Friday, April 29, 2011

LIWAT & QAZAF (TUDUH BERZINA) MENGIKUT PERSPEKTIF ISLAM (bahagian 1)

Menyabitkan Kesalahan Zina Dan Liwat

Kesalahan zina dan liwat sabit dengan iqrar (pengakuan) atau melalui saksi-saksi yang memenuhi syarat syaratnya.

Iqrar (Pengakuan)

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari, kitab al-Hudud):

“Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata:
“Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina.”
Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain (yakni seperti tidak melayannya), lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali.
Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau gila?”
Dia menjawab: “Tidak.”
Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Adakah engkau telah berkahwin?”
Dia menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): “Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia.”

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja.”
Dia menjawab: “Tidak. Sebenarnya saya telah berzina.”

Mengikut riwayat yang lain: “Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa.” Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Hadis riwayat Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya (riwayat Muslim, Kitab al-Hudud):

“Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya.”
Sabda Rasulullah s.a.w. : “Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah.”
Wanita itu berkata lagi: “Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma’iz bin Malik?”
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apakah masalah engkau?”
Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina.
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apakah benar?”
Wanita itu menjawab: “Ya.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersalinlah dahulu.”

Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansar sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: “Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu.” Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: “Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah.” Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu.”

Kedua-dua hadis di atas diriwayatkan oelh para ulama hadis dengan riwayat yang sahih dan menjadi dalil dalam kes iqrar (mengaku) berzina. Para ulama telah menyimpulkan daripadanya hukum-hukum yang berkaitan dengan iqrar melakukan kesalahan zina dan liwat.

Syarat-syarat iqrar

  1. Orang yang membuat pengakuan itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Tidak sah pengakuan orang gila, mabuk dan sebagainya, kerana sabda Rasulullah s.a.w. (Abu Daud: Kitab al-Hudud):
    “Diangkat qalam daripada menulis amalan kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia terjaga, dan daripada orang gila sehingga dia sedar.”
  2. Pengakuan hendaklah dilakukan dengan pilihan sendiri, tanpa dipaksa, sepeti dipukul, dibelasah, diberi bahan yang menghilangkan ingatan seperti dadah dan sebagainya. Maka tidak sah pengakuan orang yang dipaksa, kerana sabda Rasulullah s.a.w. (Ibn Majah: Kitab al-Talaq):
    “Allah mengangkat (memaafkan) kesalahan umatku yang melakukan sesuatu kerana tersalah, terlupa dan dipaksa.”
  3. Iqrar (pengakuan) dilakukan secara lisan. Tidak diterima pengakuan dalam bentuk tulisan, pita rakaman dan sebagainya dalam perkara hudud.
  4. Iqrar hendaklah dilakukan berulangkali dalam perkara zina dan liwat, iaitu sebanyak empat kali, dalam majlis yang berasingan, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap Ma’iz bin Malik.
  5. Iqrar itu dilakukan di hadapan hakim dan hakim pula menunjukkan sikap tidak senang dan berusahan supaya orang yang beriqrar itu tidak mengulangi iqrarnya, kerana bertaubat lebih baik daripada menyerah diri secara iqrar di hadapan pihak yang berkenaan, kerana inilah cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Menarik Balik Pengakuan

Seseorang yang mengaku melakukan zina dan liwat hendaklah diterima penarikan balik pengakuannya, walaupun sudah memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas, kerana Rasulullah s.a.w. menegur para sahabat baginda dengan keras kerana meneruskan hukuman terhadap Ma’iz bin Malik setelah dia melarikan diri ketika hukuman dijalankan.

Apabila seseorang lelaki mengaku zina dengan seseorang perempuan dan perempuan itu tidak mengaku salah, maka si lelaki sahaja yang dihukum, kerana inilah keputusan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.

Saksi

Firman Allah (al-Nisa’: 15) yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.”

Firman Allah lagi (al-Nur:4) yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi…”

Firman Allah lagi (al-Nur:13) yang bermaksud: “Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Jika mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”

Orang yang menjadi saksi hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Baligh lagi berakal. Oleh itu tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh diterima.
  2. Islam, sekiranya tuduhan dilakukan terhadap orang Islam, kerana kesedarannya terhadap perhitungan dosa pahala dan sebagainya. Di samping itu, perkara zina dan liwat ini termasuk dalam hukum hudud Islam yang dinaskan.
  3. Mempunyai pancaindera yang sihat. Tidak diterima saksi yang tidak jelas penglihatan, tuli dan bisu.
  4. Adil, yakni seseorang yang diketahui tidak melakukan mana-mana dosa besar, dosa kecil secara berterusan dan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah, walau pun tidak berdosa.
  5. Lelaki, yakni dalam perkara hudud dan qisas. Oleh kerana zina dan liwat termasuk dalam perkara hudud, maka saksi wanita tidak diterima dalam perkara ini.
  6. Tiada tohmahan (kekeliruan yang menarik manfaat atau menolak mudarat), berkepentingan dan prejudis seperti menjadi saksi kepada bapa, anak atau majikannya, atau orang yang diketahui bermusuh dengan orang yang dituduh yang akan memburukkannya sahaja. Maka tidak boleh menerima penyaksian saksi yang ada kaitan dengan konspirasi politik dan sebagainya.
  7. Bilangan yang cukup. Pada tuduhan zina dan liwat, memerlukan empat orang saksi.
  8. Keempat-empat saksi melihat (perbuatan zina dan liwat itu) bersama-sama.
  9. Memberi keterangan dalam majlis (persidangan) yang sama.

Saksi dalam tuduhan zina dan liwat bukan sahaja wajib memenuhi syarat-syarat tersebut tetapi juga hendaklah melihat kesalahan itu berlaku mengikut takrifnya secara jelas, yakni melihat anggota kemaluan yang melakukannya secara jelas. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa keterangan melalui kesan air mani, pita video dan gambar tidak boleh mensabitkan kesalahan zina dan liwat. Keterangan saksi yang berlapis yang hanya menerima berita dari orang lain (hearsay) juga tidak boleh diterima.

Kesemua perkara tersebut menunjukkan bahawa tuduhan zina dan liwat, tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Keterangan-Keterangan Yang Tidak Nyata

Penggunaan kepakaran untuk menganalisa darah dan air mani (atau ujian DNA) bagi mensabitkan kesalahan jenayah huduh seperti zina dan liwat tidak dibenarkan oleh Islam, kerana ada syubhat (kekeliruan). Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Hudud hendaklah ditolak (tidak dilaksanakan) dengan adanya syubhat (kekeliruan).”

Ketepatan analisa DNA boleh dipertikaikan kerana banyak kemungkinan-kemungkinan yang boleh menimbulkan keraguan. Sesetengah ulama membenarkan analisa ini untuk menafikan tuduhan sahaja, bukan untuk mengisbatkannya (mensabitkan kesalahan). Para ulama Islam telah menyebut perkara ini di dalam kitab-kitab fiqh, di antaranya Ibn al-Qayyim di dalam kitanya al-Turuq al-Hukmiyyah.

Begitu juga tuduhan tidak boleh disabitkan dengan gambar, pita video, kaset dan sebagainya yang bukan merupakan keterangan secara langsung.

Bersumpah

Tidak diharuskan bersumpah bagi mensabitkan jenayah hudud yang berkaitan dengan hak Allah, seperti zina dan liwat. Bahkan jenayah hudud dan qisas dalam perkara hak manusia juga tidak dibenarkan bersumpah menurut jumhur (kebanyakan) ulama kerana perkara hudud dan qisas yang berhubung dengan hak manusia juga dianggap menyerupai hak Allah.

Yang dimaksudkan dengan bersumpah di sini adalah sumpah mengikut hukum Islam dengan lafaznya yang ditetapkan, bukan seperti yang difahami oleh orang jahil yang mencadangkan supaya sumpah dilakukan secara menjunjung al-Quran, yang menyerupai sumpah yang dilakukan oleh penganut agama Kristian.

Syarat orang yang melakukan zina dan liwat

Orang yang melakukan kesalahan zina dan liwat itu pula hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Baligh, yakni cukup umur mukallaf
  2. Berakal
  3. Secara pilihan dengan tidak dipaksa
  4. Mengetahui pengharaman zina dan liwat
  5. Tiada syubhah (seperti terkeliru atau tersilap kerana disangka isterinya)
  6. Berzina atau berliwat dengan manusia
  7. Melakukan perbuatan yang ditakrifkan sebagai zina atau liwat

Friday, April 22, 2011



“ABID DI DUNIA ,MUFLIS DI AKHIRAT”

Abid bermaksud Orang yang kuat beribadah.Sebagai seorang Islam kita seharusnya bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan Hadith. Untuk kita sampai ke destinasi akhirat maka hendaklah kita beramal dengan seberapa banyak amalan kebajikan dan sentiasa berada dalam keampunan Allah SWT semasa hidup di dunia. Ini selaras dengan firman Allah SWT Maksudnya: Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul-Nya (SURAH AL-HADID :21)

Banyak ayat al-Quran mengambarkan kepada kita perihal mereka yang melakukan dosa akan menjadi cemas, takut dan merana bila dibentangkan buku catatan amalan mereka di Padang Masyar. Insaflah bahawa segala amalan kita di dunia ini akan di adili di akhirat nanti walaupun ianya sekecil zarah. Ketahuilah bahawa setiap amalan dan tingkah laku kita semuanya di catat oleh malaikat yang di tugaskan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT Maksudnya: Padahal sesungguhnya, ada malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu) (SURAH AL-INFITAAR :10-11)

Namun persoalannya pada hari ini ada dikalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurnian Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkianati amanah sesama manusia. Dalam mengejar kemewahan mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi. Selain itu, mereka juga tidak prihatin kepada hak-hak sesama manusia, hak-hak golongan fakir, miskin dan anak-anak yatim.Malah ada dikalangan kita menzalimi sesama manusia. Ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat. Nabi SAW dalam hadithnya yang di riwayatkan oleh iman Muslim RA memberi amaran kepada kita tentang berlakunya gejala muflis dikalangan umatnya. Sabda Rasulullah SAW:Bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka." (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat,sedekah, umrah ,haji dan sebagainya. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati atau dizalimi. Di samping mereka dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.Alangkah ruginya golongan muflis ini, kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadah dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana di ambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang telah dilakukan.

Dalam kehidupan sehari-hari kita perlu berhati-hati agar tidak melakukan dosa,terutama dosa sesama manusia.Namun kenyataannya pada hari ini segelintir daripada kita secara terangan melakuan pelbagai kesalahan kepada orang lain, iaitu;

Pertama: Mencabuli kehormatan dan harga diri melalui fitnah, mengumpat dan mencaci.

Kedua: Merosakkan harta benda dengan merompak, menyamun, mencuri, menipu dan sebagainya,

Ketiga: Mencabuli keselamatan dan kebahagiaan dengan cara keganasan,penderaan mental dan fizikal, pukul, bunuh, perbuatan sihir, ilmu hitam dan sebagainya.

Keempat: Merosak rumahtangga melalui perbuatan curang dengan suami atau isteri yang menyebabkan runtuhnya institusi keluarga.

Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila muflis di akhirat ?. Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?

Perlu di fahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu di utamakan kerana ia merupakan kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat tentulah memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten. Kita perlu banyak mengorbankan masa, fikiran dan tenaga dalam mempersiapkan bekalan ke alam akhirat. Dengan persiapan dan bekalan yang mencukupi, kita akan dapat menghadapi pelbagai rintangan dalam perjalanan menuju ke alam akhirat, bermula di alam kubur seterusnya di padang Mahsyar dan di negeri akhirat. Ini selaras dengan firman Allah dalam: Maksudnya: “Dan orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa masuk ke Syurga dengan berpasuk-pasuk, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga itu dibuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaganya: Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan kekal.(SURAH AZ-ZUMAR :73)

Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita sudah berada dalam gaya hidup yang diredhai Allah ataupun gaya hidup yang di murkai oleh Allah. Andainya kita telah berada dalam keredhaan Allah, maka kita pertingkatkan dan gandakan lagi agar ianya lebih mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Andainya kita menderhakai kepada Allah maka bersegeralah kita bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi dengan kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam:Maksudnya: “ Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.(SURAH ALI-IMRAN:133)

Friday, April 15, 2011


PEPERANGAN MU’TAH DAN PENGAJARANNYA

فرمان الله تعالى دالم أية 45-46 سورة الأنفال :

يأيهاالذين ءامنوا إذا لقيتم فئة فاثبتوا واذكروا الله كثيرا لعلكم تفلحون وأطيعوا الله ورسوله ولاتنــزعوا فتفشلوا وتذهب ريحكم واصبروا إن الله مع الصــبرين

Maksudnya : Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh maka teguhkanlah hatimu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh keuntungan. Dan taatlah kepada Allah dan rasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang akan menyebabkan kamu menjadi gentar serta hilang kekuatanmu dan bersabarlah sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar

Kita masih berada dalam bulan Jamadil Awwal yang mengingatkan kita kepada suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w iaitu berlangsungnya peperangan Mu’tah yang banyak meninggalkan kesan bagi mereka yang mengambil iktibar dengan sewajarnya terhadap peristiwa itu. Peperangan yang berlaku di Mu’tah, Jordan disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peristiwa ini telah berlaku pada bulan Jamadil Awwal tahun ke 8 Hijrah di mana Rasulullah s.a.w dalam masa yang pantas dapat mengumpul 3000 orang tentera Islam untuk keluar ke Mu’tah. Penghantaran tentera ini bukan atas misi membalas dendam sebaliknya Rasulullah s.a.w telah meletakkan tujuan utama ialah berdakwah dengan mengajak terlebih dahulu penduduk Mu’tah agar memeluk Islam dan jika mereka enggan serta terus berkeras untuk berperang barulah serangan boleh dimulakan. Disamping itu Rasulullah s.a.w turut memberi arahan kepada tentera Islam agar tidak membunuh golongan kanak-kanak, wanita, orang tua serta tidak mengerat pohon-pohon dan tidak pula memusnahkan rumah kediaman penduduk. Inilah ia keadilan dan kemuliaan Islam yang menghormati hak kemanusiaan musuh terlebih dahulu bersama dengan usaha dakwah di mana peperangan hanya dijadikan tindakan terakhir apabila musuh terus berkeras untuk melawan walau pun telah diberi peluang untuk berdamai dan tunduk kepada keadilan Islam.

Kita juga dapat lihat bagaimana dalam peristiwa peperangan Mu’tah ini di mana setiap perancangan Rasulullah s.a.w walau pun baginda sendiri tidak turut serta dalam peperangan ini merupakan suatu tindakan yang berdasarkan wahyu. Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah s.a.w telah melantik tiga panglima perang iaitu Zaid bin Harithah di mana jika beliau gugur syahid maka tempatnya akan digantikan oleh sepupu nabi Jaafar bin Abi Tolib dan seterusnya jika beliau turut gugur syahid maka tempatnya akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga panglima perang yang dilantik ini menerima tugas yang diberikan dengan penuh kerelaan di mana mereka yakin bahawa perkataan nabi adalah benar dan mereka tidak sekali-kali merasa takut walau pun dari segi arahan nabi tadi bermakna mereka bertiga akan gugur syahid dalam peperangan nanti. Ujian pertama yang terpaksa mereka lalui apabila mendapat berita bahawa musuh telah pun bersiap sedia dengan angkatan tentera seramai 100 ribu orang sehingga ada tentera Islam mencadangkan agar mereka berundur terlebih dahulu bagi meminta bantuan tambahan dari Madinah. Dalam keadaan kelam kabut ini lalu Abdulah bin Rawahah bangun sambil memberi semangat kepada tentera Islam dengan katanya : “ Demi Allah! Adakah kita benci dengan sebab keluarnya kita ke Mu’tah iaitu untuk untuk memburu syahid. Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan untuk beradu kekuatan tetapi datangnya kita ke sini adalah untuk Islam yang telah memuliakan kita. Oleh itu maralah kita ke medan peperangan kerana di sana 2 kebaikan pasti kita perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama dengan keredhaan Allah”.

Semangat jihad yang ditanam beserta keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada pertolongan Allah telah membawa kemenangan kepada tentera Islam di mana 12 tentera Islam gugur syahid termasuk tiga panglima perang yang telah dilantik oleh Rasulullah s.a.w di mana kepimpinan tentera Islam selepas itu diambil alih oleh Sayyidina Khalid ibnu Walid. Walau pun kehilangan tiga orang panglima perang dalam satu peperangan namun tentera Islam terus berjuang sehingga dianugerahkan kemenangan yang besar kerana perjuangan bukan berdasarkan bilangan dan pemimpin sebaliknya perjuangan mestilah ikhlas kerana Allah dalam meninggikan kegemilangan Islam.

Semangat jihad yang lebih besar mestilah disemat dalam sanubari seluruh umat Islam dalam membantu saudara seagama yang sedang ditindas dan dizalimi oleh penggans kuffar seperti di Afghanistan, Kashmir, India, Selatan Filiphina, Iraq, Palestin dan sebagainya. Antara kekejaman terbaru di Palestin ialah serangan kejam tentera Israel terhadap sebuah pangsapuri yang menyebabkan 15 orang terbunuh termasuk 9 orang kanak-kanak di mana yang termuda baru berumur 2 bulan. Kerajaan pengganas Amerika turut meluluskan bantuan terbaru sebanyak US 200 juta kepada yahudi Israel untuk terus membunuh umat Islam di Palestin. Malah kuffar terus tidak berpuas hati dengan Iraq walau pun negara itu telah diserang bertalu-talu bersama dengan sekatan ekonomi yang terus berjalan. Inilah antara contoh penganiayaan dan penindasan terhadap umat Islam oleh pengganas kuffar. Mereka tidak berhenti daripada membunuh umat Islam sehingga hari qiamat. Cuma apa yang malang ialah umat Islam itu sendiri yang tidak mampu bangkit untuk bersatu ke arah menghentikan segala bentuk kekejaman yang dilakukan oleh pengganas kuffar. Ramai pemimpin negara umat Islam sendiri lebih seronok menghimpun kekayaan peribadi dan menindas rakyat sendiri daripada bangun membangkitkan semangat jihad dalam sanubari rakyat jelata untuk Islam. Rakyat yang benar-benar bangkit untuk membantu menegakkan Islam pula terpaksa berhadapan dengan penindasan pemimpin dalam negara dan musuh kuffrar dari luar. Oleh itu gandakan lagi semangat jihad dan usaha kita dalam memartabatkan kembali sistem Islam. Kemenangan Islam semakin hampir dan nyata. Jika kita sendiri tidak mampu mengecapi pelaksaaan menyeluruh terhadap sistem Islam maka janganlah berasa hampa dengan perjuangan yang telah dicurahkan selama ini kerana kita berharap agar anak cucu dan generasi akan datang mampu mengecapinya hasil perjuangan ayah dan datuk mereka demi Islam. Pejuang Islam tidak pernah kecewa apabila mereka sentiasa bersyukur dengan kemenangan serta sentiasa sabar atas ujian kekalahan. Kekalahan di dunia bukan bererti turut kalah dalam meraih keredhaan Allah untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Yakinlah kita bahawa perjuangan Islam tidak pernah ditimpa kerugian sebaliknya kemenangan yang lebih manis bakal menunggu kita di akhirat sana.

Firman Allah dalam ayat 42 surah Saba’ :

فاليوم لايملك بعضكم لبعض نفعا ولاضرا ونقول للذين ظلموا ذوقوا عذاب النار التي كنتم بها تكذبون

Maksudnya : Maka pada hari ini sebahagian kamu tidak berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudharat kepada sebahagian yang lain. Dan Kami katakan kepada mereka yang zalim : “ Rasakan olehmu azab neraka yang dahulunya kamu dustakannya”.

Friday, April 8, 2011


SOROTAN PERISTIWA BULAN JAMADIL AWAL

1. Pada 2 Jamadiul Awal 3 H (21 Oktober 624 M) Rasulullah s.a.w. mengutuskan Zaid bin Harithah mengetuai satu sariyah (gerila) untuk menahan rombongan dagang Quraisy. Mereka berjaya melakukan misi tersebut di satu tempat bernama al-Qirdah. Ini adalah peristiwa pertama umat Islam berjaya mendapat ghanimah (harta rampasan perang).

2. Pada 27 Jamadiul Awal 13 H (3 Julai 634 M) berlaku peperangan Ajnadain. Peperangan ini berlaku di antara tentera Islam di bawah pimpinan Khalid bin al-Walid dan tentera Rom di bawah pimpinan Cobcular. Kemenangan tentera Islam di dalam peperangan ini membuka jalan untuk menyempurnakan pembukaan Islam di seluruh bumi Syam.

3. Peperangan "Al-'Ashirah" pada tahun kedua Hijrah, dipimpin oleh Baginda s.a.w. Tidak berlaku apa-apa pertempuran disebabkan perjanjian damai yang dimeterai antara Rasulullah s.a.w. dengan Bani Mudlij dan penyokong mereka Bani Hamzah. Baginda s.a.w. bersama sahabat kembali ke Madinah.

4. Peperangan "Zat Ar-Riqa`" pada tahun kedua Hijrah, diketuai oleh Baginda s.a.w. Ianya di satu kawasan di daerah Najd di kediaman Bani Muharib dan Bani Tha`labah dari kaum Ghatafan. Tiada pertempuran dan peperangan yang berlaku, ianya dinamakan Zat Ar Riqa' (yang mempunyai cebisan kain) kerana para sahabat membalut kaki-kaki mereka dengan cebisan kain kerana kepanasan bumi Najd.

5. Perutusan sekumpulan tentera Islam yang diketuai oleh Muhammad bin Maslamah ke "Al-Qussah" seramai 10 orang. Ianya bertujuan memerangi Bani Tha`labah, tetapi perutusan tersebut telah diserang hendap oleh seratus orang Badwi dan membunuh kesemua perutusan itu kecuali Muhammad bin Maslamah yang mendapat kecederaan parah sehingga orang-orang Badwi menyangkanya telah mati. Sekumpulan Badwi yang lain telah membawa beliau ke Madinah untuk mendapatkan rawatan di sana.

6. Peperangan Mu'tah pada tahun kelapan Hijrah. Ianya disebabkan oleh pembunuhan yang dilakukan oleh Syarahbil bin `Amr Al-Futhaniy terhadap seorang utusan Rasulullah s.a.w. iaitu Al-Harith bin `Umair Al-Azdiy dari kaum Bani Lahab. Beliau diutus oleh Baginda s.a.w. membawa sepucuk surat kepada Maharaja Rom atau Pembesar Busra tetapi dia telah ditahan dan diikat oleh Syarahbil lalu dibunuhnya. Rasulullah s.a.w. amat murka dengan pembunuhan tersebut kerana mengikut peraturan pada zaman itu seseorang utusan tidak boleh diapa-apakan sehinggalah dia pulang ke tempat asalnya. Baginda s.a.w. menghantar sekumpulan tentera yang dikepalai oleh Zaid bin Harithah dan berpesan "sekiranya Zaid terkorban, dia hendaklah diganti oleh Ja'afar bin Abi Talib, sekiranya dia terkorban juga Abdullah bin Abi Rawahah akan memimpin tentera tadi". Kesemua sahabat tadi syahid di dalam peperangan itu lalu ianya dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid yang telah mengundurkan tentera Islam secara tersusun dan kemas tanpa mengalami apa-apa kehilangan jiwa dan kekalahan.

7. Peperangan Ajnadain pada tahun kelima belas Hijrah. Ianya berlaku di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Amru bin Al-`As, Abu `Ubadah bin Al-Jarrah dan Syarahbil bin Hasanah dengan tentera Rom yang dikepalai oleh Wardan di kawasan Ajnadain di Timur Yerusalem (Al-Quds). Tentera Rom tewas di dalam peperangan itu dan pemimpin mereka Wardan juga mati di situ. Ianya berlaku berhampiran bandar Ramallah dan membuka jalan untuk pembukaan bandar Palestin.

8. Pada 2 Jamadiul Awal 666 H (19 Januari 1268 M) umat Islam diketuai oleh Zahir Bibris berjaya membebaskan bandar Yafa dari penjajahan tentera Salib setelah bertempur selama hanya 12 jam.

9. Pada 20 Jamadiul Awal 857 H (29 Mei 1453 M) Sultan Muhammad al-Fateh berjaya membuka kota Costantinople. Cubaan untuk membuka kota ini telah pun bermula sejak zaman Muawiyyah bin Abi Sufyan di era pemerintahan Bani Umayyah lagi. Kota Costantinople berjaya dibuka setelah menjadi ibu kota Empayar Baizantyne selama 2125 tahun.

10. Pada 2 Jamadiul Awal 1418 H (5 September 1997 M) pejuang Islam Lubnan berjaya membunuh 12 tentera laut elit Israel di bandar Ansoriah.

Kelahiran Tokoh-tokoh Besar Islam

1. Pada 4 Jamadiul Awal 555 H (13 Mei 1160 M) lahir Ali bin Abi al-Karam Muhammad bin Muhammad bin Abdul Karim yang lebih dikenali sebagai Ibnu al-Athir. Beliau adalah seorang ulama’ besar Islam di dalam bidang sejarah. Di antara karya beliau adalah al-Kamil dan Asad al-Ghabah fi Makrifah as-Sohabah.

2. 27 Jamadiul Awal 1282 H (18 Oktober 1865 M) lahir Muhammad Rasyid Redha, murid kepada al-Imam Muhammad Abduh. Dilahirkan di Lubnan dan kemudian berpindah ke Kaherah. Menerbitkan majalah al-Manar yang memberikan sumbangan di dalam menyebarkan idea-idea Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalah Tafsir al-Manar.

3. Pada 3 Jamadiul Awal 1299 H (Mac 1882 M) lahir seorang ulama’ hebat Muhammad Fuad Abdul Baqi. Beliau adalah seorang ulama’ yang mempunyai jasa besar di dalam mentahqiq (membuat analisa semula) kitab-kitab turath (tradisional) Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalah Mu’jam Lafaz al-Quran, Musnad Sahih Bukhari dan Mu’jam Lafaz Hadis Nabawi.

4. Pada 2 Jamadiul Awal 1328 H (12 Mei 1910 M) lahir al-Imam al-Akbar Abdul Halim Mahmud, Syeikh al-Azhar yang ke 40. Beliau adalah seorang ulama’ agung, menguasai ilmu yang bersumberkan dari ilmu-ilmu Islam dan karya-karya ilmu Perancis. Mempunyai karangan yang banyak terutamanya di dalam bidang Falsasah dan Tasawwuf.

5. Pada 14 Jamadiul Awal 1371 H (10 Februari 1952 M) lahir penasyid Islam yang terkenal, Ridhwan Khalil Annan yang lebih dikenali sebagai Abu Mazin. Dilahirkan di Damsyik dan mempunyai jasa di dalam menaikkan semangat kebangkitan umat Islam melalui nasyid-nasyidnya. Kebanyakan senikata nasyid-nasyidnya diambil dari sajak-sajak penyajak Islam.

Kewafatan Tokoh-tokoh Besar Islam

1. Pada 14 Jamadiul Awal 73 H (1 Oktober 692 M) kembali ke rahmatullah Abdullah bin az-Zubair bin al-Awwam. Beliau adalah bayi pertama yang lahir ketika umat Islam berada di era daulah. Beliau dilahirkan di Madinah al-Munawarah. Seorang yang berani dan menyertai peperangan sejak mudanya. Terlibat di dalam pembukaan Afrika Utara di zaman Osman bin Affan. Beliau mati dibunuh oleh al-Hajjaj bin al-Thaqafi di zaman pemerintahan Abdul Malik bin Marwan.

2. Pada 11 Jamadiul Awal 150 H (14 Jun 767 M) kembali ke rahmatullah an-Nukman bin Thabit bin an-Nukman yang lebih dikenali sebagai Abu Hanifah. Beliau adalah pengasas mazhab Hanafi. Dilahirkan di Kufah dan menjadi ketua ulama’ Kufah sesudah kematian gurunya.

3. Pada 2 Jamadiul Awal 413 H (3 Ogos 1022 M) kembali ke rahmatullah Abul Hasan Ali bin Hilal yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Bawwab. Beliau adalah seorang penulis khat yang hebat sepanjang sejarah Islam. Pernah menulis mushaf al-Quran tulisan tangan sebanyak 64 mushaf.

4. Pada 10 Jamadiul Awal 458 H (9 April 1066 M) kembali ke rahmatullah al-Imam Abu Bakar Ahmad bin al-Husain bin Ali bin Abdullah yang lebih dikenali sebagai al-Imam al-Baihaqi. Beliau adalah salah seorang ulama’ hadis yang terkemuka pada kurun kelima hijrah. Di antara karangan beliau adalah as-Sunan al-Kubra (Sunan al-Baihaqi), Dalail an-Nubuwwah dan al-Asma’ wa as-Sifat.

5. Pada 10 Jamadiul Awal 660 H (2 April 1262 M) kembali ke rahmatullah Abdul Aziz bin Abdul Salam bin Abi al-Qasim yang dikenali sebagai Izzudin bin Abdul Salam. Beliau adalah seorang ulama’ terkemuka di dalam bidang Fiqh, Hadis dan perundangan. Terkenal kerana beberapa pendiriannya yang tegas terhadap pemerintah sehingga dikenali sebagai ‘Sultan kepada para ulama’ dan ‘Penjual Raja-raja’

6. Pada 19 Jamadiul Awal 911 H (20 Oktober 1505 M) kembali ke rahmatullah Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar yang dikenali sebagai Jalaluddin as-Sayuti. Seorang ulama’ fiqh dan hadis yang terkenal dengan karyanya di dalam ilmu yang pelbagai. Di antara hasil karyanya adalah Jam’ul Jawami’, Husnu al-Muhadharah, Baghiyah al-Wu’ah dan al-Isybah wa an-Nazoir.

7. Pada 8 Jamadiul Awal 1323 H (11 Julai 1905 M) kembali ke rahmatullah al-Imam Muhammad Abduh, perintis gerakan islah di Mesir. Dilahirkan di negeri al-Buhairah, Mesir. Mendapat pendidikan di Universiti al-Azhar dan pernah menjadi anak murid kepada Jamaludin Afghani. Melibatkan diri di dalam Revolusi Arab dan dibuang daerah ke Beirut. Kembali semula ke Mesir lalu dilantik sebagai Mufti Mesir.

8. Pada 4 Jamadiul Awal 1350 H (September 1931 M) pemimpin harakah jihad Islami di Libya, Omar Mukhtar menemui syahid. Beliau dijatuhkan hukuman gantung setelah mengepalai gerakan jihad menentang penjajahan Itali selama 20 tahun bermula sejak tahun pertama penjajahan lagi iaitu 1911 M.

9. Pada 23 Jamadiul Awal 1354 H (22 Ogos 1935 M) kembali ke rahmatullah Muhammad Rasyid Redha, murid kepada al-Imam Muhammad Abduh. Dilahirkan di Lubnan dan kemudian berpindah ke Kaherah. Menerbitkan majalah al-Manar yang memberikan sumbangan di dalam menyebarkan idea-idea Islam. Di antara karangannya yang masyhur adalah Tafsir al-Manar.

10. Pada 8 Jamadiul Awal 1378 H (19 November 1958 M) kembali ke rahmatullah Ahmad Abdul Rahman al-Banna, seorang ulama’ hadis di Mesir. Beliau adalah ayah kepada al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna. Di antara buku karangan beliau adalah al-Fathu al-Rabbani li tartib musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal as-Syaibani.

Peristiwa-peristiwa Bersejarah

1. Pada 4 Jamadiul Awal 646 H (25 Ogos 1248 M) tentera Salib ketujuh dari Perancis di bawah pimpinan Louis IX mula bergerak ke sebelah timur. Mereka telah menemui kegagalan dalam peperangan al-Mansurah dan Louis IX telah dijadikan tawanan tentera Islam.

2. Pada 10 Jamadiul 1373 H (15 Januari 1954 M) gerakan Ikhwan Muslimin telah diharamkan oleh Jamal Abdul Nasir dengan menggunakan resolusi dari Parlimen Mesir. Pengharaman ini berlaku setelah gerakan Ikhwan Muslimin dianggap oleh kerajaan sebagai parti politik yang berusaha untuk menumbangkan kerajaan sedia ada.

3. Pada 12 Jamadiul Awal 1386 H (29 Ogos 1966 M) Mahkamah Tinggi Mesir mengeluarkan arahan menjatuhkan hukuman gantung ke atas tujuh orang anggota gerakan Ikhwan Muslimin. Tuduhan yang dikenakan ke atas mereka adalah membentuk gerakan bersenjata untuk menumbangkan kerajaan sedia ada. Empat daripada mereka diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup. Manakala tiga yang lain dijatuhkan hukuman gantung. Mereka adalah Sayyid Qutb, Muhammad Yusof Hawwash dan Abdul Fattah Ismail.

4. Pada 13 Jamadiul Awal 1402 H (17 mac 1982 M) al-Imam al-Syeikh Jad al-Haqqu Ali Jad al-Haqqu dilantik menjadi al-Imam al-Akbar Syeikh Azhar ke 42. Beliau dilahirkan di Daqahliyah, Mesir. Belajar di al-Azhar dan bekerja di bidang perundangan sesudah itu. Pernah menjadi Mufti dan Menteri Hal Ehwal Agama Mesir sebelum menjawat jawatan terakhirnya sebagai Syeikh al-Azhar.

5. Pada 24 Jamadiul Awal 1425 H (11 Julai 2004 M) ditubuhkan Persatuan Ulama’ Antarabangsa di London. Persatuan ini dianggotai oleh ulama’-ulama’ dan pemikir-pemikir Islam dari seluruh dunia. Ditubuhkan untuk menjadi sumber rujukan umat Islam di dalam masalah fiqh, ilmu dan pengetahuan. Diketuai oleh Dr Yusof al-Qardhawi