepada manusia. Apabila maruahnya dijatuhkan melalui qazaf, ia bermakna seperti melakukan sesuatu ke atas batang tubuh orang yang tertentu, maka ia menjadi hak bagi diri orang itu.
Manakala ulama dalam mazhab Maliki berselisih pendapat. Ada di kalangan mereka yang bersetuju dengan mendapat Mazhab Hanafi, ada yang bersetuju dengan pendapat Mazhab Syafie dan Hambali. Di antara mereka adalah Ibnu Rusyd, dan ada yang berpendapat bahawa di dalam perkara qazaf ada kedua-dua hak tersebut.
Mereka yang berpegang kepada pendapat bahawa qazaf itu adalah hak Allah, bermakna setelah perkara itu dibawa kepada pihak yang berkenaan (berwajib) maka ia tidak boleh dimaafkan lagi, yakni mangsa tuduhan tidak boleh memberikan pengampunan.
Pengampunan hanya boleh diberi sebelum kes tersebut dibawa kepada pihak yang berkenaan. Manakala mereka yang menyatakan bahawa qazaf itu adalah hak manusia, maka mangsa tuduhan diberi hak untuk memberikan pengampunan kepada orang yang dijatuhkan hukuman kerana kesalahan melakukan qazaf.
Hak Tuduhan Qazaf
Mereka yang berpendapat bahawa qazaf termasuk dalam kategori hak manusia, mengatakan bahawa orang yang menjadi mangsa mempunyai hak pengampunan ke atas orang yang melakukan jenayah qazaf.Sekiranya orang yang menjadi mangsa qazaf masih hidup, maka hak membuat pendakwaan terserah kepadanya sendiri. Sekiranya ia telah meninggal dunia, maka hak tersebut berpindah kepada keluarganya yang terdekat, iaitu bermula daripada ayah hingga ke atas, kemudian berpindah kepada anak hingga ke bawah. Ia tidak berpindah kepada saudaranya yang lain, kerana perkara qazaf sangat berkait dengan maruah zuriat secara langsung.
Hukuman ke Atas Orang Yang Melakukan Qazaf (Menuduh Zina atau Liwat)
Nas dan ijtihad para ulama yang berlandaskan roh syariat Allah yang maha adil, menunjukkan bahawa tuduhan yang menjatuhkan maruah seseorang seperti tuduhan zina dan liwat tidak harus dipermudah-mudahkan.Untuk membuat tuduhan itu, wajiblah mempunyai alasan dan hujah yang kukuh. Perkara-perkara yang diwajibkan ke atas pihak yang berkenaan supaya dilaksanakan ketika melakukan sesuatu tuduhan, membuktikan bahawa kewajipan memelihara maruah juga menjadi tanggungjawab kerajaan setelah ditegaskan bahawa ianya adalah kewajipan individu.Kesalahan tuduhan zina dan liwat amat besar, sehingga ia dimasukkan ke dalam jenayah yang dikenakan hukuman keras dan ditetapkan sendiri hukumannya oleh Allah SWT secara nas di dalam Al-Quran. Di akhirat pula ia dikira sebagai dosa besar yang disediakan azab yang pedih kepada pelakunya, sekiranya dia tidak bertaubat dan meminta maaf daripada mangsa tuduhan atau tidak menerima tindakan undang-undang Islam oleh pihak yang berkenaan.
Hukuman di dunia
Hukuman di dunia yang wajib dijatuhkan ke atas penjenayah qazaf oleh kerajaan Islam ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran.Firman Allah (al-Nur: 4) yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik.”
Hukuman terhadap penjenayah qazaf di dunia ialah:
1. Disebat sebanyak 80 kali sebatan mengikut cara Islam. Bukannya sebatan seperti yang diamalkan sekarang. Iaitu dengan alat yang sederhana dan cara pukulan yang sederhana. Tidak dibenarkan mengangkat alat sebatan lebih tinggi daripada kepala dan sebatan itu tidak boleh menyebabkan kulit dan daging terkoyak. Orang yang disebat pula hendaklah berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan memakai pakaian yang bersopan serta disaksikan oleh orang ramai.
2. Dihukum menjadi fasik dengan tidak diterima penyaksiannya dalam segala urusan, sama ada di mahkamah, ketika berjual beli, perkahwinan, melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan lain-lain.
Hukuman di Akhirat:
Firman Allah (al-Nur: 23-24) yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan (dan lelaki-lelaki) yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar. Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala yang mereka lakukan.”Hukuman pada hari kiamat nanti lebih adil dan bijaksana. Allah Yang Maha Mengetahui tidak menghukum dengan sifat mengetahui-Nya sahaja, tetapi perbicaraan akan di ulang semula di mahkamah-Nya dengan bukti-bukti yang lebih terperinci. Ketika itu, anggota badan manusia, tangan dan kaki mereka akan menjadi saksi. Di samping itu terdapat catatan para malaikat, iaitu makhluk Allah yang paling baik dan suci, yang nalurikan dengan sifat sentiasa taatkan perintah Allah dan tidak sekali kali menderhakai-Nya.Mereka akan dikerah untuk menjadi saksi sehingga mulut para pembohong dan pendakwa yang pandai mengubah kata dan meminda catatan tidak mampu lagi untuk memutarbelitkan kenyataan yang sebenar.